Nuffnang

Tuesday 15 October 2013

Ada Sesuatu Yang Indah Berlaku di Kampung Peta



Kampung Peta, Endau Rompin.


Ain duduk diam di hujung ruang balai sewang di Kampung Peta. Memerhati persiapan acara sewang yang bakal diadakan sekejap lagi. Melayang-layang suasana ini dulu. Ketika dia dan rakan sekampus datang ke sini. Meriah dia dan rakan-rakan menolong orang kampung untuk persiapan majlis sewang untuk mereka. Pandangan Ain menjala di segenap ruang balai yang terang benderang dan cantik dihias ini. Tidak tahu dia bagaimana posisi dan gerak kamera yang Ari inginkan. Cuma yang dia tahu, dalam acara sewang ini, untuk kedua kalinya Raden Galoh akan muncul dalam lagak dan gaya orang kampung sini. Dalam babak ini Zul yang sedang menyaksikan acara sewang, disapa Raden dan kemudian Raden memujuk Zul untuk dia bawa Zul ke alamnya.
   “Hai…” Sapa Joe yang tiba-tiba saja muncul. Terkejut Ain dan Joe tersenyum melihat gelagat terkejut tadi.
   “Joe…muncul macam hantu…nasib baik aku…”
   “EHeemmm…aku? Siapa aku?” Joe memintas cakap Ain dan Ain termalu. Aduhh…macam-macam lah si Joe ni. Tahu tak orang malu?  Ain memandang Joe yang menunggu jawapan dari dia sambil menyoal dia dengan isyarat kepala.

[Working title: Cinta? Boleh Belah]


Keramahan penduduk Kampung Peta, Endau Rompin, ketika saya berkunjung ke sana sekitar 2006, melayang jelas setiap kali saya ‘berada di dalam dunia’ Ain. Masyarakat Orang Asli Jakun di situ melayan saya dan geng Kembara Libur dengan mesra dan ada-ada saja oleh-oleh untuk kami untuk dibawa pulang. Pelbagai ilmu memburu dan tips-tips kembara hutan yang saya pelajari dan adalah antara kenangan indah yang saya zahirkan di dalam kisah Ain ini.

Selamat Menyambut Aidiladha. Maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga. 

Saturday 31 August 2013

Siapakah puteri itu?





Ketika shooting di Kuala Jasin Endau Rompin: Malam

Siapakah puteri itu?

Hanya alir sungai sahaja yang menjadi latar indah pada babak yang sungguh ‘cantik’ ini. Mata Ain yang sejak dari tadi melekat pada monitor di depan Ari melirik kepada Joe di hadapan sana. Ada senyum kembang pada wajah Ain. Senyum yang kembang itu keras pada wajah bila tiba-tiba sahaja pandangannya menangkap kelibat seperti seorang perempuan yang sangat elok pakaiannya. Seperti seorang puteri, lebih tepat lagi. Dia tergamam dan mulutnya seperti terkunci. Cepat-cepat matanya singgah pada monitor di depan mata. Ya…dia ada di situ. Ain memandang Ari dan Ada yang sedang asyik memandang monitor. Tidak perasan kah Ari dan Ada dengan kehadiran perempuan seperti puteri itu? Dengan perlahan Ain menunjuk kelibat perempuan itu pada monitor. Tersembul mata Ari dan Ada. Cepat-cepat pandangan mereka berlari ke arah hujung sana. Seram bulu tengkok Ain ketika itu. Tegak.

[Tajuk cadangan: Cinta Boleh Belah]



 




Pengalaman kembara saya ke Endau Rompin bersama Majalah Libur beberapa tahun dahulu, adalah antara pengalaman yang tidak mungkin saya lupa. Endau Rompin sangat indah. 'Rahsia keindahan' yang bersembunyi di situ sukar untuk saya ceritakan.  Khususnya Tasik Telaga Biru yang benar-benar menjadikan saya terpukau dan terpaku dulu.

'Dalam hutan lebat begini pun ada tasik?' Soal saya pada angin seketika dulu. Seperti berada di alam kayangan pun iya juga ketika itu.


Menyusuri kembali pengalaman itu saya ukirkan dalam novel akan datang saya [insyaAllah], tajuk yang dicadangankan adalah Cinta? Boleh Belah. 


Saturday 3 August 2013

Cinta? Boleh Belah, Beb!


Proses menulis novel yang satu ini sangat lambat dan lembab. Kalau dulu waktu-waktu begini sudah hampir siap. Tetapi yang satu ini...masih berada di status merangka konflik. Belum pun sampai ke puncak, sudah Ogos.  Masih ada 4 bulan sahaja untuk pastikan semuanya selesai. Sempatkah?

