Nuffnang

Tuesday 11 December 2012

Ada Apa di Langkawi: Beras Terbakar





Beras Terbakar




‘Ada apa di Langkawi?’


Soalan anak-anak saya ‘bawa’ ke Beras Terbakar, Kampong Raja, Mukim Padang Mat Sirat. Setibanya  kami di situ, anak-anak mengomel terus-terusan kerana pada mereka, tentunya saya ke sini untuk membeli belah. Saya diam dan senyum. Kalau saya jadi mereka pun pasti saya akan mengomel juga.  Saya tidak salahkan mereka bila kawasan gerai jualan kain batik, t-shirt dan semua ‘barangan Langkawi’ yang ada di depan mata mereka, besar sungguh.




            “Ini apa? Kita nak mai ber shopping ka?” rungut Akif yang sebenarnya ‘pantang’ untuk saya membeli belah ketika waktu cuti-cuti begini. Lorong kecil yang terselit di antara gerai-gerai ‘barangan Langkawi’ yang dihimpun di bawah satu bumbung besar, sesak dengan pengunjung. Dengan wajah yang seposen anak-anak, khususnya Akif, melangkah masuk mencelah di dalam lorong kecil itu.

Setiba saja di hujung lorong itu langkah anak-anak berhenti. Mungkin mereka terkejut dengan apa yang mereka pandang sekarang. Sebuah rumah Melayu dalam senibina rumah kampung Melayu tradisional. Cantik.

            “Beras terbakar?” Soal Alif sebaik saja matanya menangkap papan tanda yang ada di situ.
            “Beras terbakar pun orang nak tengok? What so special about beras yang terbakar?” Soal Alif kepada saya dan daddy dia. Saya menyuruh dia membaca cerita yang ditulis di papan kenyataan yang disediakan. Meluru dia bersama kakak dan abang ke papan kenyataan yang ada.

Mengikut apa yang ditulis, Kampung Raja ini dahulu adalah pusat pemerintahan Langkawi. Beberapa purnama selepas berlakunya trajedi pembunuhan Mahsuri dengan perintah Datuk Seri Kerma Jaya, Langkawi telah diserang Siam. Telah berlangsung suatu pertempuran yang dahsyat. Namun sebelum pertempuran serangan Siam ini, Datuk Kerma Jaya sudah dapat merasakan bahawa Pulau Langkawi ini akan tewas. Maka dengan itu beliau memerintahkan agar penduduk di situ menanam dan menimbus beras di dalam simpanan mereka agar beras ini tiada terlepas ke pihak Siam.
Justeru itu, mengikut cerita-cerita yang saya pernah dengar, beras yang ditanam itu terbakar. Ini menurut tukang cerita, merupakan satu tulah sumpahan Mahsuri yang dibunuh kerana fitnah.

Anak-anak yang sudah faham cerita Beras Terbakar ini kemudiannya ke pagar di sebelah belakang mereka.
            “Mana beras terbakar?” Soal Akif
            “Dulu memang banyak. Dulu pagar ni tak ada. Siap boleh korek dan cari lagi beras terbakar yang sudah tertimbus lama. Sekarang dah tinggal sedikit.” Cerita daddy, sambil kawasan seluas tiga puluh kaki persegi yang berpagar itu mereka lihat.

            Beras yang terbakar itu tertanam sedalam tiga kaki dan dikatakan akan timbul bila hujan turun. Tatkala itu anak-anak sangat-sangat mengharap agar hujan tiba-tiba turun lebat, untuk mereka lihat sendiri beras terbakar yang diceritakan akan timbul bila hujan turun.


[Bersambung]

            

Sunday 28 October 2012

Ada Apa di Langkawi?: Tasik Dayang Bunting




Tasik Dayang Bunting








 ‘Ada apa di Langkawi?’ Soal anak-anak bersilih ganti sebaik saja kami menjejak kaki di lantai simen, jeti Pulau Langkawi. Ketika itu saya sedar inilah kali kedua, kakak dan abang ke Langkawi. Sungguhpun mereka pernah ke sana tapi sudah bertahun-tahun lamanya. Ketika itu Akif baharu mencecah tiga tahun dan Yasmin baharu enam tahun [kalau tak silap saya]. Alif yang sudah berusia tujuh tahun belum lagi lahir.
           


