Friday, 6 June 2014

Musim Cuti: Pulau 26 Episod Gosip






Pulau 'Cinta Gila-Gila Ain'

Cuti sekolah penggal ini saya dan daddy membawa anak-anak ke Pulau Kapas. Pulau yang ketika dulu pernah kami kunjungi bersama rombongan jelajah Majalah Libur…mungkin sekitar 2006. Pengalaman itulah menjadi salah satu latar 26 Episod Gosip. Pulau Kapas sungguh pesona.



Sepanjang perjalanan di dalam bot, cerita pengalaman cinta ‘gila-gila’ Ain melayang-layang di ruang mata. Terasa sungguh dan sangat dekat pada hati. Dan sebaik saja kaki saya kukuh di lantai simen jeti, ‘kenangan’ itu semakin kuat menggoncang akal dan kian jelas di sepanjang pantai Chalet Kapas Island Resort (yang kini sudah bertukar nama kepada Kapas Island Resort & Spa). 



Tiga hari dua malam saya di Pulau ‘Cinta Tiga Segi Ain’.  Pulau kecil ini sudah banyak berubah. Namun ‘setting’ kisah Ain masih ada: gerai keropok lekor yang sering krew abang Rafik kunjungi saban malam ketika di Pulau Kapas, chalet-chalet yang dulu masih kukuh di situ . Pantai di mana Ain menampar Jeffri pun masih seperti dulu- cantik, gebu dan pesona.


Tiga hari dua malam saya bercuti di Pulau ’26 Episod Gosip’ ini, ada pengalaman baharu yang tiada di dalam cerita Ain. Malam pertama kami di sana, seekor penyu singgah bertelur. Menunggu dan menanti si ibu penyu bertelur dan kemudian mengiring dia pulang semula ke pantai, suatu pengalaman dan kenangan yang pasti akan melekat lama pada ingatan anak-anak.

Alhamdulillah, anak-anak berpuas hati dan sangat gembira. Sehingga ada yang bertanya, ‘Mak, cuti bulan 12 nanti, nak ke mana pulak?’

Selamat bercuti bersama keluarga.


** Bulan Syaaban sedang bertandang. Itu tandanya Ramadan bakal berkunjung ganti. 
    Sudah bersiap sedia menyambut bulan Barakah ini?

No comments:

Post a Comment

2011 Reading Challenge

Ayu has read 0 books toward a goal of 100 books.
hide