Kisah cinta Ain kali ini lain emosi dan rencahnya dari pengalaman cinta gila-gila Ain di dalam 26 Episod Gosip, dulu.  Kini dunia Ain yang ini ada 'emosi' seram dan aksi. 


Kak Farah dan Abang Rafik ada rancangan besar ya:

“Ain dengan Ari, okay?” Soal Kak Farah dalam senyum. Tangan yang menyenduk kari kepala ikan di depan berhenti di atas angin. Kepala ikan sebelah yang dikaut Ain, terjatuh semula di dalam mangkuk kari. Mungkin ia pun terkejut juga. Mata Ain jatuh pada wajah Joe yang tiba-tiba saja terdesak nasi. Ari? Aku dengan Ari? Kenapa Joe pula yang tersedak. Bukankah aku yang harus tersedak nasi sebab terkejut? Tangan yang berhenti tadi menyambung bergerak ke pinggan Ain. Senduk kecil yang hanya penuh dengan kuah kari tanpa isi, dituang ke pinggan.
“Ain dengan Ari? Okay…kenapa Kak Farah tanya?” Soal Ain yang ingin tahu maksud tersirat dan tersurat soalan Kak Farah tadi. Ain ingin tahu konsep maksud OKAY Kak Farah tadi. OKAY dalam konteks mana? Konteks hubungan aku dan Ari itu baik-baik saja kah? Atau konteks hubungan aku dengan Ari itu bukan sekadar kawan tetapi sebagai pasangan kekasih, itu baik-baik saja?
“Sekarang ni Ain dengan Ari lah ya? Akhirnya…” Kak Farah menjawab soalan Ain dalam bentuk soalan. Terasa nasi yang dia baharu sahaja telan, terlekat ditekak. Cepat-cepat air putih di sebelah dia teguk habis satu gelas. Joe yang memandang, pelik. Ain menghulur senyum pada dia. Apa pandang-pandang? Pelik sangatkah aku meneguk air tadi?
“Tak…Ain dengan Ari berkawan saja. Jangan salah sangka.” Ain menjelaskan keadaan. Kak Farah mengerling ke arah Joe di sebelah dia.
“ Ain single lah ni.” Abang Rafik mencelah. Haiii…macam ada apa-apa saja ni. Teka hati Ain.
“Macam tu lah Abang Rafik. Sekarang ni Ain nak tumpu kepada kerjaya dan macam Abang Rafik dan Kak Farah tahu, Ain nak buat Master tahun depan atau tahun yang lagi satu, Insya-Allah.” Ain memperjelaskan keadaan status dia. Kenapa tiba-tiba ruang makan ini terasa tidak selesa lagi. Seperti akan ada lagi soalan-soalan cepumas dari Kak Farah. Mahu saja dia meminta diri untuk balik.
“Akak masih ingat. Baguslah. Tapi Akak nasihatkan kahwin dulu. Baru tak sunyi di luar negara nanti.”
Sekali lagi Joe tersedak. Ain memandang Joe. Apa hal dengan Joe ni? Diserang musim batuk ke? Ain menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bagaimana harus dia memperjelaskan dengan lebih jelas lagi kepada Kak Farah bahawa dia ketika ini sudah bernekad untuk tidak mahu bercinta lagi. SERIK! Dulu Hadif tinggalkan dia sebab Rifa yang sungguh anggun itu, dan kini Jeffri, tunang dia juga telah meninggalkan dia….tanpa sebab.Tanpa Alasan!! Kali ini parah itu lebih dalam kerana mereka sudah pun diikat dengan rasminya oleh keluarga. Cuma tunggu masa sahaja untuk disatukan. Cukup! Dia sudah SERIK!!
“Ain, kalau Akak nak kenalkan Ain dengan saudara Akak, boleh ya?” Soalan Kak Farah menjadikan pasangan mata Ain besar. Siapa? Joe di depan sudah selesai makan dan sedang mencuci tangan. Abang Rafik yang duduk di kepala meja menguntum senyum.
“Akak, saya nak ke laman belakang sekejap. Nak ambil angin.”
Kak Farah angguk. Joe bangun dan meninggalkan mereka.
“Ain berkenal-kenallah dulu. Kalau tak serasi Akak tak kisah. Boleh ya Ain?” Pujuk Kak Farah.
“Siapa saudara Akak tu?” Soal Ain yang juga sudah selesai makan. Tiba-tiba saja perutnya terasa penuh dan padat walaupun nasi yang ditelan tidak sampai pun separuh pinggan. Ada senyum yang sangat manis muncul pada wajah Kak Farah. Dia menjeling ke wajah suaminya di sebelah.
“Adam Nazrin.” Beritahu Kak Farah. Adam Nazrin? Macam pernah dengar saja nama tu. Haahhh?! Adam Nazrin tu bukan Joe Adam ka? JOE ADAM?! Kak Farah nak aku berkenal-kenal dengan JOE ADAM? Kak Farah sedang ‘match-making’ aku dengan JOE ADAM?! Biar betul. Patutlah tadi Joe terbatuk-batuk lah…tersedak-sedaklah… rupanya makan tengahari ini ada agenda ‘besar’.