Ada apa ya di Langkawi? Saya memandang pada batu berukir burung helang gergasi sambil melangkah ke Jeti. Gagahnya masih sama. Pertanyaan anak-anak itu tadi, saya bawa ke hotel. Saya tidak mahu terus menjawab, kerana Langkawi ini bukanlah sebuah pulau untuk dihabiskan ruang cuti sekolah, hanya dengan mengabadikan waktu bersama keluarga pada sekeping foto digital. Pada saya Langkawi ini bukan sebuah pulau ‘biasa-biasa’.


            ‘Ada apa di Langkawi?’


Pada anak-anak Langkawi ini tidak ubah seperti pulau-pulau lain yang pernah mereka kunjungi: ruang yang penuh dengan deretan gerai-gerai menjual baju batik, kain batik, baju bertulis nama pulau, produk-produk cenderahati dan laut serta deretan kedai-kedai urut badan dan kaki. Di tambah pula dengan berderet panjang gerai-gerai makan. Jadi apa sebenarnya yang ada di Langkawi ini?


Jawapan untuk soalan yang satu itu, saya mula  menyusun pada petang itu juga. Melalui aktiviti kami yang pertama di sana: melawat pulau-pulau kecil yang ada di situ: Island Hoping. Menuju ke Pulau Dayang Bunting, dengan perlahan ia membongkarkan ‘rahsia’ pertama pulau yang bukan ‘biasa-biasa’ ini. Saya hanya diam dan memerhati saja gelagat anak-anak di dalam bot. Anak-anak, saya lihat sungguh teruja dengan sebuah gunung yang membentuk seorang perempuan mengandung sedang baring, sambil tekun sekali mendengar cerita dari si pemandu bot. Pada mereka, itu adalah cerita yang pasti dan perlu diceritakan kepada rakan-rakan di sekolah nanti.








Sebaik saja sampai di Tasik Dayang Bunting yang sungguh aman, permai dan nyaman, mereka membaca sehingga faham apakah ‘rahsia’ yang tersimpan di Tasik dan kawasan gunung yang mendinding tasik yang sungguh hijau biru itu. Dari cakap-cakap mereka tiga beradik, mereka bertanya sesama sendiri tentang status dayang tersebut: kenapa boleh mengandung kalau belum berkahwin? Saya tersenyum kerana mereka mampu berfikir hingga ke situ.



Mereka sudah berkahwin tetapi tak ditulis.’ Jawab saya sebagai menyelamat ‘moral’ cerita ini.


Maka cakap-cakap mereka tiga beradik kini bertukar pula tentang rasa bersimpati mereka kepada perempuan itu. Saya senyum lagi. Kalaulah ‘rahsia’ ini mampu menjadikan mereka berfikir, teruja dan sudah gembira, saya boleh rasakan ‘rahsia’ yang masih banyak tersimpan di ruang pulau ini pasti mampu menjadikan mereka puas dengan percutian mereka kali ini. Berkenal-kenalan dengan cerita mitos, lagenda dan sejarah tempat sendiri.


[bersambung]

Tuesday 4 September 2012

Salam Aidilfitri 2012




Salam Aidilfitri,




Aidilfitri tahun ini saya dan keluarga raikan dalam suasana rasa yang meriah, walaupun acaranya ala kadar sahaja. Bermula dengan ‘acara’ bergotong royong membersihkan dan menghias rumah pusaka di kampung bersama adik-adik yang semuanya jatuh giliran beraya di sini. Kemudian acara memasak rendang dan nasi himpit oleh keluarga Pak Lang: adik ketiga saya, berbuka puasa bersama dan menyambut ketibaan Aidilfitri dengan bermain bunga api dalam ruang takbir raya di kaca television. Cuma yang tidak ada keluarga Chik Teq: adik kelima saya, kerana dia sedang menunggu hari bersalin yang akan tiba bila-bila masa saja. Makanya dia dan keluarga mengambil keputusan untuk tidak balik kampung dan beraya di Subang Jaya sahaja.



