Nuffnang

Tuesday 11 December 2012

Ada Apa di Langkawi: Beras Terbakar





Beras Terbakar




‘Ada apa di Langkawi?’


Soalan anak-anak saya ‘bawa’ ke Beras Terbakar, Kampong Raja, Mukim Padang Mat Sirat. Setibanya  kami di situ, anak-anak mengomel terus-terusan kerana pada mereka, tentunya saya ke sini untuk membeli belah. Saya diam dan senyum. Kalau saya jadi mereka pun pasti saya akan mengomel juga.  Saya tidak salahkan mereka bila kawasan gerai jualan kain batik, t-shirt dan semua ‘barangan Langkawi’ yang ada di depan mata mereka, besar sungguh.




            “Ini apa? Kita nak mai ber shopping ka?” rungut Akif yang sebenarnya ‘pantang’ untuk saya membeli belah ketika waktu cuti-cuti begini. Lorong kecil yang terselit di antara gerai-gerai ‘barangan Langkawi’ yang dihimpun di bawah satu bumbung besar, sesak dengan pengunjung. Dengan wajah yang seposen anak-anak, khususnya Akif, melangkah masuk mencelah di dalam lorong kecil itu.

Setiba saja di hujung lorong itu langkah anak-anak berhenti. Mungkin mereka terkejut dengan apa yang mereka pandang sekarang. Sebuah rumah Melayu dalam senibina rumah kampung Melayu tradisional. Cantik.

            “Beras terbakar?” Soal Alif sebaik saja matanya menangkap papan tanda yang ada di situ.
            “Beras terbakar pun orang nak tengok? What so special about beras yang terbakar?” Soal Alif kepada saya dan daddy dia. Saya menyuruh dia membaca cerita yang ditulis di papan kenyataan yang disediakan. Meluru dia bersama kakak dan abang ke papan kenyataan yang ada.

Mengikut apa yang ditulis, Kampung Raja ini dahulu adalah pusat pemerintahan Langkawi. Beberapa purnama selepas berlakunya trajedi pembunuhan Mahsuri dengan perintah Datuk Seri Kerma Jaya, Langkawi telah diserang Siam. Telah berlangsung suatu pertempuran yang dahsyat. Namun sebelum pertempuran serangan Siam ini, Datuk Kerma Jaya sudah dapat merasakan bahawa Pulau Langkawi ini akan tewas. Maka dengan itu beliau memerintahkan agar penduduk di situ menanam dan menimbus beras di dalam simpanan mereka agar beras ini tiada terlepas ke pihak Siam.
Justeru itu, mengikut cerita-cerita yang saya pernah dengar, beras yang ditanam itu terbakar. Ini menurut tukang cerita, merupakan satu tulah sumpahan Mahsuri yang dibunuh kerana fitnah.

Anak-anak yang sudah faham cerita Beras Terbakar ini kemudiannya ke pagar di sebelah belakang mereka.
            “Mana beras terbakar?” Soal Akif
            “Dulu memang banyak. Dulu pagar ni tak ada. Siap boleh korek dan cari lagi beras terbakar yang sudah tertimbus lama. Sekarang dah tinggal sedikit.” Cerita daddy, sambil kawasan seluas tiga puluh kaki persegi yang berpagar itu mereka lihat.

            Beras yang terbakar itu tertanam sedalam tiga kaki dan dikatakan akan timbul bila hujan turun. Tatkala itu anak-anak sangat-sangat mengharap agar hujan tiba-tiba turun lebat, untuk mereka lihat sendiri beras terbakar yang diceritakan akan timbul bila hujan turun.


[Bersambung]