[Cinta? Boleh Belah, Beb]
 

Saturday 20 July 2013

Kisah Ain













Kata editor saya, dalam bulan Ramadan inilah kita ada masa yang ‘lebih’ untuk melukis cerita yang masih belum siap. Maka azam saya untuk Ramadan kali ini adalah untuk melukis kisah cinta Ain di dalam dunia Cinta? Boleh Belah, Beb! secepat dan sekemas yang mungkin. Tetapi tidaklah selaju dan sepantas kuda yang berlari. 

Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak.



Saturday 13 July 2013

Salam Ramadan 2013








Salam Ramadan,

Sudah empat hari kita berpuasa. Kini tinggal 25 atau 26 hari saja lagi. Cepatnya masa berlalu. Hari pertama Ramadan saya sekeluarga sambut dengan berbuka di Masjid Besi, di Putrajaya. Pengalaman ‘indah’ berbuka di masjid tahun lepas, menjadikan anak-anak membuat permintaan untuk berbuka di masjid –masjid ini lagi Ramadan kali ini. Sudah mereka atur jadual berbuka pada hari minggu: bergilir antara masjid Besi dan masjid Putrajaya. Saya dan daddy mengikut saja.

  Hari pertama berbuka dan malam berterawih yang kedua, berlangsung di masjid besi yang sangat indah itu. Namun ‘kenikmatan’ bersolat terawih di sana tidak panjang kerana ada anak-anak berlalu lalang di lorong sujud. Berlari ke sana ke mari dan ada kalanya duduk bermain di situ. Ada pula anak-anak yang duduk diam di sebelah ibu mereka tetapi tangan mereka ‘merayap’ pada jemaah di depan atau di sebelah. Menepuk-nepuk buntut jemaah di depan yang sedang bersujud dan cuba menarik-narik kain telekung jemaah di sebelah.

‘Budaya’ ini tidak hanya berlaku di situ, malah ‘bersambungan’ di surau kawassan perumahan saya, semalam: ada anak-anak berlari di lorong sujud dan menjadikan jemaah tidak khusyuk, khususnya bila anak-anak itu duduk terus di tempat itu. Di mana kami hendak sujud? Bila selesai, ada beberapa jemaah sebelah saya menjeling dan mencari siapa ibu kepada anak-anak ini dan ada yang marah lembut pada anak-anak ini. Tetapi si ibu buat bodoh saja. Seperti orang tidak bersalah.


Elok dan bagus mengajar anak ‘menyintai’ rumah Allah, saya pun suka. Tetapi kalaulah kesannya mengganggu jemaah lain dari khusyuk bersolat, adakah si ibu itu juga khusyuk solatnya?
           
Pernah Ramadan tahun lepas, ketika  berjemaah terawih di masjid Putrajaya, si ibu datang dengan membawa bayi yang hanya boleh meniarap dan si kakak berusia tiga atau empat tahun. Saya yang duduk berhampiran sudah mulai risau dan kemudian mengajak Yasmin dan bibik untuk berpindah ke saf yang agak jauh. Tidak lama ketika sedang bersolat, si adik menangis dan si kakak berlari-lari-lari di lorong sujud itu. Beberapa jemaah yang ada di situ hanya geleng dan melihat.
           
Kenapa si ibu sanggup bersusah payah mengheret anak kecil yang belum pun tahu apa-apa, ke rumah Allah ini kerana hanya untuk menunaikan solat sunat berjemaah? Adakah mereka ini datang berjemaah hanya untuk menghilangkan rasa bersalah di hati jika tidak solat berjemaah?

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak dari saya dan keluarga.


Sunday 30 June 2013

Pengalaman Seram Sejuk.

Pengalaman Seram Sejuk.