Bergotong royong membersih dan menghias rumah arwah ayah and arwah mak berlangsung dalam suasana gelak ketawa sambil bertukar-tukar cerita kami adik beradik. Langsir dan kusyennya bukanlah yang baharu, Tetapi  cuma yang sudah bergantungan sejak raya tahun lepas diganti dengan yang lain sahaja: yang dipakai tahun sebelumnya. Mencuci lantai porch dan tangga luar supaya bersih dari tompokkan tahi ayam kering supaya nampak cantik esoknya. Kami mahu rumah pusaka ini cantik. Kerana ini rumah kami adik beradik. Rumah kampung kami.


Menyambut malam tibanya Aidilfitri di rumah pusaka, ada lainya. Suasana kampung yang selama ini saya rindu sudah saya jumpa penawarnya. Walaupun Pak Su: adik bongsu saya, tidak sempat memasang pelita minyak di keliling laman rumah, aura  Aidlifitri dalam suasana kampung  terasa. Berdentum-dentum di sana di sini bunyi riuh meriam kabat. 



Anak-anak bebas bermain bunga api dan mercun yang dibeli Pak Lang, Pak Tih dan Pak Su. Bunga api kali ini banyak. Sehinggakan anak-anak membakarnya lima batang sebelah tangan  berulang kali dan berlari ke sana sini dengan riang. Kononnya mereka adalah jet yang sedang laju terbang di ruang angkasa. Itu pun masih banyak bakinya. Tiada siapa yang menghalang atau tiada siapa yang marah. Anak-anak ternyata suka dan puas bermain bunga api kali ini berbanding tahun lepas.



Tidak seperti di kawasan perumahan di Selangor sana. Mereka hanya dibenarkan saya bermain di laman belakang rumah kerana bimbang akan keselamatan diri mereka bila saya benarkan bermain di ruang hadapan rumah: Akan ada kereta yang berlalu lalang di depan rumah dan pastinya ada yang laju.


Saya bersyukur kerana masih ada kampung walaupun hanya rumah pusaka tanpa ayah dan mak. Masih sempat anak-anak saya yang sedang membesar merasai suasana kampung yang di keliling sawah bendang.

Selamat Meraikan bulan Syawal. Bulan kemenangan kita masyarakat Islam. Maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga.

Saturday 11 August 2012

Zulaikha Mat Ayob



Sudah lama saya mengutip pengalaman Zulaikha Mat Ayob. Hampir lapan bulan kalau tak silap saya. Ingatkan Ika yang 'hidup' dalam ruang Kelab Jarum & Co ini punyai perkaitan yang sangat rapat dengan isu dan cerita Kelab ini. Ternyata tidak secara 'direct'. Dia bukan mangsa atau ' a cup of coffee' perbincangan dan gula-gula pemanis mulut kelab ini. Malah dia mereka tidak 'endah'. Apa yang ada pada dia tidak sedap dibuat fitnah atau pemanis mulut untuk dicanang ke sana sini.  Rupanya Zulaikha Mat Ayob ini mampu ' membawa' kisah dunia sendiri tanpa terikat rapat dan melibatkan Kelab ini. Mungkin ada tapi tidak terang. 'Indirect' kata orang putih.

