Nuffnang

Sunday 31 December 2017

Adakah Malaysia Akan Dihujani Salji?






Assalamuailakum

November lepas saya ke sebuah 'Shopping Mall'. Terkejut dan hairan apabila mata menangkap ruang sebuah kedai baju rangkaian antarbangsa, penuh dengan koleksi baju  musim sejuk- winter cloth

"Sekejap…adakah aku ketika itu sedang berada di UK atau negara Eropah yang sedang tenggelam dalam ruang musim sejuk atau berada di salah sebuah daerah di Amerika atau pun mungkin di mana-mana daerah di  ‘Benua China’: China, Korea, Jepun atau negara berdekatan mereka? Atau mungkin ramalan pakar meteorologi bahawa Malaysia mengalami musim sejuk dan bakal dihujani salji tidak lama lagi?"

Pelik dan hairan saya bercampur lucu dan anak-anak pun ketawa kecil juga. 

Adakah akan ada yang membeli pakaian musim sejuk ini yang sememangnya tidak sesuai dengan cuaca Malaysia? Ya musim sejuk akan melanda Malaysia kerana pada waktu-waktu begini dikatakan musim tengkujuh. Tapi sejuknya tidaklah mencecah bawah  10 atau 0 darjah Celsius, yang menjadikan masyarakat kita harus dan wajib membeli pakaian musim sejuk –beku seperti di negara empat musim.

Benar rangkaian ‘butik’ ini bertompok serata negara di dunia dan berpusat di negara empat musim. Tetapi haruslah seseorang  yang dilantik sebagai ‘pakar’ perancang atau publisiti dan pemasaran atau pun PR, faham dan teliti tentang produk yang akan dijual. Produk itu harus selari dengan permintaan dan keperluan pengguna masyarakat setempat. Sehubungan dengan ini, adakah koleksi pakaian sejuk sebegini selari dengan permintaan dan keperluan kami di Malaysia?

***

Sedar atau tidak hari ini adalah hari terakhir kita berada di ruang dan alam 2017. Esok akan hilang tahun 2017 dalam kalendar Georgian  dunia. Ia akan menjadi sejarah dalam kenangan dunia. Apa azam anda kali 2018?

Selamat Berada di Ruang 2018. Semoga kita sentiasa dalam rahmatNya.

Assalamuailaikum

Sunday 24 December 2017

Anak-Anak Hilang Sebentar di Koh Lipe









Koh Lipe 'The Maldives of Thailand'.

Ruang Koh Lipe, Selatan Thailand menghulurkan pengalaman ‘adventurous’ pada saya dan keluarga. Letak duduknya yang agak jauh di kawasan Lautan Andaman yang sangat cantik menjadikan pengalaman perjalanan kami penuh dengan element 'penggembaran.' 



Ruang Bot Laju Yang Kosong.



Bermula dengan pengalaman menaiki bot laju selama satu setengah jam yang tidak terasa langsung detik lama itu. Mungkin kerana alam sekeliling melayani hati yang terpesona dengan baik sekali. 




Kemudian bertukar ganti pula dengan bot panjang di transit. Dari transit ke pantai Koh Lipe hanya lima minit saja. Justeru, sebaik saja sampai ke  destinasi yang dituju, saya jejaki dengan lafaz Bismillah dan memberi salam kepada penghuni alam ruang Koh Lipe.

Saya jejaki tanah Koh Lipe yang dikatakan sebagai ‘The Maldives of Thailand’ dalam jiwa yang terpegun. Subhanallah tenangnya jiwa ketika ini hanya Dia saja yang mengerti. Saya dahului suami dan anak-anak ke pantai yang putih bersih dengan melangkah laju ke pantainya yang putih dan bersih. Ya..pantainya memang bersih.


Dari sini untuk ke chalet, kami harus menaiki ‘beca’ tiga roda yang hanya muat tiga orang satu beca. Maka saya dan suami harus ‘berpisah’ dengan anak-anak. Pengalaman berada di dalam beca ini saya suka. Terasa sungguh seperti berada di dalam mana-mana program ‘travelog’ Discovery Channel  apabila beca yang dinaiki menyusuri jalan (tanah) kampung yang becak dan ‘berkolam’ kecil di sana-sini yang diapit dengan persekitaran suasana pendalaman kampung. 

Jalannya tidak sekata dan berlubang-lubang di sana- sini sepanjang laluan.  Ketawa-ketawa saya lihat anak-anak terhinggut-hinggut berada di dalam beca mereka yang sedang mengikuti kami. Dalam keterujaan inilah tiba-tiba saja beca dinaiki anak-anak yang kian jauh ditinggalkan, hilang! Ya HILANG! 

Ketika itu saya tenang-tenang sahaja kerana memikirkan mungkin beca kami ini laju kerana pemandunya jauh lebih muda dari yang membawa beca anak-anak. Maka pemandu kami lebih ‘lasak dan laju’.

Pada mulanya apabila kami diturunkan di tengah-tengah kawasan ‘perumahan’ orang kampung, yang letaknya di kawasan belakang chalet, saya dan suami menunggu kemunculan beca anak-anak dengan rasa suka. Bersiap sedia saya dengan kamera video untuk merakamkan saat-saat ketibaan mereka di sini. Tetapi beca yang dinaiki anak-anak tidak muncul-muncul juga.


Hati seorang ibu saya mula tidak enak. Cerita-cerita ngeri dan seram tentang kawasan ‘terpencil’ begini mula mengusik rasa. Saya kawal panik kuat-kuat apabila suami yang cuba menghubungi mereka tidak berjaya. Allahuakhbar, ketika ini terasa sendi lutut kian longgar walaupun suami yang juga sedang mengawal waras memujuk jiwa saya yang kian panik.



            “Jom kita ke lobi. Mungkin depa dah sampai kot. Mungkin beca depa ikut jalan lain. Kita ikut jalan belakang ni rasanya.”

