Nuffnang

Monday 23 July 2012

Salam Ramadhan Al Mubarak



Salam Ramadhan Al Mubarak…

Ramadhan kali ini saya dan keluarga sambut dengan perancangan yang lain dari tahun-tahun lepas. Saya dan suami ingin mencari pengalaman yang baharu melalui hajat kami dalam bulan yang Al Mubarak ini. Kami berhajat untuk berbuka di rumah-rumah Allah pada setiap malam minggu dan Ahad, insyaAllah.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin:
Ruang majlis berbuka puasa Muslimat
Makanya pada hari pertama puasa yang jatuh pada hari Sabtu, saya dan keluarga memilih Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi di Putrajaya, sebagai tempat kami sekeluarga berbuka. 



Masjid Mizan yang dibina pada 2004 dan diserahkan kepada JAKIM untuk tanggungjawab pengurusan pada 2009, terletak di Presint 3 bersetentangan dengan Istana Kehakiman.

Masjid Besi ini mempunyai pencirian yang tersendiri. Punyai unsur senibina yang 70%nya adalah dari besi dan selebihnya konkrit. Masjid yang dibina berkonsepkan ‘angin, sederhana dan telus’ ini tidak mempunyai penghawa dingin atau kipas tetapi menggunakan teknologi gas penyejuk udara atau ‘Gas District Cooling’.

Ruang Berbuka Muslimin: Nun di sana Kubah Masjid Putrajaya.
Duduk bersila bersama keluarga serta masyarakat Islam yang juga punyai hajat yang serupa, kami menunggu azan dari bilal masjid sebagai tanda masuknya waktu berbuka. Ketika itulah pandangan saya terpegun pada suasana ‘menjelangnya maghrib’. Pandangan yang jatuh pada kubah masjid Putrajaya yang gah itu di ‘bingkai’ ruang, menyilir rasa tenang yang damai di dalam diri. Pertama kali dalam hidup, saya berbuka sambil pandangan menghadam keindahan senja maghrib yang kian hilang. Subhanallah….sungguh indah….tenang dan damai. 


Berbuka dengan kurma dan karipap yang sedap kemudian berjemaah maghrib. Selepas itu baharulah menjamu selera dengan nasi dan lauk pauk yang sedap sebelum berjemaah Isyak dan berterawih. Tidak sudah dengan itu selepas terawih ada ‘desert’ bubur kacang pula. Namun begitu, bubur kacang ini anak-anak sudah tidak endah lagi kerana perut sudah kejap dan kenyang. 


Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak dari saya dan keluarga.

Maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga. Semoga Ramadan kali ini lebih bererti buat kita semua.

2 comments:

  1. salam ramdhan al-mubarak kak .ct-spring lane

    ReplyDelete
  2. salam ramadhan dari akak juga. Tiba-tiba saja teringat suasana bertukar-tukar juadah di Spring Lane. Rindu suasana tu.

    ReplyDelete