Nuffnang

Monday 26 April 2010

Aku Ada Kamu: Cemburu dan Dendam Wanita



Aku Ada Kamu: Cemburu dan Dendam Wanita

Aku Ada Kamu [ADK] membawa kita merasai pengalaman Sofi Aidura. Pelajar tahun akhir di sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Tinggal di rumah sewa bersama dua orang rakan baiknya Suraya dan Nora. ADK seperti novel-novel yang sering dibaca, menyelongkar kisah dan pengalaman wanita. Kisah cinta, derita dan dendam wanita. Sehubungan itu ADK hasil karya Lily Haslina Nasir bermain dengan cemburu dan dendam antara wanita pada wanita; Sheila pada Sofi Aidura. Dendam dan cemburu Sheila pada Sofi Aidura. Cerita ADK secara keseluruhan terbahagi kepada dua bahagian. Sebelum dan selepas Sofi Aidura menjadi isteri kepada Hisyam.

Dalam bahagian pertama, melalui ADK, masyarakat di salah sebuah Pangsapuri di Seksyen 16, Petaling Jaya direpresentasikan oleh penulis sebagai golongan masyarakat yang gemar membuat spekulasi buruk dan negatif kepada pelajar institusi pengajian tinggi. Juga mereka ini digambarkan sebagai sering membuat andaian dengan hanya dari apa yang dilihat oleh mata mereka. Menuduh dan bertindak tanpa usul periksa. Pencirian-pencirian ini membentuk satu tanggapan yang `typical and tradition’ kepada masyarakat Melayu di sebuah penempatan Melayu. Penulis `menghukum’ masyarakat ini dengan memberi malu kepada golongan yang dikatakan serba tahu. Seperti perumpamaan sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Namun begitu tanggapan yang `typical dan tradition’ ini secara jelas bertindak sebagai pemangkin untuk Sofi Aidura memilih Hisyam.


Pada bahagian kedua, penulis mengangkat Sofi Aidura sebagai seorang isteri yang menjurus kepada pencirian seorang isteri `mithali’. Namun untuk menjadi seorang isteri `mithali’, adalah tidak mudah. Sofi Aidura diuji hebat dengan sihir dan santau oleh Sheila. Penderitaan dan nasib malang Sofia Aidura yang disulam dengan kesucian dan kekuatan cinta Hisyam pada beliau mampu mencetus dan menggamit rasa simpati pembaca kepada Sofi Aidura.

Unsur seram dalam ADK yang diangkat oleh penulis melalui representasi unsur saka dan santau membentuk isu dramatik yang kuat dalam bahagian ini dan sekaligus mengangkat isu dramatik cerita Aku Ada Kamu secara keseluruhannya. Melalui plot dan cerita yang bergerak dalam ruang `seram’ ini ADK mengarah kepada satu penyelesai yang trajik.

Secara keseluruhannya ADK pada pendapat saya sebagai pembaca, bercerita tentang kemampuan wanita yang sebenarnya sanggup melakukan apa saja untuk kepuasan diri. Baik Sofi Aidura mahupun Sheila, masing-masing punyai kemampuan tersendiri. Sungguhpun begitu Sheila yang dihukum dengan trajik pada pengakhiran cerita jauh lebih berani berbanding Sofi Aidura yang sudah kembali insaf dan `redeem herself’ dengan menjadi seorang isteri `mithali’ kepada Hisyam.

Friday 9 April 2010

Aku, Dia & Coklat: Cerita Tentang Coklat

Aku, Dia & Coklat yang saya singkatkan sebagai ADC  adalah sebuah novel remaja yang cukup ringan. Ceritanya `simple’. Kisah dunia anak muda ketika zaman kolej. Cerita ini bergerak melalui watak Zaza. Kisah Zaza yang fanatik coklat. Sungguhpun begitu cerita ADC yang berpusat pada pengalaman Zaza, seorang gadis yang gempal dan terlalu fanatik dengan coklat, secara tidak langsung memberi pengetahuan dan informasi kepada saya tentang`dunia coklat’ yang sebelum ini saya kurang arif. Khususnya tentang buruk baik coklat pada tubuh badan kita dan lambang coklat dalam hubungan kasih sayang.

Watak Zaza yang diangkat penulis sebagai watak utama dicipta sebagai `tidak sempurna’ [gempal]. Pada pendapat saya lakaran sebegini mampu menjadikan pembaca untuk dekat dengan Zaza kerana Zaza adalah `orang kebanyakan’ yang wujud di kalangan golongan peringkat ini.

Tentunya kewujudan Fariz sebagai `princes charming’ yang diangkat penulis dan juga peluang Zaza beraksi di dalam majalah Instyle secara tidak langsung `membenarkan’ pembaca seperti Zaza untuk berani berharap. Secara tidak langsung bertindak sebagai motivasi untuk mereka keluar dari kepompong rendah diri pada bentuk diri mereka selama ini. Dalam konteks yang lain pencirian Zaza yang dicipta begini oleh penulis memberi indikasi bahawa Zaza juga punyai keistimewaan. Sekaligus mengangkat imej watak ini menjadi seorang "puteri".

Susun atur cerita ADC pada beberapa bab awal sedikit bosan. Ia lebih bersifat `informasi' tentang coklat. Tetapi berguna. Namum begitu secara perlahan ia berubah nada apabila wujudnya konflik antara Zaza dengan Asyikin dan Maliz. 

Konflik yang diangkat dalam ADC adalah konflik yang biasa-biasa. Sesuai dengan cerita ADC yang ringan-ringan saja. Iaitu konflik diri Zaza yang baru jatuh kasih pada Fariz. Bercerita tentang perasan rendah diri dia untuk berani mengharap pada kasih Fariz. Juga konflik cemburu dan hasad dengki yang timbul dalam diri Asyikin dan Maliz pada Zaza yang mereka anggap `tidak sempurna’ tetapi `hebat'. 


Namun begitu konflik kedua inilah yang mengangkat nada cerita ADC secara keseluruhan. Justeru itu menyumbang kepada `dramatik isu’ ADC yang sebenar. Sungguhpun begitu konflik yang pertama merupakan pemangkin utama dalam menyemarakkan konflik kedua ini.

Konflik –konflik ini sebenarnya adalah konflik yang `normal’ di kalangan mereka. Di kalangan `kelompok Zaza’. Di mana-mana kolej akan ada `kelompok Zaza’ dan individu  seperti Asyikin dan Maliz. 

Secara ringkas dan keseluruhan, saya akui ADC hasil karya Lily Haslina Nasir adalah sebuah cerita yang `simple’ dan biasa-biasa saja. Cerita yang `simple’ dan biasa-biasa saja begini tetap punyai isi yang sesekali menjadikan saya angguk sendiri.Untuk ADC saya kira penulis sudah memberi petanda kepada pembaca bahawa cerita ini punyai sambungan. Khususnya apabila di bab terakhir ianya seperti tiada penyelesaian cerita yang kukuh.