Langkah saya atur dalam jiwa yang tidak ketentuan. Jiwa ibu mana yang akan tenteram ketika ini. Hanya Allah saja yang Maha Memahami.

Syukur Allhamdulillah Ya Allah. Benar teka suami, beca anak-anak tidak mengikut jalan yang sama. Mereka sebenarnya sudah lama sampai di lobi chalet. Sebaik saja kelibat kami mereka nampak, mereka yang sebenarnya panik juga, membebel –bebel ‘marah’ bertanya di mana kami berada dan kenapa lambat sampai? Risau mereka.

Alhamdulillah hati sang ibu yang gundah gulana dan panik ketika ini tenang semula.

Kalaulah anda berada dalam keadaan seperti saya tadi, apa yang anda lakukan? Panikkan?

**(Cerita Kembara kami ke Koh Lipe akan saya sambung lagi dalam segmen Diari Kembara ini bulan depan)

Gambar kenangan saya dan keluarga melewati sempadan Thailand ke Pak Bara.






Selamat Menyambut Hari Natal/Christmas.


Sunday 17 December 2017

Lemon dan Madu Penawar Batuk







Pengalaman Ketika Di Luar Negara

Pengalaman tinggal di luar negara selama tiga tahun setengah menjadikan saya sentiasa mencari ilmu penawar 'alam' atau altenative. Di sana konsep  'perubatan' agak berbeza. Antibiotik tidak digalakkan dan ada kempen berkaitan ini sering dilihat pada mana-mana klinik GP. Berada di negara empat musim sering kali menjadikan saya begitu senang disinggah virus batuk. Ada ketikanya berminggu-minggu dan sesungguhnya keadaan ini sangat tidak selesa. Setujukan?

Ketika di sana apabila ubat batuk 'sukar' diperolehi, saya mencari penawar altenatif alam. Selama tiga tahun setengah itu saya tidak pernah menjamah ubat batuk. Kalau ada pun mungkin 'ubat batuk gula-gula' yang ada dipasaran. Ada pelbagai petua dan tips yang disarankan oleh rakan-rakan di sana. Antara yang serasi dengan saya adalah tips lemon yang dicampur madu.

Cara saya amalkan

Sebiji lemon atau kadang kala tiga biji lemon diperah dan campur dengan satu sudu kecil madu. Saya gaul sambil berselawat tiga atau tujuh kali kemudian barulah air panas menggelegak dituang ke dalam cawan atau mug. Dengan perlahan saya teguk minuman itu sedikit demi sedikit sehingga habis. Kalau inginkan kelainan boleh saja ditambah bunga lawang dan kulit kayu manis. Rasanya akan bertambah enak dan segar. Cara ini saya amalkan setiap pagi, tengahari dan malam. Alhamdulillah virus itu hilang dalam masa lebih kurang tiga atau lima hari.


Tips yang lain.

Tips ini diberikan kepada saya oleh seorang bakal pakar doktor bius. Mungkin kasihan melihat saya batuk agak teruk ketika berkunjung ke rumah dia di Hull, dia menasihatkan saya minum air panas menggelegak.Teguk perlahan-lahan.  InsyaAllah katanya ini akan mencairkan kahak di dada. Batuk akan hilang dalam ketika mengamalkan meneguk air panas mendidih ini. Selepas habis secawan atau sa tu mug,  dalam lebih kurang sepuluh atau limabelas minit kemudian batuk akan muncul lagi. Sungguhpun begitu, tips ini pun berkesan tetapi prosesnya agak lambat berbanding yang pertama.



Dalam keadaan lain, menurut seorang rakan, ada ketikanya apabila badan dan minda terlalu penat dan letih, kita akan disinggah penyakit batuk-batuk. Maka apa yang perlu kita buat adalah rehat secukupnya. InsyaAllah batuk-batuk itu akan hilang. Dan saya akui akan kebenaran ini. Pernah saya disinggah batuk yang agak teruk sepanjang minggu. Ini adalah kerana pada minggu sebelumnya amanah dan tanggugjawab kerja di pejabat  memerlukan saya pulang lewat malam dan awal  pagi esoknya harus ke sana pula. Rutin ini menyebabkan saya kekurangan tidur dan  rehat. Maka pada hujung minggu berkenaan saya 'rehat sepenuhnya.'  Sepanjang Sabtu dan Ahad itu sofa  di  ruang tv di rumah menjadi tempat 'lepak-baring' saya. Ketika itu mata sangat mudah terlelap.  'Pejabat hujung minggu' saya tutup pada minggu itu. Tidak menulis novel atau apa-apa berkaitan kerja-kerja kreatif yang saya suka. Kecuali masak untuk keluarga.  Alhamdulillah batuk yang teruk kian reda dan tidak lama hilang tanpa saya sedar. Maka sekarang saya faham kenapa majoriti ubat batuk yang diberi doktor itu akan menjadikan kita mengantuk. Tujuannya adalah untuk rehat. Khususnya untuk minda yang penat dan letih.

Namun begitu sekiranya  batuk-batuk anda menyebabkan sakit tekak yang pedih, eloklah berjumpa doktor. Sekirannya dibiarkan lama, keadaan bertambah buruk.

Bagaimana dan apa tips penawar batuk anda?




Sunday 10 December 2017

Ika Yang Itu






Bila Ika Bercerita Sendiri

"Cerita Ika tu cerita benar ya? Ada sambungan tak?"

Jawapan saya -TIDAK. Cerita Ika adalah rekaan saya sepenuhnya. Untuk soalan kedua, jawapannya juga TIDAK. Saya tiada berhajat untuk menyambung kisah Ika. Biarlah begitu bahagia Ika.

Ika Yang Saya Kenal

Menggunakan gaya sudut pandangan orang pertama sebagai medium penceritaan kisah Ika, sebenarnya mencabar kreativiti dan imaginasi Haswida Abu Bakar yang sudah biasa dengan gaya penceritaan sudut pandang orang ketiga dan omniscient. Sungguhpun begitu, kelebihan yang ada pada gaya penulisan ini, baik kepada saya mahupun pembaca adalah kami tidak mampu untuk membenci Ika sepenuhnya walaupun dia adalah perampas suami Kak Zila.