Sudah akhir Jun, kisah Ain Nurlisa ini masih di tahap 'suam-suam' kuku lagi. Perjalananan ceritanya masih bertatih-tatih saja untuk sampai ke konflik. Kisah Ain kali ini bukan romantik komedi seperti 26 Episod Gosip. Mengutip pengalaman seram sejuk dan romantik Ain setakat ini menjadikan ada kalanya bulu roma saya meremang dan ada ketikanya saya terawang-awang saja. Suatu pengalaman yang baharu ketika menulis kisah seram Ain. Mungkinkah penulis-penulis kisah seram juga melalui pengalaman begini? Sentiasa saja bulu roma mereka meremang dan ada rasa seram sejuk pada tengkok. Tidak boleh saya bayangkan...bagaimana pengalaman menulis sebuah cerita seram, bila saya yang baharu cuba-cuba: sana sikit...sini sikit...dan bukan cerita seram sepenuhnya, pun sudah seram sejuk saya sentiasa.


“Kau okay ka?” Soal Ain yang duduk di sebelah Ari di hadapan monitor. Dia menghulurkan cawan polistrin yang berisi teh.
            “Okay…terima kasih kerana bertanya.” Jawab sambil menyambut cawan teh yang dihulur. Ada rasa terkilan di hujung nada suara Ari ini. Dia sangat-sangat berkecil hati dengan sikap Ain yang diam membisu sejak dia pulang ke Johor Bahru. Ain seperti tidak peduli saja dengan apa yang sedang berlaku pada dirinya di Johor Bahru sana. Tiada panggil menyuruh dia bersabar atau kata-kata semangat untuk menbuang sedih yang penuh di dalam pembuluh darah dia ketika itu. Dia sangat-sangat mengharap dan menunggu panggilan dari Ain. Kalau ikutkan hati mahu saja dia memanggil Ain setiap detik untuk mengadu rasa. Tetapi dia sangat bimbang kalau-kalau panggilannya ini akan menjadikan Ain marah dan benci pada dia seperti dulu. Biar saja dia yang menunggu panggilan dari Ain….yang tidak pernah berdering. Benarlah Ain sudah buang rasa mereka yang pernah kembang di dalam hatinya dulu.
            “Semoga arwah diampunkan semua dosa di dunia dan dirahmati di alam sana.” Doa Ain dalam nada lembut. Pandangan Ari merenung bebola mata Ain. Pandangan yang melata di situ cuba mencari satu rasa. Mana tahu ada titik-titik yang sedang bercambah di dalam hati Ain.
            “Aku dengar ada kejadian tragik yang berlaku kat kilang lama tu.” Sambi meneguk teh dan kemudian dia letak di atas meja di sebelah. Bukan soalan itu yang sebenarnya tersangkut di dalam hati. Sebenarnya dia ingin sangat-sangat bertanya:
            “Kenapa kau tidak menelefon aku, Ain. Tidak rindukah kau pada aku?”
Tetapi hatinya masih belum kuat untuk meluahkan soalan yang diiringi rasa rindu. Bimbang dan takut bersarang kuat di dalam. Dia tida mahu hanya kerana soalan ini Ain akan lari dari dia sekali lagi.

[Cinta? Boleh Blah Beb.]

Saturday 1 June 2013

JUN 2013



Jun 2013



Hari ini 1 Jun. JUN? Ya Jun. Ertinya lagi 29 hari akan genap setengah tahun kita berada dalam ruang 2013. Hanya tinggal 5 bulan 29 hari lagi kita akan berganjak ke tahun 2014. Pantas sekali saya menyemak catatan senarai atau check list yang telah ditulis dalam memo untuk 2013 di Galaxy Note. Pada asasnya hanya ada 9 perkara saja yang senaraikan pada awal tahun dulu. Tetapi sudah bertambah menjadi 12.  Dari 12 senarai itu 4 sudah dipangkah. Tinggal lagi 8. 4 dalam proses dan 4 lagi satu huruf pun belum dititik lagi. Sungguh pun begitu, 4 yang dalam proses pembikinan, hanya satu bergerak aktif. Hanya Cinta? Boleh Blah Beb saja yang bergerak laju. Alia Kairasa: Siapa Perempuan itu, kisah Alia perempuan muda yang sangat berani dan berjiwa kental itu  masih tersangkut pada bab 12. Sudah lama tersangkut di situ. Kononnya ingin membuat ‘kajian’  dan pemerhatian dengan menonton filem-filem Hollywood yang berkaitan.
            Tetapi sebenarnya kesinambungan kisah cinta Ain dari 26 Episod Gosip itu yang menjadi daya penarik yang sangat kuat untuk dikisahkan di dalam dunia baharu Ain: Cinta? Boleh Blah Beb!

Cinta? Boleh Blah Beb!

