Nuffnang

Tuesday 4 September 2012

Salam Aidilfitri 2012




Salam Aidilfitri,




Aidilfitri tahun ini saya dan keluarga raikan dalam suasana rasa yang meriah, walaupun acaranya ala kadar sahaja. Bermula dengan ‘acara’ bergotong royong membersihkan dan menghias rumah pusaka di kampung bersama adik-adik yang semuanya jatuh giliran beraya di sini. Kemudian acara memasak rendang dan nasi himpit oleh keluarga Pak Lang: adik ketiga saya, berbuka puasa bersama dan menyambut ketibaan Aidilfitri dengan bermain bunga api dalam ruang takbir raya di kaca television. Cuma yang tidak ada keluarga Chik Teq: adik kelima saya, kerana dia sedang menunggu hari bersalin yang akan tiba bila-bila masa saja. Makanya dia dan keluarga mengambil keputusan untuk tidak balik kampung dan beraya di Subang Jaya sahaja.



Bergotong royong membersih dan menghias rumah arwah ayah and arwah mak berlangsung dalam suasana gelak ketawa sambil bertukar-tukar cerita kami adik beradik. Langsir dan kusyennya bukanlah yang baharu, Tetapi  cuma yang sudah bergantungan sejak raya tahun lepas diganti dengan yang lain sahaja: yang dipakai tahun sebelumnya. Mencuci lantai porch dan tangga luar supaya bersih dari tompokkan tahi ayam kering supaya nampak cantik esoknya. Kami mahu rumah pusaka ini cantik. Kerana ini rumah kami adik beradik. Rumah kampung kami.


Menyambut malam tibanya Aidilfitri di rumah pusaka, ada lainya. Suasana kampung yang selama ini saya rindu sudah saya jumpa penawarnya. Walaupun Pak Su: adik bongsu saya, tidak sempat memasang pelita minyak di keliling laman rumah, aura  Aidlifitri dalam suasana kampung  terasa. Berdentum-dentum di sana di sini bunyi riuh meriam kabat. 



Anak-anak bebas bermain bunga api dan mercun yang dibeli Pak Lang, Pak Tih dan Pak Su. Bunga api kali ini banyak. Sehinggakan anak-anak membakarnya lima batang sebelah tangan  berulang kali dan berlari ke sana sini dengan riang. Kononnya mereka adalah jet yang sedang laju terbang di ruang angkasa. Itu pun masih banyak bakinya. Tiada siapa yang menghalang atau tiada siapa yang marah. Anak-anak ternyata suka dan puas bermain bunga api kali ini berbanding tahun lepas.



Tidak seperti di kawasan perumahan di Selangor sana. Mereka hanya dibenarkan saya bermain di laman belakang rumah kerana bimbang akan keselamatan diri mereka bila saya benarkan bermain di ruang hadapan rumah: Akan ada kereta yang berlalu lalang di depan rumah dan pastinya ada yang laju.


Saya bersyukur kerana masih ada kampung walaupun hanya rumah pusaka tanpa ayah dan mak. Masih sempat anak-anak saya yang sedang membesar merasai suasana kampung yang di keliling sawah bendang.

Selamat Meraikan bulan Syawal. Bulan kemenangan kita masyarakat Islam. Maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga.

No comments:

Post a Comment