Menulis dalam gaya ini menjadikan saya dan pembaca kenal hati dan budi  Zulaikha Mat Ayob. Perempuan dari keluarga nelayan dari Tanjung Dawai yang terdesak untuk keluar dari kemiskinan. Saya dan pembaca faham  kenapa Ika memilih abang Ray walaupun hati sebenarnya milik Idil. Sehingga sanggup 'menikam belakang' Kak Zila yang selama ini menganggap dia sebagai adik sendiri.

Pengalaman ketika menulis kisah Ika

Pernah ada ketika apabila saya benci dengan tingkah berani mati Ika ini. Sehingga menjadikan saya berhenti menulis kisah Ika dan biarkan diam  berbulan-bulan lamanya.


"Bagus ada perasaan begitu. Tandanya watak Ika itu hidup tanpa ada pengaruh dari Haswida Abu Bakar. Teruskan. Ikut suara hati. Tapi ingat jangan sesekali campurtangan. Jangan ada campurtangan Haswida Abu Bakar. Jika tidak kisah Ika akan jadi tidak logik dan bosan."

Kata nasihat dari seorang kakak penulis yang saya kagum menjadi saya tidak habis fikir berhari-hari. 'Jangan ada campurtangan Haswida Abu Bakar.'? Hal yang ini saya tidak faham. Bagaimana mungkin tiada campurtangan penulis, inikan kisah karangan saya sendiri? Pelikkan?

Rupanya menjadi seorang penulis cerita tidak mudah. Penulis dan ceritanya harus ada jurang dan sempadan. Barulah cerita itu boleh berkembang dengan 'elok' dan menarik. Ikut suara hati jangan ikut kata akal. 

Maka cerita Ika saya sambung dalam hati tidak suka. Bagaimana? Saya menjadi Ika. Ya...benar, sebagai penulis kita adalah penulis skrip, pengarah dan pelakon. Kita harus jiwai semua watak yang kita cipta. Bina dan biarkan ia berkembang mengikut acuan yang telah kita bentuk. Walaupun kita sudah merancang A sebagai pengakhiran, kalau jalan ceritanya menuju ke D, maka kita akur jangan mencipta simpang dan lorong  pintas agar jalan cerita itu tetap menjadi A.


Komen Pembaca

Ramai yang memberi luahan dan komen, mereka tidak sampai hati membenci Ika walaupun ada sebahagian rasa tidak suka dengan cara Ika.

Anda yang baru membaca kisah Ika bagaimana pula?


Sunday 26 November 2017

Bajet Hotel Dalam Ruang Dewan Badminton



Bajet Hotel Di Pekan Jitra

C Hotel saya tempah sehari sebelum menginap atas alasan baru diputuskan saya dan suami untuk bermalam di kawasan berhampiran Changlun sebelum memulakan percutian keluarga ke Selatan Thailand. Pemilihan bajet hotel ini dipilih atas kriteria utama seperti selalu: harus muat satu keluarga -5 orang.

Oleh kerana saya tiba di situ sekitar jam 11 malam dan letak duduk hotel ini agak jauh di hujung jalan yang agak gelap (tiada berlampu jalan), maka misi mencari hotel ini agak sukar juga. Sungguhpun begitu, penat dan letih saya melurut ke kaki apabila disambut dan dilayan oleh staf perempuan yang kecil molek dan begitu ramah. Tersenyum saya melihat keletah dia.


Penat dan letih  yang melurut ke kaki tadi bertempiaran lari apabila sekumpulan lelaki tiba-tiba saja keluar dari  pintu sebelah. Semuanya berpeluh -peluh sambil menyandang raket badminton di belakang. Riuh sekali menyapa staf perempuan tadi. Ketawa-ketawa saja mereka seperti sudah kenal lama.


OOo...rupanya di sebalik pintu itu adalah dewan badminton. Anak-anak dan suami mengintai ke dalam dan teruja. Ruang dewannya luas. Maka inilah kali pertama kami menginap di sebuah bajet hotel yang berkongsi ruang dengan dewan badminton. Unik!



Sebaik saja pintu bilik dibuka, hilang kata-kata. Dua buah katil king size dicantum dan muat untuk kami 5 beranak. SELESA! Alhamdulillah. Biliknya walaupun tidak berapa luas tetapi lengkap semua. Paling saya suka, bilik air yang bersih dan lengkap. Ruang hitam putih bilik air yang cantik itu menjadikan hasil gambar saya dalam konsep hitam putih. MENARIK!




Saya berikan markah penuh ***** dalam kategori bajet hotel.


Kenapa harus berdekatan dengan Changlun? 

Seorang rakan menasihat dan memberi cadangan agar segala urusan insurans dan keperluan penting lain sebelum ke Selatan Thailand, elok dibuat di situ. Ejen yang kami singgah, pejabatnya di kongsi dengan sebuah restoran. Sementera menunggu urusan siap, saya dan keluarga berjamu selera sarapan pagi yang enak di situ. Maka masa menunggu langsung tidak terasa.


Sunday 19 November 2017

Sweet Sour Daun Kari



Pantas dan Ringkas Saja

Tiga malam yang lepas saya pulang lambat dan badan pun penat. Saya mahu rehat.  Duduk di sofa merah  kegemaran meneguk perlahan minum air rendaman goji panas sambil menonton tv. Seronokkan?

Sungguhpun begitu, perut masih perlu diisi tetapi malas untuk keluar apabila suami mengajak. Maka jalan penyelesaiannya adalah MASAK. Justeru, persoalan yang bersimpang siur adalah:

    "Nak masak apa? 

Jawapannya ada di sekitar dapur khususnya dalam peti sejuk. Hanya yang  ada adalah deretan telur kerana barangan dapur tidak beli lagi. Persoalan yang seterusnya:

     "Nak masak menu apa dengan telur?" 