“Sudah banyak kali Jef pesan, jangan rapat dengan Ari. Jef tak suka. Don’t you ever care about my feelings?” Malam itu di depan rumah, Jeffri menghantar dia pulang dari lokasi dalam rasa yang marah diusik cemburu. Cemburu kerana melihat Ari yang bersembang-sembang dengan dia di depan van krew. Ari yang menjadi pelakon utama di dalam telefilem arahan terbaru Abang Rafik, selalu saja mencari peluang untuk bersama Ain. Ada saja alasan untuk dia berbual-bual dengan penolong pengarah Abang Rafik ini, walaupun dia sedar, Ain seboleh mungkin menggelak.
     “Ain dengan Ari, kami dalam produksi yang sama. Macam mana Ain nak mengelak dari berkawan dengan dia? Jef, please trust me, okay.” Dia sudah mulai bosan dengan sikap ‘KING CONTROL’ Jeffri yang mengalahkan daddy nya. Itu tak boleh...ini tak boleh...kalau nak ke mana...harus dia yang hantar dan ambil. Rimas dan lemas sungguh menjadi tunang Jeffri Husin ini. Tak indah langsung!
     “Selama ini Ain memang sayangkan dia, kan? Bodohnya aku...”
     “Apa?” Membuntang mata Ain memandang Jeffri yang kini membelakangkan dia sambil memandang bulan mengambang penuh. Terkejut sungguh dia dengan kata-kata Jeffri sebentar tadi.
     “Macam ni lah. Jef rasa kita perlukan masa untuk diri sendiri.”
     “Maksud Jeffri?” Dia mencari mata Jeffri yang sedikit pun tidak mencari mata dia.      “Memberi masa untuk kita kenal rasa yang bermain di dalam. Ain, Jef sudah tidak yakin dengan apa yang kita ada sekarang. Kalau kita ada jodoh, tak akan ke mana. Selamat malam.” Hilang kata-kata Ain bila setiap ayat Jeffri menyusup masuk satu persatu di dalam hati melalui telinga. Kaku dia di situ, di depan rumah, memandang saja Jeffri yang melangkah ke kereta CRV hitamnya di seberang jalan sana. Jeffri tidak memaling walau sekilas, ke arah dia yang tercegat berdiri, malam itu.
Malam itu dia ditinggalkan seorang diri dalam rasa yang terkejut dan tercenggang yang bersaksikan bulan mengambang penuh tanpa awan. Hanya pada bulan yang sedang mengambang penuh, dia mengadu rasa. Hanya pada cahaya bulan itu dia menghirup semangat untuk melangkah masuk ke laman rumah dan berlari laju ke dalam bilik. Tidak pernah dia menyangka, marah sungguh Jeffri pada dia yang sering saja tidak akur dengan permintaan Jeffri. Sentiasa tidak patuh dengan permintaan cemburu Jeffri untuk tidak rapat dengan Ari.



Yang pasti watak Jeffri bukan watak utama lagi kerana kisah dia dan Ain sudah ‘hilang’. Dalam ruang dan kisah yang baharu ini,  Ari atau mungkin ada watak baru yang menjadi prince charming Ain Nurlisa Amir Lukman. NO COMMENT.

Bagaimana dengan kisah Ika dalam Skandalous Ika: Cinta Berani Mati?  





Sunday 12 May 2013

Bersama Ika di PBAKL 2013






PBAKL 2013

1 Mei 2013 saya bertugas di booth JS Adiwarna di ruang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Ini adalah pengalaman kedua saya bertugas di situ. Kalau dulu saya bersama Seri dengan Wanginya, Bunga Rampai (2012), kali ini saya dibawa Ika dengan kisah Skandalous Ika: Cinta Berani Mati (2013) dia.

Pengalaman kali ini sungguh berbeza ketika bersama Seri dulu. Kali ini ruang PBAKL terasa sungguh sesak dengan para pengunjung. Ramai sungguh rakyat Malaysia berpusu-pusu ke sini mencari buku atau novel kegemaran. Berpuluh-puluh atau mungkin beratus penerbit buku berkumpul di dalam ruang PWTC ini.

Melangkah masuk ke ruang PWTC, langkah saya tersasar hingga ke ruang depan sana. Bila menyedari saya  berpatah balik ke pintu masuk ke Dewan Mawar yang bersebelahan dengan pintu masuk utama. Pengalaman ini membawa saya melalui lorong-lorong yang bersempadankan penerbit-penerbit novel yang ada di tanahair. Rupanya banyak ‘rumah-rumah’ novel tempatan. Maka secara conggaknya ramailah penulis-penulis novel yang tumbuh. Langsung dari sini, kesimpulannya belambaklah novel-novel Melayu di pasaran tempatan. Maka sebagai penulis, stastistik rambang saya ini, menggambarkan suatu fenomena positif terhadap industri penulisan kreatif, khususnya novel. 