Dari kisah cinta berani mati Zulaikha yang sudah pun separuh saya tahu, menjadikan perspektif saya pada Zulaikha berubah. Kini bagi saya Zulaikha seorang Scandalous Ika:



“Waalaikummussalam, Idil…” salam Idil aku jawab.
“Baru balik dari kelas…”
“Tak jadi datang? Ooo..” suara aku mengendur bila Idil memberitahu rancangannya untuk turun ke York terpaksa dibatalkan…LAGI. Ini sudah masuk kali ketiga Idil membatalkan perancangan ini. Kenapa? Tidak rindukah Idil kepada aku di sini? Adakah Idil sudah ada yang lain. Sejak akhir-akhir ini Idil seperti ingin menjauhkan dirinya dari aku saja. Menelefon aku pun tidak sekerap dulu lagi. Hantar SMS kepada Idil pun kadang kala tidak berbalas. Pelik aku dengan sikap Idil sejak akhir-akhir ini? Sudah ada perempuan lainkah di dalam hati Idil sekarang ini, di Glasgow sana?
“Tak apa..Ika tahu…jauh.” Lirih aku. Hati di dalam sudah menangis. Tapi siapa aku untuk memaksa Idil ke sini? Isterinya?
“Cuti Krismas ni? Tak kot…tak ada duit. Baru-baru ni hantar duit kat kampung.” Jelas aku bila dia bertanyakan tentang perancangan cuti aku di musim cuti perayaan hari Natal nanti.
“Tak…tak…Ayah tak minta pun tapi kesian kat Ayah…Idil pi mana?” Soal aku. Kalau ikutkan hati ini, aku ingin sangat mengikut Maisarah dan yang lain turun ke London. Tapi aku bukan anak orang senang seperti mereka. Duit lebih yang ada harus aku simpan atau diberikan saja kepada Ayah walaupun Ayah tidak pernah meminta. Aku ingin membantu Ayah.

[Scandalous Ika: ms 26]

Monday 23 July 2012

Salam Ramadhan Al Mubarak



Salam Ramadhan Al Mubarak…

Ramadhan kali ini saya dan keluarga sambut dengan perancangan yang lain dari tahun-tahun lepas. Saya dan suami ingin mencari pengalaman yang baharu melalui hajat kami dalam bulan yang Al Mubarak ini. Kami berhajat untuk berbuka di rumah-rumah Allah pada setiap malam minggu dan Ahad, insyaAllah.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin:
Ruang majlis berbuka puasa Muslimat
Makanya pada hari pertama puasa yang jatuh pada hari Sabtu, saya dan keluarga memilih Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi di Putrajaya, sebagai tempat kami sekeluarga berbuka. 



Masjid Mizan yang dibina pada 2004 dan diserahkan kepada JAKIM untuk tanggungjawab pengurusan pada 2009, terletak di Presint 3 bersetentangan dengan Istana Kehakiman.

Masjid Besi ini mempunyai pencirian yang tersendiri. Punyai unsur senibina yang 70%nya adalah dari besi dan selebihnya konkrit. Masjid yang dibina berkonsepkan ‘angin, sederhana dan telus’ ini tidak mempunyai penghawa dingin atau kipas tetapi menggunakan teknologi gas penyejuk udara atau ‘Gas District Cooling’.

Ruang Berbuka Muslimin: Nun di sana Kubah Masjid Putrajaya.
Duduk bersila bersama keluarga serta masyarakat Islam yang juga punyai hajat yang serupa, kami menunggu azan dari bilal masjid sebagai tanda masuknya waktu berbuka. Ketika itulah pandangan saya terpegun pada suasana ‘menjelangnya maghrib’. Pandangan yang jatuh pada kubah masjid Putrajaya yang gah itu di ‘bingkai’ ruang, menyilir rasa tenang yang damai di dalam diri. Pertama kali dalam hidup, saya berbuka sambil pandangan menghadam keindahan senja maghrib yang kian hilang. Subhanallah….sungguh indah….tenang dan damai. 


Berbuka dengan kurma dan karipap yang sedap kemudian berjemaah maghrib. Selepas itu baharulah menjamu selera dengan nasi dan lauk pauk yang sedap sebelum berjemaah Isyak dan berterawih. Tidak sudah dengan itu selepas terawih ada ‘desert’ bubur kacang pula. Namun begitu, bubur kacang ini anak-anak sudah tidak endah lagi kerana perut sudah kejap dan kenyang. 


Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak dari saya dan keluarga.

Maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga. Semoga Ramadan kali ini lebih bererti buat kita semua.

Monday 4 June 2012

‘The Moment’ di Lata Jarum



‘The Moment’ di Lata Jarum, Ulu Dong-Raub

Kompleks Pelancongan Homestay Pulau Chekas




Chalet Kompleks Pelancongan Homestay Pulau Chekas, Ulu Dong, Raub, kami sampai dengan diiringi oleh seorang Pakcik berkopiah putih yang bermotosikal.Tuan punya chalet bersebelahan, membuka palang ke kawasan chalet, atas permintaan tolong dari tuan punya chalet ini. Setelah selesai amanah yang diberi,dia pun menyusur keluar dengan motorsikalnya.


Chaletnya yang kami inap ini berkonsepkan rumah teres yang mempunyai hanya bilik tidur utama: katil size queen. Dikelolakan oleh Persatuan Belia kawasan ini.

Kunjungi kami lewat Mei baru-baru ini, tidak disambut oleh pengelola chalet juga tidak disambut oleh mana-mana staf chalet di situ. Chalet di sini kosong dan sunyi. Pejabat Urusan ditutup dan dikunci. Gelap ruang di dalam. Tiada berpenghuni. 


Namun hati masih kembang bila telinga menangkap jelas, suara alam yang senada menyambut saya serta keluarga dengan lagu alam yang sungguh indah: irama alir sungai yang mengalir ke hilir, suara merdu burung dan cengkerik yang bertanglung segenap ruang dan desiran bayu berbisik merdu di telinga.


Kunjungi kami seperti tidak diundang saja. Semuanya harus diuruskan sendiri. Sehinggakan air tangki yang kering ketika mandi dan bersiap-siap untuk solat maghrib pun harus diselesaikan sendiri. Atas ‘bimbingan’ ketua pengelola yang sedang berada di Kuala Lumpur, saya dengan bantuan Lan, adik ipar, harus keluar dihujung jalan untuk membuka paip yang mana ketua operasi dan staf-stafnya, yang sedang bermajlis Hari Belia di Kuantan, terlupa untuk uruskan. Kemudian dia meminta saya berurusan dengan Ketua Operasi di sini yang lebih arif dengan pengurusan di Chalet ini.


















Alasan ketua operasi yang sedang bermajlis di Kuantan itu kepada saya, adalah mereka SEMUANYA harus ke Kuantan untuk menyambut Hari Belia di sana dan hanya akan pulang sebaik saja majlis itu selesai.


Chalet TERPAKSA dibiarkan 'kosong' walaupun kedatangan kami sudah disedia maklumkan dengan deposit 'booking' sudah pun diberikan beberapa hari sebelum kedatangan kami ke situ.Makanya saya dan keluarga terpaksa menguruskan semuanya sendiri termasuklah memastikan Chalet ini terang benderang pada malam itu.

Bilik yang berkatil size queen itu ‘kosong’. Hanya ada perabot solek, almari baju dan tiada tv. Tiada tuala mandi dan bilik mandinya juga ‘kosong’: tiada sabun mandi dan syampoo. Bila diminta, menurut ketuanya, kemudahan ini mereka tidak sediakan di setiap bilik. Hanya akan diberi kepada penginap yang meminta. Dengan bayaran RM 100 sebilik saya anggap mahal jika dinilai dengan kemudahan serba kekurangan yang dikatakan Homestay ini.

Atau mungkin RM100 ini diukur dari segi adanya penghawa dingin dan juga berjiran dengan Lata Jarum yang hanya di sebelah belakang ‘rumah’ saja.

Sungguhpun begitu pengalaman tidak indah ini dibalut dengan rasa indah dan sejuk alam yang menjadi ruang dominan kawasan Chalet ini.

