Monday, 4 June 2012

‘The Moment’ di Lata Jarum



‘The Moment’ di Lata Jarum, Ulu Dong-Raub

Kompleks Pelancongan Homestay Pulau Chekas




Chalet Kompleks Pelancongan Homestay Pulau Chekas, Ulu Dong, Raub, kami sampai dengan diiringi oleh seorang Pakcik berkopiah putih yang bermotosikal.Tuan punya chalet bersebelahan, membuka palang ke kawasan chalet, atas permintaan tolong dari tuan punya chalet ini. Setelah selesai amanah yang diberi,dia pun menyusur keluar dengan motorsikalnya.


Chaletnya yang kami inap ini berkonsepkan rumah teres yang mempunyai hanya bilik tidur utama: katil size queen. Dikelolakan oleh Persatuan Belia kawasan ini.

Kunjungi kami lewat Mei baru-baru ini, tidak disambut oleh pengelola chalet juga tidak disambut oleh mana-mana staf chalet di situ. Chalet di sini kosong dan sunyi. Pejabat Urusan ditutup dan dikunci. Gelap ruang di dalam. Tiada berpenghuni. 


Namun hati masih kembang bila telinga menangkap jelas, suara alam yang senada menyambut saya serta keluarga dengan lagu alam yang sungguh indah: irama alir sungai yang mengalir ke hilir, suara merdu burung dan cengkerik yang bertanglung segenap ruang dan desiran bayu berbisik merdu di telinga.


Kunjungi kami seperti tidak diundang saja. Semuanya harus diuruskan sendiri. Sehinggakan air tangki yang kering ketika mandi dan bersiap-siap untuk solat maghrib pun harus diselesaikan sendiri. Atas ‘bimbingan’ ketua pengelola yang sedang berada di Kuala Lumpur, saya dengan bantuan Lan, adik ipar, harus keluar dihujung jalan untuk membuka paip yang mana ketua operasi dan staf-stafnya, yang sedang bermajlis Hari Belia di Kuantan, terlupa untuk uruskan. Kemudian dia meminta saya berurusan dengan Ketua Operasi di sini yang lebih arif dengan pengurusan di Chalet ini.


















Alasan ketua operasi yang sedang bermajlis di Kuantan itu kepada saya, adalah mereka SEMUANYA harus ke Kuantan untuk menyambut Hari Belia di sana dan hanya akan pulang sebaik saja majlis itu selesai.


Chalet TERPAKSA dibiarkan 'kosong' walaupun kedatangan kami sudah disedia maklumkan dengan deposit 'booking' sudah pun diberikan beberapa hari sebelum kedatangan kami ke situ.Makanya saya dan keluarga terpaksa menguruskan semuanya sendiri termasuklah memastikan Chalet ini terang benderang pada malam itu.

Bilik yang berkatil size queen itu ‘kosong’. Hanya ada perabot solek, almari baju dan tiada tv. Tiada tuala mandi dan bilik mandinya juga ‘kosong’: tiada sabun mandi dan syampoo. Bila diminta, menurut ketuanya, kemudahan ini mereka tidak sediakan di setiap bilik. Hanya akan diberi kepada penginap yang meminta. Dengan bayaran RM 100 sebilik saya anggap mahal jika dinilai dengan kemudahan serba kekurangan yang dikatakan Homestay ini.

Atau mungkin RM100 ini diukur dari segi adanya penghawa dingin dan juga berjiran dengan Lata Jarum yang hanya di sebelah belakang ‘rumah’ saja.

Sungguhpun begitu pengalaman tidak indah ini dibalut dengan rasa indah dan sejuk alam yang menjadi ruang dominan kawasan Chalet ini.

Cantik…sungguh cantik. Dingin airnya yang jernih mencuci marah dan kecil hati kami, yang datangnya seperti tetamu tidak diundang saja di sini. Kenangan bermandi-manda dan bermain –main air jernih yang sungguh dingin bersama keluarga adik-adik adalah the moment yang sungguh mahal. Harganya tidak ternilai berbanding bilik chalet RM100 yang mahal dan  ‘kosong’itu.


Bercuti bersama keluarga dan keluarga adik-adik di situ mencipta ‘the moment’ yang tersendiri. The moment yang mengukir kenangan yang masih dan akan sentiasa harum dalam pengalaman hidup saya.


No comments:

Post a Comment

2011 Reading Challenge

Ayu has read 0 books toward a goal of 100 books.
hide