Yang masuk ke Booth Adiwarna pun banyak. Berat sekali beg yang diisi novel-novel yang sudah dibayar harganya. Skandalous Ika: Cinta Berani Mati pun ada di dalam beberapa buah beg itu. Terima kasih. Kepada yang membeli dan sudah selesai membaca, apa pendapat anda? Baguskah? Tidak menarik ya? Ceritakan saja kepada saya.

Siapa kata rakyat Malaysia khususnya orang Melayu itu malas membaca? Saya kira stastistik itu sudah berlapuk dan harus diperbaharui.

Sunday 14 April 2013

FAMILY DAY OUT: MERONDA DENGAN BAS ‘ASING’.







FAMILY DAY OUT: MERONDA DENGAN BAS ‘ASING’.

Hari minggu lepas, saya dan keluarga ke Kuala Lumpur Bandaraya Metropolitan dengan menaiki bas Rapid KL. Sudah lama saya dan suami bercadang untuk ‘meronda’ ke Kuala Lumpur dengan bas. Anak-anak paling suka. Agenda kami ringkas sahaja. Naik RapidKL dari perhentian bas di kawasan perumahan. Menuju ke hentian akhirnya: Pasar Seni. Meronda Pasar Seni yang sudah lama saya dan suami  tidak berkunjung. Makan petang dan pulang.

Menunggu bas tidak lama. Tempat yang belambak kosong, sebaik saja kami naik, satu persatu kian ada ‘tuannya’. Berada di dalam bas pun terasa sekejap bila melihat anak-anak suka.

Apabila agenda ‘utama’ sudah selesai, saya dan keluarga  menaiki LRT dari Masjid Jamek menghala ke Asia Jaya. Kemudian menunggu bas di situ untuk pulang.

Bas yang kami naik  untuk pulang, sesak. Berdiri sehingga ke pintu. Alhamdullillah ada pemuda yang perihatin dan memberi tempat duduk dia untuk saya. Saya duduk sambil Alif saya riba. Kemudian telinga saya mula menangkap suara-suara bualan dan sembang. Loghat bahasanya asing. Pandangan saya alih ke sebelah dan kemudian melirik ke belakang. Rupanya, sesak bas ini penuh dengan orang asing. Sejauh mata saya mampu menjangkau, tiada satu wajah pun yang persis wajah orang sini. Sekejap mata saya pejam. Sungguh ketika itu, bagai terasa berada di Bandung atau di Jawa Timur sana dan kadang kala terasa di Nepal dan Bangladesh pun ada juga. Ada senyum muncul pada wajah saya ketika itu.

Dulu….ketika saya bergelar pelajar kampus, tidak pernah saya alami pengalaman begini. Mungkin inilah yang dikatakan Malaysia: khususnya Bandaraya Kuala Lumpur Kota Metropolitan  ini, sebagai ‘lubuk emas’ kepada yang bukan warganegara. Sanggup merantau jauh ke sini untuk mengaut emas yang warga sini sendiri tidak sedar atau peduli. Malah ada di antara warga sendiri tidak pandang langsung ‘emas’ yang ada di dalam lubuk ini, kerana itulah ada yang sanggup dan beria-ia merantau ke negara orang. Malah ada yang sanggup menjadi rakyat sana.

Saturday 6 April 2013

Alia Kaisara: Siapa Perempuan Itu?










Sudah April

Sudah 6 April hari ini. Maksudnya sudah lebih dari satu perempat bulan kita berada dalam ruang 2013. Bagaimana dengan anda? Azam yang dipahat pada awal tahun dulu sudah berada di tahap mana, agaknya? Azam saya sudah pun nampak hasilnya tapi masih belum selesai. Masih banyak proses yang perlu dilalui lagi.

Azam saya untuk tahun 2013 ini adalah mencabar diri untuk menghasilkan sebuah novel tanpa cinta. Macam bagus kan? Dari kisah ‘cinta berani mati’ Ika: Skandalous Ika: Cinta Berani Mati, (2013), saya terus ‘buang’ cinta? Adakah nanti pembaca novel yang sudah sebati dengan novel-novel cinta, yang akan membaca novel Alia Kaisara: Siapa Perempuan Itu?, saya nanti. Maka itulah…ianya satu cabaran buat saya.

Kalau bukan genre cinta, Alia Kaisara: Siapa Perempuan itu harus diletak dalam rak genre mana ya?

Saya ingin ‘meletakkan’ cerita Alia ini dalam genre aksi. Bolehkah?

