Nuffnang

Thursday 6 October 2011

Acara Rumah Terbuka Kini Sudah DItutup




Berkunjung ke majlis rumah terbuka sudah menjadi acara wajib di dalam bulan Syawal setiap tahun. Sungguhpun begitu, tahun ini berkunjung ke majlis sebegini membawa erti yang mengukir kenangan tersendiri dan sungguh bermakna.

Kunjungan ke rumah rakan suami yang sungguh besar dan mewah pada malam tu diatur dengan rasa yang serupa: monotonous. Khemah putih besar yang terang benderang. Lampu-lampu yang dipasang di bawah khemah di dalam ruang malam itu menyerlahkan lagi acara fesyen baju raya yang dipakai oleh para jemputan, yang saya kira, dari kalangan ‘middle- high’ dan upper class juga. Terasa seperti berada di dalam majlis pertunjukkan fesyen pun ya jugak. Rasa segan dan kekok senang saja menyelit diri saya dan suami ketika itu.

Setelah suami berjabat salam dan rakan yang lama dia tidak bertemu itu menjemput kami makan, pandangan saya meliar mencari permaisuri rumah.  Hati mula meneka-neka pada kelibat perempuan-perempuan yang anggun pernampilan tetapi semuanya salah belaka. Mana permaisuri rumah? Cuma yang setia berdiri di depan sebuah meja pada sebelah meja-meja pelbagai juadah adalah seorang perempuan biasa-biasa: berjubah hitam, bertudung hitam tanpa mekap dan sibuk saja ke sana ke sini. Teka suami itu adalah ‘dia’. Namun hati saya kuat mengatakan tidak. Bagi saya itu adalah ketua katering, mungkin. Masakan permaisuri rumah mewah dan besar ini ‘biasa-biasa saja gayanya’, ngomel hati saya.

Ya…itulah permaisuri rumah, perempuan yang biasa-biasa itulah permaisuri rumah yang punyai kolam renang di dalam rumah di sebelah ruang tamu. Sungguh saya insaf dan pandai sungguh saya ‘meletak-letak’ orang. Rasa insaf yang tersemat di dalam kian menjerut kuat bila pandangan menangkap pada sekumpulan anak-anak kurang upaya: sindrom down melangkah keluar dari ruang laman rumah mewah itu ke laman luas di depan sana, dalam seri wajah yang sungguh gembira. Sambil diiringi dengan perempuan yang biasa-biasa itu dalam senyum lebar. Rakan suami yang sedang berbual dengan kami dan seorang lagi rakan dengan segera menghampiri mereka dan berjabat salam dan bergurau senda.

Perempuan yang biasa-biasa itu kemudian mengiring dan menemani mereka sehinggalah bas yang mereka naiki bergerak meninggalkan kawasan laman rumah mewah ini. Di mata  saya ketika itu, merekalah tetamu istimewa tuan  dan permaisuri rumah mewah ini. Kepulangan mereka diraikan dengan berbakul-bakul hamper dan jambangan bunga.  Ada rasa senang dan tenang berombak di dalam bila mata senang memandang suasana begini. Inilah kali pertama sepanjang berkunjung dan meraikan rumah terbuka, saya rasa majlis sebegini sungguh bermakna dan bererti. Inilah erti konsep rumah terbuka yang sebenar: meraikan dan menggembirakan mereka yang kurang bernasib baik.

Kini Syawal sudah pergi dan acara majlis rumah terbuka sudah ditutup.

Semoga rezeki tuan dan permaisuri rumah -perempuan yang biasa-biasa - itu diberkati dunia dan akhirat. AMIN.

2 comments:

  1. salam.

    anak-anak istimewa itu telah dirai oleh seorang manusia yang sungguh istimewa. dia bukanlah 'perempuan yang biasa-biasa.'

    entri paling menarik pernah saya baca. syabas.

    ReplyDelete
  2. fakur- benar. Mereka diraikan oleh tuan dan permaisuri rumah dengan perasaan yang ikhlas. Tuan rumah sanggup meninggalkan tetamu 'hebat' yang lain demi untuk berjabat salam dan mengucapkan rasa terima kasih kerana sudi berkunjung, dengan wajah yang berseri dan gembira.

    ReplyDelete