Monday, 19 December 2016

Teman Jiwa A.K.A Soulmate


14 Disember yang lalu filem Soulmate ditayangkan di DATC, UiTM.

Bagaimana perasaan saya? Tentulah sangat teruja untuk melihat watak yang saya cipta: Nur Rukiah, Azmeer, Kalisha, Kak Dian, Zana dan Firdaus 'hidup'.

Sebaik saja filem bermula Azmeer dan Kalisha 'hidup' di depan saya. Saya mengukir senyum kerana saya faham bagaimana agungnya cinta pasangan suami isteri ini. Saya juga tahu bagaimana ia berputik dan terpaksa 'berakhir'.

Tidak lama Nur Rukiah dan Zana pula muncul dan saya tergamam. Sungguh lain dari apa yang saya lakarkan dalam novel Teman Jiwa A.K.A Soulmate. Rukiah dan Zana saya orangnya perempuan kampung yang 'sopan' tetapi cekal jiwa. Kedua-duanya bercita-cita besar. Seorang memahat impian menjadi setiausaha kepada VVIP dan seorang lagi menggantung cita-cita untuk menjadi seorang perancang bandar yang berjaya. Khususnya Rukiah yang matang kerana kesusahan hidup.

Terkejut saya bila Firdaus juga ke hulur ke hilir dengan mereka. Firdaus saya orangnya, seorang Hafizan. Lulusan PhD Usulludin dari Syria dan pensyarah di salah sebuah universiti di Doha. Orangnya berjiwa pejuang -Muhajid, ahli NGO kemanusiaan. Tetapi Firdaus yang di depan mata saya ketika itu..lelaki kampung biasa-biasa. Cuma Rukiah Soulmate dan Nur Rukiah saya samanya hanya pada pandai membuat kopi yang sedap.

Gaya berfesyen Nur Rukiah dan Rukiah Soulmate juga berbeza. Nur Rukiah saya gaya dalam busana Muslimah. Pelik dan 'comot'nya adalah dalam gaya Muslimah dunia Nur Rukiah yang tidak digemari oleh Azmeer. Ada ketika tudungnya kembang besar seperti bunga raya dan ada ketikanya seperti sarang tebuan (kononnya fesyen gaya Yuna).

Ketika itu fahamlah saya bahawa proses adaptasi itu mempunyai jurang persamaan yang sangat luas. Mungkin luasnya seperti langit dan bumi. Penulis skrip bukan penulis novel itu maka interpretasinya pastilah berbeza mengikut pengalaman, rasa dan gaya penulis skrip tersebut.

Maka betullah apa yang dikatakan oleh Luc Goddard- sebaik saja teks itu dibaca, maka proses translasi pun berlaku melalui presepsi pembaca.

InsyaAllah novel TEMAN JIWA A.K.A SOULMATE akan berada di pasaran hujung Disember ini.


No comments:

Post a Comment

Cerita Semalam

Semuanya Bermula dari HATI