Nuffnang

Sunday 24 September 2017

Maal Hijrah di Pulau Pangkor


Cuti Maal Hijrah 1439

'A family moment' yang tidak semudah dahulu untuk diraikan apabila anak-anak sudah mula 'keluar' rumah.  Mencari satu detik dan masa untuk berlibur bersama -satu keluarga ketika ini tidak mudah. Kalau adik-adik bercuti, si kakak sedang dalam semester kuliah. Apabila si kakak bercuti, adik-adik pula sedang dalam sesi sekolah. Maka masa-masa cuti hujung minggu yang panjang beginilah atau cuti sekolah dan kampus 'bersatu' saya akan gunakan  untuk 'recharge' diri dan roh kasih sayang keluarga. Maka  1 Muharam kali ini kami ke Pulau Pangkor.

Dari Subang Jaya saya dan keluarga memandu ke Lumut dan 'menyimpan' kereta di bangunan medan letak kereta di kawasan itu. Dari situ kami berjalan ke Jetty -hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit. Membeli tiket ferry jam 12.45. Harus diingat tiket yang dibeli adalah tiket untuk pergi dan balik. Maka janganlah dihilangkan tiket itu-simpan baik-baik. Jika hilang, tiket harus dibeli lagi. Untuk 5 orang harga tiket adalah RM 61 (pergi-balik).

Dari Lumut ke Pulau Pangkor tidak lama. Lebih kurang 30 minit. Ferry ke Pangkor akan membuat dua perhentian. Pertama di kampung nelayan dan kedua di jeti Pangkor. Jangan tersalah turun ya.

Dari jeti, untuk ke hotel atau ke chalet harus disewa van pink yang sedia menunggu di situ. Harganya tidak mahal. Untuk ke resort kami hanya RM 18 sahaja dibayar. Jalan ke Teluk Nipah  harus melalui jalan turun naik bukit dan berselekoh yang diiringi pemandangan penyatuan alam antara pantai, laut dan awan yang sungguh menawan hati.

Pangkor Palm Bay Resort di Teluk Nipah, adalah pilihan kami kerana 
1) Harganya berpatutan yang termasuk sarapan. 2) Berdekatan dengan pantai yang cantik dan 3) terletak di kawasan 'happening'. Di Palm Bay Resort ini ada dua jenis penginapan-bilik hotel dan chalet. Kami memilih Chalet -dua bilik chalet. Sebilik untuk 3 orang dan sebilik lagi untuk dua orang. Harganya murah jika ingin dibandingkan dengan tiga faktor yang saya nyatakan di atas tadi.

Pangkor Palm Bay Resort
Jam 4.30 barulah kami keluar untuk melihat ruang Teluk Nipah dan berhajat untuk mandi laut. Suasana  'happening' di ruang Teluk Nipah ini dibangkitkan oleh deretan gerai dan restoran makanan laut serta deretan gerai t-shirt dan cenderahati di kiri -kanan bahu jalan. Ini menjadikan jalannya sempit dan 'sesak' tetapi meriah. Ditambah pula dengan kehadiran motor-motor yang disewa pelancong berlalu lalang sepanjang jalan ini. Kami yang menyusuri jalan ini kemudian memilih untuk makan petang sebelum bermandi-manda.



Makan-makan sambil bertukar-tukar cerita dan bergurau serta usik mengusik adalah acara utama apabila sudah duduk satu keluarga. Berlatarkan pantai dan ketika itu adalah 'musim' air pasang besar dan ombaknya agak tinggi. Anak-anak yang melihat si ombak menjadi risau dan ragu-ragu samada untuk mandi atau bermain pantai sahaja nanti.

Ketika ini ombak besar sudah pulang ke laut dan bila-bila
masa sahaja akan singgah ke pantai semula
Menyusuri ke pantai yang dinyatakan oleh pihak Palm Bay Resort tidaklah jauh. Cuma 10 minit perjalanan dari gerai makan-makan tadi. Pantainya sangat cantik. Pasir putih bersih dan air lautnya biru kehijauan. Cuma ketika ini ombak yang sedang singgah ke pantai ini agak besar. Tetapi ramai yang sedang bermain-main dengan'nya'. Pada awalnya saya risau untuk membenarkan anak-anak (walaupun sudah besar) bermain-main dengan si ombak dari air pasang besar. Tetapi bila hati yakin InsyaAllah semuanya dalam peliharaanNya apatah lagi melihat ada juga anak-anak kecil yang bermain-main riang dengan si ombak, maka saya membenarkan tiga beradik ini bermain - main mesra dengan si ombak.

Si Ombak mengusik


Sudah mula berkenalan dengan Si Ombak
Si Ombak yang sudah menjadi kawan
Makan malam di situ tiada masalah. Berderet gerai dan restoran makanan laut yang ada. Cuma perlu pilih yang berkenan di hati. Sungguhpun begitu makan malam kami ada masalah. Ikan yang dipilih terlalu 'tebal' isinya dan bila dihidang tidak masak sepenuhnya. Maka ikan Daun Baru itu dimasak semula tetapi tetap tidak masak juga. Masuk kali yang ketiga barulah isinya masak sepenuhnya. Sungguhpun begitu nasi dipinggan sudah pun habis semua masuk ke dalam perut dan kata suami 'potong stim' saja. Bila mengadu pada puan restoran, katanya 'bukan salah dia sebab dia tidak tahu. Itu salah tukang masaknya'. Puan itu langsung tidak memohon maaf tetapi pada saya 'kekurangan' ini sedikit pun menjejaskan 'family momen' yang Allah beri sejak tiba di sini. Saya dan keluarga maafkan hal kecil dan remeh ini dan serahkan kekurangan itu pada Allah. Hanya DIA yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui.


Ikan Daun Baru/ Telinga Gajah


Sungguhpun begitu, suasana makan malam kami sungguh indah. Menikmati makan malam di atas pantai. Diiringi pula alunan ombak malam dan ada ketikanya sekumpulan memerang datang mengintai gurau senda kami sekeluarga. Alhamdulillah. 


Selamat melangkah ke tahun 1439 Hijrah. Semoga setiap niat dan tingkah sentiasa dalam rahmatNYA. 

No comments:

Post a Comment