Pilihan adalah 1. telur mata  2. telur dadar 3. sambal telur 4. kurma telur 5. sweet sour telur atau 6. telur rebus saja. Pilihan Saya - SWEET SOUR TELUR. Okay?

Resepi:

Kumpulan A

Telur (semestinyalah)
Bawang Putih 3-5 ulas
Bawang merah 1-3 biji








Kumpulan B

Bawang besar sebiji
Daun kari/gula 1-3 ranting
( Ya...ini adalah pilihan hati. Tiada paksaan)
Sos tomato
Sos cili
Gula
Limau nipis (separuh)


Cara-Cara Masak

Langkah Pertama

Goreng telur  (telur mata)

Langkah Kedua

Tumis daun kari sehingga keperangan. Kemudian campur kumpulan A dan tambahkan sedikit air. Kacau hingga kekuningan. Langkah seterusnya, masukan sos tomato (mengikut rasa) dan sos cili (mengikut rasa), gula dan perahan limau nipis. Kacau sebentar dan kemudian masukan telur mata
yang sudah digoreng ke dalam adunan tadi. Tambahkan separuh cawan air dan masukkan bawang besar. Kacau sehingga agak pekat. Hidang!





Bagaimana? Adakah serasi dengan citarasa anda?


Wednesday 8 November 2017

Duhai Pulau Pinang...


Assalamualaikum,





Luruh rasa hati dalam pandangan redup apabila meneliti ruang Pulau Pinang yang disimbah air dari langit melalui gambar-gambar di skrin telefon. Sayu melihat wajah-wajah yang  harus berdepan dengan musibah ini. Semoga mereka semua dipermudahkan segala apa jua urusan dan tujuan serta keadaan. Amin.

Selama hidup, inilah pertama kali Pulau Pinang saya lihat dengan mudahnya hampir ditelan air. Tidak cukup dengan itu simbahan air dari langit yang hanya 15 jam saja tanpa henti (menurut laporan) ditemani dengan angin ribut yang sangat kuat. Dikhabarkan ada kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan mewah yang sedang dibina. Justeru, menjadikan Pulau Pinang lumpuh. Allahuakhbar, sungguhlah Dia Maha Berkuasa. Semuanya di dalam genggamanNya.

Dulu, Kelantan pernah mengalami musibah yang sama. Banjir 'luar biasa' pada saya. Nyaris-nyaris ditelah air dari langit juga. Hampir 'musnah' beberapa daerah di situ. Pada saya, kesannya masyarakat Kelantan menjadi lebih kuat melalui erti kesabaran yang dalam. Semoga masyarakat Pulau Pinang juga akan menjadi lebih kuat di dalam kesabaran yang ketat. InsyaAllah.

Di mana silapnya? Adakah sistem tali air yang menjadi punca? Saya tidak pandai meneka kerana saya bukan pakar dalam bidang ini. Biarlah yang pakar membuat kajian serta analisa dan kita yang tidak tahu apa-apa ini dengar saja penjelasan dari mereka.

Ada juga suara-suara berkata ini musibah Allah kerana engkar dan sombong terhadap DIA. Berdabik dada dan tetap menganjurkan Pesta Arak. Mungkin ya, mungkin tidak. Allahualam. Hanya Dia Maha Mengetahui. Siapa kita untuk menuduh dan mengandaikan begitu. Kalau benar biarlah hanya kita yang tahu. Kalau salah bagaimana? Nauzubillah.

Apa pun pada saya, kita harus ambil iktibar dan pengajaran dari musibah ini. Benar kata seorang pendita, pada kita mungkin musibah pada Dia Yang Maha Mengetahui, datangnya 'musibah' ini adalah sebahagian dari rahmatNya.

Semoga keluarga,  sahabat...Siti Adila dan keluarga dan penduduk Pulau Mutiara ini dalam peliharaanNya. 

Sunday 29 October 2017

Celaru Terma-Titian Cinta






Assalamualaikum,


Baru-baru ini isu satu babak dari drama rantaian Titian Cinta menjadi viral yang panas juga. Seorang doktor tiba-tiba naik berang bila babak berkenan seperti tangkap muat menggunakan terma-terma perubatan sehingga menjadikan 'kewibaan' watak doktor seperti 'tangkap muat' saja. Khususnya imej penulis skrip drama ini juga turut terjejas. Rententan dari hal 'berang' doktor itu pihak produksi tampil memberi penjelasan. Pada saya penjelasan itu  jelas. Saya faham apa yang diperjelaskan oleh pihak produksi, khususnya tentang berkaitan penulis skrip dan pengarah. 

Tetapi apa yang saya tidak mengerti bagaimana isu ini boleh terlepas pandang oleh pihak yang dipertanggunjawabkan. Saya merujuk kepada editor drama episod ini. Seorang editor tugasnya sangat penting. Dia bertindak sebagai 'pengarah kedua' pada setiap karya yang disunting. Melalui hasil kerja seorang editorlah sebuah cerita akan dihasilkan. Setiap frame shot dicantum mengikut konsep editing yang dikehendaki agar mengangkat look sesebuah karya, sepertimana yang dikehendaki oleh pengarah. Justeru berpuluh-puluh frame shot yang 'disambung' ini akan membentuk sebuah cerita yang 'sempurna.'  Hasil dari proses inilah ditayangkan baik di kaca tv dan juga  di pawagam. Tanpa editor yang bagus, sebuah karya itu akan kelihatan 'hudoh'  dan cacat, walaupun hasil kerja visual pengarah cantik dan skripnya hebat. 

Proses penyuntingan  harus mengikut konsep cerita dan elemen dramatik babak, baik dari aspek dialog atau  aksi pelakon dikala itu. Seorang editor harus faham isi dan isu cerita besar dan kemudian perlu tahu isi dan isu cerita setiap babak.  Tiada alasan babak itu dipotong mungkin berdasarkan kerana untuk memendekkan masa atau babak itu mungkin bosan. Mungkin itu lah yang berlaku kepada babak yang satu itu dalam drama Titian Cinta. 

