Nuffnang

Wednesday 23 January 2013

THE COVER




‘Skandalous’ Ika; Cinta Berani Mati – THE COVER






Terpegun. Itu reaksi sebaik saja pandangan saya jatuh pada skrin laptop. Kulit buku untuk novel ke - enam saya ini sungguh unik sekali. 

Di sebalik langsir putih jarang yang tidak jernih, ada sebuah rak almari buku. Langsir putih itu tidak ditutup penuh. Dicelah-celah buku-buku itu ada terselit barang-barang berjenama mahal hak milik Ika. Langsung, cerita Ika sudah boleh dibaca ‘sekali imbas’ dari lakaran yang unik ini.

Terima kasih kepada pelukis grafik untuk novel kedua saya bersama JS Adiwarna ini. Cantik dan unik sekali.

Tuesday 8 January 2013

Bila Ika Bercerita: Pengalaman Awal Di Tanah Ratu



Cerita Ika Tentang Pengalaman Awal dia ketika di Tanah Ratu:



“MasyaAllah, hari ini hari raya….”
Mengalir air mata di pipi licin aku. Rindu pada kampung halaman tiba-tiba saja menjerut kuat semua rasa di dalam. Rupanya hati di dalam tidak sekuat yang aku sangka. Melayang-layang wajah Mak, Mama dan Ayah di ruang bilik kecil ini. Sungguh ketika ini aku ingin saja terbang balik ke Tanjung Dawai untuk meraikan Aidilfitri di sana. Bersama-sama keluarga aku di Kampung Nelayan sana.
“Ya Allah, bagaimana aku boleh terlupa dengan hari kemenangan ini?”
Air mata yang mengalir laju di pipi aku sapu dengan telepak tangan. Sungguh ketika ini tidak ada pun secubit rasa suasana menyambut hari kemenangan ini melingkar di dalam diri kerana gahnya tidak ada langsung. Tidak seperti di Tanjung Dawai sana. Di sini tidak ada malam tujuh likur. Tidak ada anak-anak bermain bunga api. Cuma yang ada hanyalah takbir raya yang berlangsung di rumah Abang Saiful dan Kak Ida saja semalam. Itulah kali pertama aku berkenal-kenal dengan masyarakat Melayu di York ini. Tidaklah seramai yang aku sangka. Kata Kak Nai, masyarakat Melayu di sini tidak sebanyak di Manchester atau di Leeds. Pada pemerhatian aku, penduduk Kampung Nelayan jalan hulu : kawasan rumah aku, pun banyak lagi. Malah penduduk perumahan kos rendah di barisan rumah Kak Ngah di Bukit Tembaga, Kuala Nerang sana pun ramai lagi, kalau nak dibandingkan dengan masyarakat yang ada di York ini. 

Saturday 5 January 2013

Snippet dari Skandalous Ika: Cinta Berani Mati.


Suatu Petang Di Hujung Ramadhan:


Kenapa tiba-tiba saja dia boleh menghantar kad raya kepada aku pulak? Anak Tok Imam Kota Sarang Semut itu menghantar kad raya yang besar ini kepada aku?!
“Ika…Ika…pasai apa lari macam nampak hantu tadi?” Soal Mak di sebalik pintu.
“Tak ada apa-apa Mak…”
Sapa hantaq kad raya yang besaq tu?” Soal Mak lagi. Aduh, macam mana harus aku jawab soalan Mak yang ini. Mahunya Mak berceramah panjang bila aku menyebut nama Khaleef Idil. Pasti Ayah akan berkhutbah pula bila berita kad ini sampai ke telinga dia.
“Kawan kolej Mak.” Itu saja yang mampu aku jawab dengan harapan Mak tidak bertanya banyak lagi.
“Kawan baik-baik. Pilih yang elok-elok. Bawa tunjuk dekat Ayah dengan Mak nanti.” Kata Mak dalam nada sungguh lembut. Kata-kata Mak tadi menjadikan debaran yang laju tadi berhenti . Apa maksud Mak bila berkata begitu tadi? Adakah Mak ingat aku dan Khaleef sudah lama berkawan, bercinta dengan lebih tepat lagi?
“Kawan saja Mak.” Balas aku.
“Ya lah…lepas habis baca kad tu..turun bawah…goreng kuih Che Mek Molek yang Tok Besah kau bagi untuk buka puasa.”
“Baik Mak.” Jawab aku dalam senyum. Ada –ada saja Mak ni. Lain yang disangka lain pula yang jadi. Dengan hati yang sudah mula berdebar semula, kad tadi aku buka sekali lagi. Melihat dan membaca setiap baris ayat yang tertulis di situ:

Assalammualaikum Zulaikha Mat Ayob,
Selamat Menyambut Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin
Semoga perkenalan ini kekal dan dirahmati DIA dunia akhirat
Salam Aidilfitri dari
Khaleef Idil bin  Haji Ismail

Aku memasang senyum dan membaca barisan ayat yang ditulis itu berkali-kali. Walaupun kata-katanya sungguh ringkas dan biasa tetapi ia menyusup masuk seperti pelangi terang di langit hati. Melekat kukuh dan mencengkam dalam pada dinding hati aku. Menjadikan ruang hati indah berwarna warni. Sejak kehadiran kad itu di dalam hidup aku, hati aku sudah punyai tuan dan sangkar emasnya yang tersendiri. Sangkar emas di dalam sangkar hati Khaleef Idil.

Tuesday 1 January 2013

Selamat Tahun Baharu 2013






Sudah 2013 hari ini. Cepatkan masa berlalu?
 

Azam saya untuk 2012, alhamdullilah sudah tercapai. Manuskrip kisah Zulaikha Mat Ayob yang dipanggil: Skandalous Ika: Cinta Berani Mati, sudah ada ditangan editor. Sekarang ini tunggu saja apa kata editor JS Adiwarna. Terima saja komen-komen dari bahagian editorial ini. Memang ketika ini resah dan gementar yang bercampur dengan rasa tidak sabar, penghuni tetap ruang di dalam diri.

Apa azam saya tahun 2013? Banyak…sungguh banyak. Listnya penuh satu kertas kajang. Insya-Allah saya ingin mencapainya…semua. Antaranya, untuk JS Adiwarna, saya ingin cuba berubah ‘dunia’. Berubah angin, kata orang kita.  Dari dunia novel umum saya ingin mencabar diri untuk masuk ke alam novel kreatif. Bukan senang untuk ‘berhijrah’ walaupun sebentar ke alam lain, kalau tidak bersedia tanpa seberang persiapan. Hanya mereka yang pakar saja mampu berada dalam dua alam atau tiga alam pada suatu masa. Yang pasti, ‘angin’ alam kreatif ini berbeza, baik dari segi cerita mahupun dari segi bahasa.

Tips dan panduan sudah diberi oleh sifu-sifu saya dengan jelas. Insya-Allah Kisah Alia Kaisara yang mula dikutip hari ini akan lancar sehingga pengakhiran cerita dan bertemu dengan titik tamatnya nanti.

Apa azam anda? Bagaimana pula azam anda tahun 2012, adakah sudah tercapai semuanya? Atau separuh saja atau pun tiada langsung kerana anda tiada usaha ke arah azam itu? Ceritalah kepada saya kalau sudi.


Selamat berada di dalam ruang 2013 dari saya dan keluarga.

Jangan lupa ya, Skandalous Ika: Cinta Berani Mati, Insya-Allah...awal tahun 2013.