Tunggu dan lihat saja bagaimana perkembangan cerita Alia yang masih dalam tahap awal.

Apa khabar Skandalous Ika: Cinta Berani Mati (2013).

Sudah sebulan Ika berada di pasaran? Pada yang sudah membaca, apa pandangan anda? Suka? Benci? Atau tak ada rasa apa-apa? Luahkan apa yang anda rasa pada facebook saya Haswida Abu Bakar. 

Saturday 2 March 2013

ADA APA DI PBAKL 2013




Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur




Melihat Ika ‘berdiri’ sebaris bersama kalangan nama-nama besar  penulis Adiwarna, menjadikan senyum yang melirik tidak mahu hilang. Alhamdullilah, akhirnya dengan izin DIA, Ika ‘lahir’ dari ilham yang tenggelam timbul dalam lautan pengalaman ketika menjadi anak rantau dulu. Ika ‘lahir’ di tengah-tengah masyarakat ‘urban kampung Melayu’. Itu adalah gelaran yang saya rasa sesuai untuk masyarakat anak rantau yang berkampung di negara orang.

InsyaAllah walaupun nama penuh Ika yang saya beri: Skandalous Ika: Cinta Berani Mati, nama itu sangat sesuai dengan roh dan semangat yang diangkat oleh novel berkulit lukisan almari buku, yang ditabir langsir putih jarang. Skandalous Ika….ya sememangnya sifatnya adalah skandalous. Cinta Berani Mati…ya benar….semangatnya memang berani mati demi cinta yang terlarang itu. Tetapi…jangan lupa…ada tabir PUTIH jarang yang memisahkan kita dengan roh dan semangat cinta berani mati Ika itu.

Terima kasih warga Adiwarna.

Jumpa kita di PBAKL Mei nanti.

Wednesday 23 January 2013

THE COVER




‘Skandalous’ Ika; Cinta Berani Mati – THE COVER






Terpegun. Itu reaksi sebaik saja pandangan saya jatuh pada skrin laptop. Kulit buku untuk novel ke - enam saya ini sungguh unik sekali. 

Di sebalik langsir putih jarang yang tidak jernih, ada sebuah rak almari buku. Langsir putih itu tidak ditutup penuh. Dicelah-celah buku-buku itu ada terselit barang-barang berjenama mahal hak milik Ika. Langsung, cerita Ika sudah boleh dibaca ‘sekali imbas’ dari lakaran yang unik ini.

Terima kasih kepada pelukis grafik untuk novel kedua saya bersama JS Adiwarna ini. Cantik dan unik sekali.

Tuesday 8 January 2013

Bila Ika Bercerita: Pengalaman Awal Di Tanah Ratu



Cerita Ika Tentang Pengalaman Awal dia ketika di Tanah Ratu:



“MasyaAllah, hari ini hari raya….”
Mengalir air mata di pipi licin aku. Rindu pada kampung halaman tiba-tiba saja menjerut kuat semua rasa di dalam. Rupanya hati di dalam tidak sekuat yang aku sangka. Melayang-layang wajah Mak, Mama dan Ayah di ruang bilik kecil ini. Sungguh ketika ini aku ingin saja terbang balik ke Tanjung Dawai untuk meraikan Aidilfitri di sana. Bersama-sama keluarga aku di Kampung Nelayan sana.
“Ya Allah, bagaimana aku boleh terlupa dengan hari kemenangan ini?”
Air mata yang mengalir laju di pipi aku sapu dengan telepak tangan. Sungguh ketika ini tidak ada pun secubit rasa suasana menyambut hari kemenangan ini melingkar di dalam diri kerana gahnya tidak ada langsung. Tidak seperti di Tanjung Dawai sana. Di sini tidak ada malam tujuh likur. Tidak ada anak-anak bermain bunga api. Cuma yang ada hanyalah takbir raya yang berlangsung di rumah Abang Saiful dan Kak Ida saja semalam. Itulah kali pertama aku berkenal-kenal dengan masyarakat Melayu di York ini. Tidaklah seramai yang aku sangka. Kata Kak Nai, masyarakat Melayu di sini tidak sebanyak di Manchester atau di Leeds. Pada pemerhatian aku, penduduk Kampung Nelayan jalan hulu : kawasan rumah aku, pun banyak lagi. Malah penduduk perumahan kos rendah di barisan rumah Kak Ngah di Bukit Tembaga, Kuala Nerang sana pun ramai lagi, kalau nak dibandingkan dengan masyarakat yang ada di York ini. 

Saturday 5 January 2013

Snippet dari Skandalous Ika: Cinta Berani Mati.


