Nuffnang

Saturday 9 April 2011

Terima Kasih Sayang Dari Saya.




 "Mak, today is first of Mac. Your favourite month. Your birthday’s month,"

Pagi hari pertama bulan Mac Alif anak bongsu saya beria-ia memberitahu tentang apa istimewanya bulan ini kepada dia dan juga untuk keluarga ini. Bersungguh-sungguh dia memeluk dan pipi saya dicium berkali-kali. Saya sudah arif dan kenal dengan sikap Alif yang satu ini. Setiap kali tibanya bulan kelahiran mana-mana ahli keluarga ini, dialah yang paling terlebih suka. 

Khususnya bila bulan Januari tiba. Akan setiap hari dia mengingatkan daddy, kakak Yasmin dan abang Akif serta saya tentang tarikh  hari lahirnya dalam bulan itu. Juga mengira setiap hari...berapa hari lagi akan sampai ke tarikh 29 Januari, hari lahir dia. Serta akan diceritakan setiap hari apa hadiah yang dia mahu kali ini. Dan setiap hari itu pasti akan bertukar-tukar saja hadiah yang dia minta.

Seperti tahun-tahun lepas, tarikh hari lahir saya tiba juga. Tapi tahun ini cara saya meraikan tibanya tarikh itu berbeza. Tanpa dirancang. Meriah dan SUNGGUH MERIAH! Tiada lagi kata-kata yang dapat saya gambarkan maksud serta rasa suasana tibanya tarikh 19 Mac ini yang kemudiannya berlanjutan beberapa hari selepas itu.

19 Mac 2011, secara rasmi dalam kalender Masihi genaplah umur saya 40 tahun. Namun begitu saya sedar umur 40 tahun itu sudah lama tiba sekiranya disukat mengikut kalendar Hijrah – 21 Muharram dulu.

19 Mac untuk tahun 2011 besar pengertiannya kepada saya. Tidak seperti tahun-tahun lepas, saya dan keluarga akan keluar makan-makan di mana-mana. Ini adalah resam keluarga saya sempena meraikan tarikh hari lahir keluarga ini.


Tahun ini tibanya 19 Mac saya dan keluarga sambut dalam suasana majlis ilmu – DUDE: Discover Your Deen bersama adik-adik undergrade.  Adik-adik undergrade mengucap selamat hari lahir bersama ucapan syukur kerana tahun ini, hari lahir saya diraikan bersama para ustaz dan ustazah yang tinggi ilmu mereka. Saya dalam senyum merasa syukur kerana tarikh hari lahir saya seolah diberkatiNYA. InsyaAllah. Apatah lagi bila para ustaz dan ustazah yang begitu dalam ilmu mereka berkunjung ke rumah bersama rakan-rakan yang lain. Ditambah pula apabila selesai majlis ilmu yang telah membuka minda dan 'mata' saya, diakhiri dengan nyayian lagu happy birthday day oleh adik-adik undergrade untuk saya. Terima kasih seluatan kasih buat semua. 

Sambutan hari lahir  saya berterusan pada esoknya, bila daddy mengajak kami sekeluarga keluar dearah untuk makan-makan.

“Lets’s celebrate Mak’s birthday properly,” cadang Alif pagi Ahad itu setelah daddy memberitahu tentang hajatnya untuk membawa kami makan-makan di luar. Bersama rakan, majlis hari lahir saya berlangsung di sebuah restoran di Hull. Enak dan meriah. Tapi ada sayu dalam diri bila pandangan saya tidak menangkap kelibat Yasmin, anak sulung saya. Yang kini sudah beberapa minggu berada di Malaysia. Menyambung pengajian sekolah menengah dia di sana. Apa pun melihat Akif, Alif dan daddy yang bersungguh dan gembira, hati yang sayu terubat.


Tidak berakhir di situ, sambutan hari lahir saya berterusan lagi. Kali ini surprise party dengan tema berkelah pulak. Surprise party ini dirancang oleh adik-adik angkat saya di sini. Sungguh saya terharu dengan perhargaan yang begini. TERIMA KASIH SAYANG dari saya dan suami. Terima kasih sebanyak awan di langit biru. Sungguh saya sekali lagi terharu bila membaca ucapan-ucapan terima kasih yang diberi kembali kepada saya bila saya mengucapkan terima kasih pada status FB saya esoknya:

         Nasuha Hanafi kak ayu n abg shaq:sama2..kami xtau nk terima kasih kt kak ayu n abg shaq mcm mne,, ni je la slh stu cara haha..
           
          Nur Hanun Abdul Halim same2....happy birthday kak ayu...thanks juga atas jasamu dan abg Shahar Saad pada kami yg menumpang kasih ni..hehe..


Buat adik-adik semua:

Persahabatan dan silaratulrahim yang dihulurkan dengan ikhlas sudah cukup buat akak dan keluarga sebagai tanda terima kasih. Kerana persahabatan dan silaratulrahim yang terjalin dengan ikhlas ini telah meringankan sedikit beban akak dan suami bila disoal jawab di alam sana nanti, tentang perihal tangjungjawab hablumminannas kami ketika di alam ini.

Kita bertemu di sini dan hidup bersaudara di tanah rantau di sini sudah tertulis dan bukan secara kebetulan. Kenapa dan mengapa kita bertemu dan bersaudara tentu ada rahsia disebaliknya. Allahhualam. Sebagai saudara sesama Islam, ini saja yang kami mampu lakukan dalam menjaga ukhwah agar tidak berpecah kerana tidak sanggup akak dan suami menanggung azab di alam sana. Nauzubillah.


Allah Selamatkan Kamu
Allah Selamatkan Kamu
Allah Selamatkan Kak Ayu
Allah Selamatkan Kamu...


 Masih terdengar-dengar suara-suara merdu dan sumbang adik-adik undergrade bila tiba-tiba saja keluar dari celahan pokok bersama sebuah kek yang tertulis Happy Birthday. Dengan wajah yang sungguh ceria dan ikhlas mereka melangkah sambil bernyanyi. Sungguh...hari ini sangat terharu. Ya...semoga Allah Selamatkan saya dari setiap apa yang dilarangNya. InsyaAllah.



TERIMA KASIH adik-adik semua. Suasana 22 Mac sekitar jam 2.30 pm itu akan kakak dan abang letakkan pada kelopak kenangan pada ruang istimewa di dalam hidup kami di ketika sini. 

Terima kasih daddy kerana bersungguh ingin meraikan hari kelahiran saya. Buat daddy, Akif dan Alif juga Yasmin yang berada di Malaysia, tiada apa yang diinginkan sebagai hadiah kerana kalian hadiah yang sungguh bermakna dan paling berharga.



Selamat menyambut hari lahir ke 40 buat diri sendiri. Doa saya, semoga keluarga dan jodoh saya diberkatiNya dunia dan akhirat. AMIN.


Terima kasih buat semua. Semoga silarutulrahim ini kekal ke akhir hayat. InsyaAllah. AMIN.

No comments:

Post a Comment