Mungkin ramai berkata:


 'Masalah kecil saja tu kenapa nak bising-bising. Orang tak perasan pun kalau doktor tu tak ungkit.' 

Mungkin pada mereka-mereka ini, hal 'kecil ini' tidak penting kerana pada mereka yang penting adalah jalan cerita.  Sungguhpun begitu, babak yang mempunyai kesalahan 'kecil' inilah sebenarnya mempunyai impak yang besar pada watak -watak utama dan antara penggerak utama plot cerita. Penerangan watak doktor kepada Haris itu adalah antara babak penting di dalam cerita Titian Cinta. Ia menyumbang kepada logik kenapa Aisy, bersikap dingin dan benci kepada Haris sebelum ini. Kenapa Aisy mungkin tidak boleh mengandung lagi. Isu tidak boleh mengandung inilah menjadikan elemen dramatik kuat selepas tu.

Pada saya, seorang penyunting/editor yang bagus terletak pada hasilnya. Sekirannya seseorang editor itu  tidak faham terma-terma asing yang digunakan di dalam dialog, lebih elok  bertanya pada penulis skrip atau pengarah atau penolong pengarah. Janganlah kerana mungkin ingin mengejar masa TX (tarikh siaran) atau mungkin dengan menggunakan rasa hati sendiri kononnya babak ini terlalu panjang dan bosan, maka dipotong mana yang difikir perlu. Ataupun mungkin si editor itu mempunyai dua atau tiga projek yang mempunyai TX nya berdekatan maka cantas saja yang difikir perlu.

Yang pasti editor itu bukan THE CUTTER...kerana antara EDITOR dan THE CUTTER sangat berbeza. The cutter adalah pemotong yang tiada rasa. The editor adalah seorang pemikir dan mempunyai rasa.


Walaikusalam...



Sunday 15 October 2017

Goji Berries Teh Awet Muda Saya.






Teh Goji Berries dan Kesihatan.

Goji Berries ini dikatakan kelompok herba perubatan di kalangan masyarakat Cina di Tanah Besar China. Khasiat goji berries ini banyak kalau anda google. Di antaranya adalah antioksidan  yang tinggi, menurunkan kadar kolestrol, mempertingkatkan sistem imunisasi dan ia juga berfungsi sebagai 'agen' menurunkan berat badan. Seringkali bila saya ke kedai ubat dan herba Cina di mana-mana, baik di kawasan dekat rumah atau di Alor Setar, komen nasihat mereka adalah sama: 'Ini baik untuk mata.' Sebetulnya  kata-kata itu adalah benar belaka. Untuk saya, setelah setahun lebih mengamalkan teh ini buah ini, penglihatan saya ada kesannya. Penglihatan saya kian bertambah elok berbanding dulu. Dikatakan, masyarakat Cina khususnya di Tanah Besar sana, Gou Qi Zi ini adalah antara penyebab kenapa mereka kelihatan awet muda dan umur panjang.

Kenapa saya amal?


Sebagai seorang wanita yang bekerja, badan dan minda akan menjadi letih lesu sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah. Amalan minum teh ini pada saya, memberi kesan positif terhadap tahap kecergasan minda dan badan .

Tambah lagi, sejak saya mengamalkan teh goji berry, bermula dari pertengahan tahun lepas, berat badan mungkin tidak banyak turun. Tetapi pengecilan size badan sangat ketara. Sehingga sekarang, berat badan saya tidak bertambah. Alhamdulillah. Walaupun  menu makanan saya seperti biasa, macam orang lain juga  kecuali nasi ( menu saya adalah sekali dalam sehari -separuh). Tetapi ada ketikanya saya ambil penuh ( bukan setiap hari. Mungkin sekali -dua  sahaja dalam seminggu) dan ketikanya saya langsung tidak makan nasi selama sehari-dua. Sejak mengamalkan teh goji ini, juga kulit saya bertambah cerah dan bersih. Mungkin kesan dari proses antioksidan dan vitamin C yang tinggi.

Caranya mudah sahaja. 


Seperti membancuh green teh atau teh O biasa.

Satu sudu atau dua sudu besar Goji Berries. Rendam  dalam air panas di dalam cawan atau gelas. Biarkan 5-10 minit.  Kemudian minumlah seperti minum teh O tanpa gula. Buah itu jangan dibuang. Kunyah perlahan kerana rasanya sangat enak. Khasiatnya juga terletak pada buah. Pada saya, teh ini menjadikan perut tidak cepat lapar. Malah makan sedikit pun sudah kenyang. Juga kita akan menjadi lawas secara natural. Tidak seperti makan jamu atau teh kurus.




Cara saya:

Pagi

Apabila sarapan anak untuk ke sekolah sudah saya siapkan, saya akan rendam goji berries ini dalam air panas di dalam mug. Saya biarkan sehingga sekitar jam 7.30  pagi atau lebih. Kemudian minum sambil menikmati sarapan pagi.

Malam

Selepas solat Isyak saya akan rendam goji berries  dalam air panas di dalam mug. Selalunya sekitar 9.30 atau 10.00 malam, barulah saya minum teh itu perlahan-lahan dan mengunyah buah berries sambil menonton TV. Rehat.

Goji berries ini juga dikatakan boleh menjadikan tidur kita nyenyak dan badan segar keesokkan paginya. Pada saya, hal ini benar.


Nasihat

Tidak semestinya ia baik untuk saya, ia juga sesuai untuk anda. Pada anda yang ingin mencuba amalkan, baca dulu ulasan-ulasan dan tulisan tentang Goji Berries ini di internet. Ada nasihat-nasihat tertentu pada yang ingin mencuba. Contohnya, bagi mereka yang mempunyai kadar gula yang rendah di dalam darah, tidak digalakkan mengamalkan minuman ini.

Pada yang sudah mencuba, apa rasa anda?