Suatu Petang Di Hujung Ramadhan:


Kenapa tiba-tiba saja dia boleh menghantar kad raya kepada aku pulak? Anak Tok Imam Kota Sarang Semut itu menghantar kad raya yang besar ini kepada aku?!
“Ika…Ika…pasai apa lari macam nampak hantu tadi?” Soal Mak di sebalik pintu.
“Tak ada apa-apa Mak…”
Sapa hantaq kad raya yang besaq tu?” Soal Mak lagi. Aduh, macam mana harus aku jawab soalan Mak yang ini. Mahunya Mak berceramah panjang bila aku menyebut nama Khaleef Idil. Pasti Ayah akan berkhutbah pula bila berita kad ini sampai ke telinga dia.
“Kawan kolej Mak.” Itu saja yang mampu aku jawab dengan harapan Mak tidak bertanya banyak lagi.
“Kawan baik-baik. Pilih yang elok-elok. Bawa tunjuk dekat Ayah dengan Mak nanti.” Kata Mak dalam nada sungguh lembut. Kata-kata Mak tadi menjadikan debaran yang laju tadi berhenti . Apa maksud Mak bila berkata begitu tadi? Adakah Mak ingat aku dan Khaleef sudah lama berkawan, bercinta dengan lebih tepat lagi?
“Kawan saja Mak.” Balas aku.
“Ya lah…lepas habis baca kad tu..turun bawah…goreng kuih Che Mek Molek yang Tok Besah kau bagi untuk buka puasa.”
“Baik Mak.” Jawab aku dalam senyum. Ada –ada saja Mak ni. Lain yang disangka lain pula yang jadi. Dengan hati yang sudah mula berdebar semula, kad tadi aku buka sekali lagi. Melihat dan membaca setiap baris ayat yang tertulis di situ:

Assalammualaikum Zulaikha Mat Ayob,
Selamat Menyambut Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin
Semoga perkenalan ini kekal dan dirahmati DIA dunia akhirat
Salam Aidilfitri dari
Khaleef Idil bin  Haji Ismail

Aku memasang senyum dan membaca barisan ayat yang ditulis itu berkali-kali. Walaupun kata-katanya sungguh ringkas dan biasa tetapi ia menyusup masuk seperti pelangi terang di langit hati. Melekat kukuh dan mencengkam dalam pada dinding hati aku. Menjadikan ruang hati indah berwarna warni. Sejak kehadiran kad itu di dalam hidup aku, hati aku sudah punyai tuan dan sangkar emasnya yang tersendiri. Sangkar emas di dalam sangkar hati Khaleef Idil.

Tuesday 1 January 2013

Selamat Tahun Baharu 2013






Sudah 2013 hari ini. Cepatkan masa berlalu?
 

Azam saya untuk 2012, alhamdullilah sudah tercapai. Manuskrip kisah Zulaikha Mat Ayob yang dipanggil: Skandalous Ika: Cinta Berani Mati, sudah ada ditangan editor. Sekarang ini tunggu saja apa kata editor JS Adiwarna. Terima saja komen-komen dari bahagian editorial ini. Memang ketika ini resah dan gementar yang bercampur dengan rasa tidak sabar, penghuni tetap ruang di dalam diri.

Apa azam saya tahun 2013? Banyak…sungguh banyak. Listnya penuh satu kertas kajang. Insya-Allah saya ingin mencapainya…semua. Antaranya, untuk JS Adiwarna, saya ingin cuba berubah ‘dunia’. Berubah angin, kata orang kita.  Dari dunia novel umum saya ingin mencabar diri untuk masuk ke alam novel kreatif. Bukan senang untuk ‘berhijrah’ walaupun sebentar ke alam lain, kalau tidak bersedia tanpa seberang persiapan. Hanya mereka yang pakar saja mampu berada dalam dua alam atau tiga alam pada suatu masa. Yang pasti, ‘angin’ alam kreatif ini berbeza, baik dari segi cerita mahupun dari segi bahasa.

Tips dan panduan sudah diberi oleh sifu-sifu saya dengan jelas. Insya-Allah Kisah Alia Kaisara yang mula dikutip hari ini akan lancar sehingga pengakhiran cerita dan bertemu dengan titik tamatnya nanti.

Apa azam anda? Bagaimana pula azam anda tahun 2012, adakah sudah tercapai semuanya? Atau separuh saja atau pun tiada langsung kerana anda tiada usaha ke arah azam itu? Ceritalah kepada saya kalau sudi.


Selamat berada di dalam ruang 2013 dari saya dan keluarga.

Jangan lupa ya, Skandalous Ika: Cinta Berani Mati, Insya-Allah...awal tahun 2013.