Cantik…sungguh cantik. Dingin airnya yang jernih mencuci marah dan kecil hati kami, yang datangnya seperti tetamu tidak diundang saja di sini. Kenangan bermandi-manda dan bermain –main air jernih yang sungguh dingin bersama keluarga adik-adik adalah the moment yang sungguh mahal. Harganya tidak ternilai berbanding bilik chalet RM100 yang mahal dan  ‘kosong’itu.


Bercuti bersama keluarga dan keluarga adik-adik di situ mencipta ‘the moment’ yang tersendiri. The moment yang mengukir kenangan yang masih dan akan sentiasa harum dalam pengalaman hidup saya.


Thursday 17 May 2012

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR: MANIS...


PWTC



Pengalaman duduk di booth bersama Wanginya Bunga Rampai (2012) di waktu pagi dan 26 Episod Gosip (2010) di sebelah petang, masing-masing mengundang pengalaman yang manis walaupun berbeza.

Wanginya Bunga Rampai


 Ditemani Wanginya Bunga Rampai saya duduk di sebelah Oly, seorang karikator. Yang punyai ramai peminat [termasuk Yasmin] berbanding saya. Mejanya tidak pernah kosong dan lenggang. Ada kalanya saya terleka memandang tangan dia yang ‘menconteng’ kanvas putih yang akhirnya menghasilkan sebuah lukisan yang sungguh indah. Cekap, pantas dan kemas sekali dia menghasilkan lukisan: dari kanvas putih yang kosong sehinggalah siap dan ada yang di liminate. Sehinggakan ada peminat Seri dan Arif berkunjung pun saya tidak sedar. Minta maaf dari saya ya…

Duduk bersama 26 Episod Gosip di sebelah petang, saya digandingkan dengan Adileah dan Hafizah, penulis Jemari Seni yang novel mereka yang pernah saya baca dan suka. Bila melihat Adileah, khususnya asyik dikunjungi peminat dan berposing-posing dengan peminat apabila diminta, saya suka. Begini rupanya bila sudah menjadi penulis yang punyai ramai peminat. Seperti selebriti pun ya jugak.

26 EPISOD GOSIP


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur [PBAKL] sudah berakhir.  Sungguhpun begitu pengalaman duduk di booth Js Adiwarna dan Jemari Seni masih mengalun rasa suka. Mengamati foto-foto di PBAKL menjadikan senyum sentiasa saja muncul di wajah. Apatah lagi ada Yasmin yang menemani saya seharian di situ. Sentiasa saja duduk di sebelah, kadang kala depan saya. Ada kalanya dia hilang di dalam ruang PWTC yang sesak ini dan kemudian kembali dengan beg  berisi novel dan alatan-alatan warna untuk lukisan yang dia suka.





 'Yasmin' dilukis oleh Oly

Kepada pembaca Wanginya Bunga Rampai hari itu, ada oleh-oleh dari keluarga Che Sue dan saya. Harapan saya oleh-oleh itu anda suka. Terima kasih untuk yang sudi membaca kisah cinta gila-gila Ain dalam 26 Episod Gosip dan kisah cinta terlarang Seri dalam Wanginya Bunga Rampai.



Thursday 26 April 2012

Tuesday 24 April 2012

Waterfront : A Walk Through Time







The main task here has been full fill. It was time for a break. A break that needed no stress and sweat but a little bit of exercise to ease the mind. Thus, a walked through the famous Waterfront, just a few steps from my hotel, was definitely a good choice.

















The Waterfront located on Sarawak river: a riverside walk stretches a kilometer long, from the location of my hotel to downtown Kuching. Strolling along the riverside walkway, was like a walked through time. Experienced the local history and culture with a feeling of modern and ancient.














Build in 1993, this Waterfront also known as The People Place to the local. Beautiful and unique blend between modern fusions with traditional Sarawak cultures. It was indeed a phenomenal sight. A walk to remember.