Sunday 24 September 2017

Maal Hijrah di Pulau Pangkor


Cuti Maal Hijrah 1439

'A family moment' yang tidak semudah dahulu untuk diraikan apabila anak-anak sudah mula 'keluar' rumah.  Mencari satu detik dan masa untuk berlibur bersama -satu keluarga ketika ini tidak mudah. Kalau adik-adik bercuti, si kakak sedang dalam semester kuliah. Apabila si kakak bercuti, adik-adik pula sedang dalam sesi sekolah. Maka masa-masa cuti hujung minggu yang panjang beginilah atau cuti sekolah dan kampus 'bersatu' saya akan gunakan  untuk 'recharge' diri dan roh kasih sayang keluarga. Maka  1 Muharam kali ini kami ke Pulau Pangkor.

Dari Subang Jaya saya dan keluarga memandu ke Lumut dan 'menyimpan' kereta di bangunan medan letak kereta di kawasan itu. Dari situ kami berjalan ke Jetty -hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit. Membeli tiket ferry jam 12.45. Harus diingat tiket yang dibeli adalah tiket untuk pergi dan balik. Maka janganlah dihilangkan tiket itu-simpan baik-baik. Jika hilang, tiket harus dibeli lagi. Untuk 5 orang harga tiket adalah RM 61 (pergi-balik).

Dari Lumut ke Pulau Pangkor tidak lama. Lebih kurang 30 minit. Ferry ke Pangkor akan membuat dua perhentian. Pertama di kampung nelayan dan kedua di jeti Pangkor. Jangan tersalah turun ya.

Dari jeti, untuk ke hotel atau ke chalet harus disewa van pink yang sedia menunggu di situ. Harganya tidak mahal. Untuk ke resort kami hanya RM 18 sahaja dibayar. Jalan ke Teluk Nipah  harus melalui jalan turun naik bukit dan berselekoh yang diiringi pemandangan penyatuan alam antara pantai, laut dan awan yang sungguh menawan hati.

Pangkor Palm Bay Resort di Teluk Nipah, adalah pilihan kami kerana 
1) Harganya berpatutan yang termasuk sarapan. 2) Berdekatan dengan pantai yang cantik dan 3) terletak di kawasan 'happening'. Di Palm Bay Resort ini ada dua jenis penginapan-bilik hotel dan chalet. Kami memilih Chalet -dua bilik chalet. Sebilik untuk 3 orang dan sebilik lagi untuk dua orang. Harganya murah jika ingin dibandingkan dengan tiga faktor yang saya nyatakan di atas tadi.

Pangkor Palm Bay Resort
Jam 4.30 barulah kami keluar untuk melihat ruang Teluk Nipah dan berhajat untuk mandi laut. Suasana  'happening' di ruang Teluk Nipah ini dibangkitkan oleh deretan gerai dan restoran makanan laut serta deretan gerai t-shirt dan cenderahati di kiri -kanan bahu jalan. Ini menjadikan jalannya sempit dan 'sesak' tetapi meriah. Ditambah pula dengan kehadiran motor-motor yang disewa pelancong berlalu lalang sepanjang jalan ini. Kami yang menyusuri jalan ini kemudian memilih untuk makan petang sebelum bermandi-manda.



Makan-makan sambil bertukar-tukar cerita dan bergurau serta usik mengusik adalah acara utama apabila sudah duduk satu keluarga. Berlatarkan pantai dan ketika itu adalah 'musim' air pasang besar dan ombaknya agak tinggi. Anak-anak yang melihat si ombak menjadi risau dan ragu-ragu samada untuk mandi atau bermain pantai sahaja nanti.

Ketika ini ombak besar sudah pulang ke laut dan bila-bila
masa sahaja akan singgah ke pantai semula
Menyusuri ke pantai yang dinyatakan oleh pihak Palm Bay Resort tidaklah jauh. Cuma 10 minit perjalanan dari gerai makan-makan tadi. Pantainya sangat cantik. Pasir putih bersih dan air lautnya biru kehijauan. Cuma ketika ini ombak yang sedang singgah ke pantai ini agak besar. Tetapi ramai yang sedang bermain-main dengan'nya'. Pada awalnya saya risau untuk membenarkan anak-anak (walaupun sudah besar) bermain-main dengan si ombak dari air pasang besar. Tetapi bila hati yakin InsyaAllah semuanya dalam peliharaanNya apatah lagi melihat ada juga anak-anak kecil yang bermain-main riang dengan si ombak, maka saya membenarkan tiga beradik ini bermain - main mesra dengan si ombak.

Si Ombak mengusik


Sudah mula berkenalan dengan Si Ombak
Si Ombak yang sudah menjadi kawan
Makan malam di situ tiada masalah. Berderet gerai dan restoran makanan laut yang ada. Cuma perlu pilih yang berkenan di hati. Sungguhpun begitu makan malam kami ada masalah. Ikan yang dipilih terlalu 'tebal' isinya dan bila dihidang tidak masak sepenuhnya. Maka ikan Daun Baru itu dimasak semula tetapi tetap tidak masak juga. Masuk kali yang ketiga barulah isinya masak sepenuhnya. Sungguhpun begitu nasi dipinggan sudah pun habis semua masuk ke dalam perut dan kata suami 'potong stim' saja. Bila mengadu pada puan restoran, katanya 'bukan salah dia sebab dia tidak tahu. Itu salah tukang masaknya'. Puan itu langsung tidak memohon maaf tetapi pada saya 'kekurangan' ini sedikit pun menjejaskan 'family momen' yang Allah beri sejak tiba di sini. Saya dan keluarga maafkan hal kecil dan remeh ini dan serahkan kekurangan itu pada Allah. Hanya DIA yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui.


Ikan Daun Baru/ Telinga Gajah


Sungguhpun begitu, suasana makan malam kami sungguh indah. Menikmati makan malam di atas pantai. Diiringi pula alunan ombak malam dan ada ketikanya sekumpulan memerang datang mengintai gurau senda kami sekeluarga. Alhamdulillah. 


