Sigaraning karya Imaen membawa saya ke dunia Ali, tauke pasar mini yang masih bujang. Ali yang ‘dibuang’ Salina dan Ali yang ‘diburu’ Vivian. Cerita yang berlatarkan dunia peniaga Melayu yang dipaut kisah gansterism mafia Melayu. Kisah Ali yang terlalu memuja Salina dan cerita Ali yang tersesat masuk ke alam gangsterism.
Sigaraning merungkai kisah ‘lelaki’. Ceritanya kisah ‘maskulin’. Kisah Ali yang terjerat di dalam bayangan cinta Salina dan tersepit dalam pergelutan dua kumpulan mafia Melayu. Cerita dialun seperti ombak di laut. Sekejap tenang kemudian berombak deras. Yang tenang itu kisah cinta Ali dengan Salina dan kisah rasa Ali pada Vivian. Yang berombak deras itu kisah Ali menentang lawan dan serang dua kumpulan mafia Melayu.
Saya tidak sedih bila Salina membuang Ali dengan ‘kasar’. Pada saya Vivian lebih ‘layak’ berada di sisi Ali, menjadi heroin Sigaraning ini. Pendapat saya ini berasaskan kepada pencirian yang ada pada Vivian, wartawan bahagian jenayah. Tentu orangnya berjiwa kental dan berani. Apatahlagi bila seorang Islam dibesarkan dalam keluarga dan ruang masyarakat bukan Islam. Vivian pada pendapat saya adalah seorang perempuan yang berfikiran terbuka tetapi bertepi dan punyai prinsip diri yang tegas.
Justeru itu latar psikologi dan sosiologi begini membentuk konsep seorang VIVIAN yang sesuai dalam ‘dunia’ Sigaraning ini. Dunia lelaki yang penuh cabaran ‘kelakian’. Maka dengan itu kewujudan VIVIAN yang diangkat melalui unsur –unsur perwatakan ‘maskulin’ seorang perempuan adalah perlu untuk dunia Sigaraning.
Berbanding Salina, seorang guru, yang digambarkan sebagai perempuan yang mementingkan diri sendiri dan punyai pandangan yang negatif terhadap kemampuan pasar mini Ali dan meminta Ali menjadi cikgu seperti dia. SALINA pada saya seorang yang lemah jiwa dan prinsip. Konsep seorang SALINA pasti dengan mudah akan tewas dalam cabaran dunia Sigaraning ini.
Konsep seorang SALINA secara konotasi menjurus kepada representasi pandangan masyarakat Melayu kita terhadap kemampuan orang ‘kita’ dalam bidang perniagaan. Juga anggapan bahawa menjadi guru adalah suatu pekerjaan yang menjamin masa depan dan senang.
Sigaraning secara ringkasnya adalah cerita Ali Imram, graduan ekonomi. Cerita yang diangkat dalam ruang ekonomi Melayu dalam era moden dan kapitalis. Cerita tentang ‘perjuangan’ golongan Melayu Baru ini dalam mempertingkatan status dan taraf hidup masyarakat Melayu.
No comments:
Post a Comment