Monday, 14 June 2010

Menunggu Cinta Tuhan: Ruang Baru Dunia Hiburan.



Menunggu Cinta Tuhan [MCT] membawa dimensi baru dalam konteks deretan novel yang pernah saya baca. Berkenalan dengan Khalida Atikah, graduan jurusan Syariah yang berada di meja wartawan hiburan akhbar arus perdana, menjadikan saya teruja untuk terus tahu bagaimana Khalida Atikah mendinding diri dengan kekuatan hati dan jiwa dalam bidang yang begitu mencabar iman diri. Khususnya apabila beliau dipertanggungjawabkan menulis ruang gosip.

Melalui Khalida Atikah ruang baru dalam dunia kewartawanan hiburan dicipta. Menyanggah pandangan tipikal tentang dunia kewartawanan hiburan yang hanya mementingkan cerita sensasi dan `menjaga tepi kain orang’.

Mengangkat isu `ibu pelaris’ yang membawa unsur-unsur sihir secara subteknya mengangkat `heroic figure’ Khalida Atikah yang berhati putih. Isu `ibu pelaris’ dan `heroic figure’ Khalida Atikah yang diangkat memberi keseimbangan dari aspek isu dramatik dan resolusi di akhir cerita MTC.

Azrul Rasyid, ketua Khalida Atikah yang masih muda, kacak dan terkenal di kalangan artis, mempunyai latar yang seakan serupa dengan beliau. Pencirian latar pendidikan yang hampir sama ini dijadikan unsur perbandingan bagi mengkukuhkan lagi status `heroic figure’ Khalida Atikah.

Ringkasnya di sini, Menunggu Cinta Tuhan, sesuai dengan tajuknya membicarakan tentang perjuangan Khalida Atikah dalam bidang kerjaya yang jauh berbeza dengan ilmu Syariah yang dikutip ketika di kampus. Dengan hati dan jiwa yang selalu meminta cinta dan kasih sayang NYA, supaya apa yang dilakukan mendapat berkat dunia dan akhirat menjadikan Khalida Atikah salah seorang yang menunggu cinta Tuhan. Apatah lagi apabila saban hari berdepan dengan Azrul Rasyid yang membenci segala yang ada pada dia. Bagi Azrul Rasyid, Khalida Atikah yang dipilih Muda Sulaiman, ketuanya adalah tidak sesuai dan tidak layak duduk di meja hiburan. Marah, jerit pekek dan sindiran tajam adalah kata-kata yang menjadi penghubung antara dia dan Azrul Rasyid. Sikap Azrul yang begini akhirnya `dihukum’ hebat diakhir cerita dan siapa yang menjadi penyelamatnya? Khalida Atikah, `heroic figure’ MTC.

No comments:

Post a Comment

2011 Reading Challenge

Ayu has read 0 books toward a goal of 100 books.
hide