Selamat melangkah ke tahun 1439 Hijrah. Semoga setiap niat dan tingkah sentiasa dalam rahmatNYA. 

Saturday 29 July 2017

Antara Idea dan Cerita, Mana Penting?



"Aku ada idea yang bagus..."

"Kau patut tulis kisah aku (atau kisah dia) biar orang tahu derita dan pengalaman..."

Sering kali apabila kita diperkenalkan sebagai penulis novel atau mereka tahu kita adalah penulis novel, ada saja luahan idea atau ada ketikanya 'cerita' yang dilontar dengan pengukukuhan bahawasanya idea atau cerita mereka unik, menarik dan walaupun idea dan cerita itu klise .  Saya yakin sebagai penulis anda juga mengalami atau melalui pengalaman yang sama. 

Apabila idea atau 'cerita' mereka kita rangka dan berjaya dinovelkan maka kedengaranlah suara-suara riak dan ujub melata bahawa cerita itu adalah idea mereka atau cerita itu adalah kisah mereka, tanpa membaca sepenuhnya kisah yang telah penulis terjemahan ke dalam novel tersebut. Yang sebenarnya 70%-90% berbeza dari idea atau cerita yang asal.

Untuk menjawab dua soalan yang sering ditanya kepada saya:

1. Mana penting, idea atau cerita? Atau
2. Cerita novel ini milik siapa, pemberi idea atau penulis      cerita?

kita selusuri 'formula' 3 draft saya ini:

1. Draft Pertama: Dari Idea kepada Sebuah Cerita Penuh dan                                                     Lengkap

2. Draft Kedua:  Dari Cerita 'Asas' (Jasad) kepada Sebuah Kisah                                               'Hidup' (Roh).

 3. Draft Ketiga: Editing 


Draft Pertama: 
Dari Idea Kepada Sebuah Cerita Penuh dan Lengkap.

Proses ini selalunya akan mengambil masa 3 sehingga 5 bulan. Bukan mudah untuk menjadikan sebuah idea itu sebagai cerita yang penuh dan lengkap: logik, rasional dan yang paling penting ada nilai dramatik yang menarik. Mudah seseorang individu meluahkan idea dan cerita 'spontan' atau sinopsis cerita mereka. Justeru, tidak semua pemberi idea, cerita 'spontan' atau sinopsis cerita, mampu merangka sebuah cerita yang lengkap dan hidup. 

Bagaimana hanya dari 300-500 patah perkataan (idea, sinopsis, cerita spontan) boleh menjadi berpuluh ribu patah perkataan dalam 300-400 muka surat? Itu datangnya dari 'idea', imaginasi dan kreativiti penulis ketika merangka cerita sang pemberi idea, sinopsis dan cerita spontan, yang saya termakan sebagai kelompok tiga. 

Dalam proses merangka draft pertama, pencirian utama adalah research...research dan research. Pemberi idea, sinopsis cerita dan cerita spontan tidak melalui proses ini. Tambahan lagi, proses research...research dan research ini tidak boleh dilakukan dalam masa lima atau setengah jam melalui sembang-sembang atau luahan rasa di kedai kopi dan melalui whatsapp. Proses ini harus ada komitmen dan 'minat' serta ia berlaku sepanjang proses penulisan draft pertama. Dalam proses draft pertama inilah kebarangkalian untuk 'dihinggap' penyakit atau simptom writer's block sangat mudah. Maka penawarnya adalah research. Adakah kelompok tiga tadi melalui pengalaman ini?

Hasil dari proses research...research dan research inilah yang akan membentuk bingkai cerita dan menjadikan latar cerita novel penulis 'hidup'. Melalui proses ini juga akan membezakan 'fokus' dan jalan cerita penulis. Khususnya konsep sudut pandang dan genre cerita.

Maka secara kesimpulannya, dari hanya sebuah idea, sinopsis dan cerita spontan, berpuluh cerita mengikut kehendak dan selera penulis yang berbeza boleh dan mampu dihasilkan. Di sini kebarangkalian pertama - idea bagus tapi ceritanya tidak menarik atau kedua, idea klise tetapi cerita yang dicipta oleh penulis menjadikan ianya tidak klise, akan berlaku. 


Selesai draft pertama, yang saya selalu sebut atau termakan sebagai cerita asas atau hanya jasad cerita, akan dibiarkan atau disimpan dalam fail dalam jangka waktu tertentu. Pada saya, draft pertama ini  just a basic story without a flavour, Selalunya akan dibiarkan paling singkat dua minggu dan paling lama bertahun-tahun (seperti DEMI RINDU ITU).


* Proses draft kedua akan saya tulis nanti.

Saturday 22 July 2017

DEMI RINDU ITU




"Ayu cepat siapkan novel. Kita cadang nak launch sekali dengan filem nanti."






Jun 2017

Sudah lama manuskrip draft pertama DEMI RINDU ITU lena dalam fail laptop. Sudah makan tahun tidurnya tidak saya ganggu. Nak mengintai pun tidak tergerak hati. Mungkin hati dan akal seketika dulu bersatu menyiapkan skrip DEMI dan tidak lama kemudian 'diamanakan' pula untuk memperkembangan idea Teman Jiwa (tajuk asal) mantan VC ke dalam naskah novel:

 Azmeer CEO sebuah syarikat kejuruteraan yang panas baran, 'harsh' dan suka maki hamum staf bawahannya, (mempunyai seorang isteri yang lumpuh), jatuh hati kepada Nurbaya, 'ugly betty' dari kampung yang sudah cantik jelita 

 ke dalam bentuk cerita  dalam Teman Jiwa a.k.a Soulmate (Haswida Abu Bakar, 2016):

 Merungkai kisah Nur Rukiah  dari Kampung Tupai yang biasa-biasa sanggup dimaki hamum dan dihina sebagai gadis kampung kolot oleh Azmeer, CEOnya demi untuk 'menghidupkan' keluarga di kampung dan kemudian dengan kun fa ya kun Allah, Azmeer jatuh kasih pada Rukiah. Sungguhpun begitu kerana ikrar janji setianya pada arwah isteri -tidak akan berkahwin lagi- Rukiah tidak boleh dia nikahi,

 dan bukan kisah Azmeer CEO  yang kaya raya (seperti idea asal).  

Draft pertama DEMI RINDU ITU siap akhir 2014 dan hanya Jun 2017 barulah saya membuka semula  fail ini di dalam laptop. Maka ketika ini bermulalah proses penulisan draft kedua cerita kembara Thea di bumi yang sangat asing pada dia.


Pada saya proses menulis dan merungkai cerita draft kedua inilah yang sukar dan sangat mencabar minda dan imaginasi saya sebagai seorang penulis novel. Ketika inilah dari 250 muka surat ketika draft pertama akan menjadi seganda atau dua kali ganda jumlah muka suratnya. Akan hadir idea-idea baru yang samada boleh kita guna-pakai atau pun hanya sebagai 'pengganggu' plot cerita yang perlu saya abaikan. Kalau ditanya cara saya menulis mungkin tidak sama dengan penulis yang lain. Saya menggunakan 'formula' tiga draft  proses  penulisan novel. Saya yakin dan pasti formula ini tidak boleh digunapakai oleh pemberi idea.

*'formula' tiga draft  proses  penulisan novel akan dihuraikan dalam nukilan akan datang.

Pada yang berminat untuk memiliki Teman Jiwa a.k.a Soulmate, boleh menempah dari saya melalui PM di Haswida Abu Bakar-Write Page:

https://www.facebook.com/haswidaabubakarwriter/

Novel ini tiada dipasaran. Terhad hanya kepada 200 naskah (cetakan kedua)

Wednesday 19 July 2017

Siapa tidak suka bila novelnya difilemkan?




Melihat watak Rukiah dan Azmeer 'hidup' menjadikan saya 'segan-segan' pula. Walaupun watak dan perwatakan pada Rukiah dan Zana serta Firdaus khususnya tidak serupa dengan apa yang saya lakarkan dan 'cipta', melihat mereka 'hidup' di layar menjadikan hati saya suka. Itulah yang dikatakan proses terjemahan karya.

Alhamdulillah. 

Ilham untuk merangka kisah Rukiah sehingga 'selesai' sebenarnya melalui rahmatNya, Ya Alim. Setiap baris dan kata-kata adalah melalui hidayahNya. Syukur kerana sepanjang merangka cerita Rukiah ini saya tidak diuji dengan simptom 'writer's block', yang ada kalanya boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan. Semoga 'pengajaran' dan 'moral' cerita Rukiah di dalam novel Teman Jiwa menjadi cahaya ketika saya di alam sana.






Sunday 16 July 2017

Dari DEMI RINDU ITU ke DEMI








"DEMI akan shoot bulan Ogos ini, InsyaAllah." Alhamdulillah.



2014 
Bermula dari idea pengarah sendiri, saya merangka sebuah manuskrip novel yang lain dari 'kebiasaan'. Walaupun masih novel romantik tetapi elemen romantiknya bukan foreground story atau 'pokok' cerita ataupun cerita utama. Maka elemen romantiknya hanyalah hybrid atau subgenre dari genre 'roadmovie' (kalau dalam terma filem) atau genre kembara (mungkin) dalam bidang penulisan novel. Genre ini adalah 'major' atau utama maka plot dan naratif cerita yang dibentuk sememangnya menyumbang kepada genre ini dan bukan plot dan naratif genre romantik yang menjadi kebiasaan. Setelah draft pertama 'diserahkan' dan dipersetujui oleh pengarah, saya sendiri menterjemahkan cerita DEMI RINDU itu ke dalam skrip filem DEMI. 

2015
Menulis skrip dan novel  baik dari segi corak penulisan mahupun cara penulis berfikir adalah tidak sama 'formatnya'. Menulis skrip harus berpegang kepada konsep 'show and don't tell' kerana filem bersifat visual. Tetapi novel adalah 'tell and describe' kerana ia bersifat 'penulisan'. Sungguhpun begitu, seperti menulis novel, proses menulis skrip juga bukan mudah dan bukan syok sendiri. Duduk di depan laptop dan terus menaip mengikut nafsu hati tetapi harus diapung oleh logik, rasional dan 'rahmat' Ya Khaliq, walaupun skrip yang ditulis adalah diterjemah dari novel. Kerana dia bukan berkonsep penyalinan (copy atau copy and paste). Tetapi harus berkonsepkan terjemahan (translate) yang harus ada elemen modifikasi  dari medium asal (novel) ke medium baru (filem), yang mengunakan sudut pandang penulis skrip dan bagaimana penulis skrip itu faham dan visualisasikan setiap elemen dan ciri cerita dalam novel tersebut, (Luc Goddard dalam Cahir, 2005). Sungguhpun konsep kesetiaan harus diutamakan pada teks asal itu adalah 'tiang seri' dunia terjemahan kerana itu adalah etika utama dalam proses terjemahaan.

Berbalik kepada skrip DEMI, walaupun ketika menulis draft pertama manuskrip novel DEMI RINDU ITU research sudah dilakukan, ketika proses menulis skrip DEMI keperincian dan pencirian 'show and don't tell' harus diguna-pakai sepenuhnya. Ketika inilah dari draft pertama menjadi draft kedua dan seterusnya sehingga saya dan pengarah berpuashati barulah berhenti. Maka skrip DEMI berakhir pada draft ke 7. Alhamdulillah saya sangat berpuas hati.

Maka Jun 2017 yang lepas, pengarah menelefon dan memberitahu cerita gembira ini. Tentang skrip DEMI tidak lama lagi akan mula sesi penggambaran. Alhamdulillah. Rezeki datang dari Yang Maha Kaya. 

***InsyaAllah novel terbaru saya DEMI RINDU ITU akan berada di pasaran pada Disember 2017.