Nuffnang

Showing posts with label Assalamualaikum. Show all posts
Showing posts with label Assalamualaikum. Show all posts

Monday, 25 May 2020

Aidilfitri Norma Baru




Assalamualaikum

Salam Syawal kedua.

Bagaimana norma sambutan Aidilfitri baru ini? Sudah boleh menyesuaikan diri dengan budaya dan resam yang tidak seperti selalu? Mungkin yang pertama kali dalam hidup.

Saya faham suasana baru ini lain. Kesanggupan kita mengharungi kesesakan jalanraya yang luarbiasa demi untuk meraikan hari kemenangan ini bersama keluarga di kampung, perlu kita tinggalkan untuk kali ini. Resam ziarah menziarahi sanak saudara dan rakan taulan di kampung yang sudah lama tidak berjumpa juga perlu kita lupakan. Begitu juga adat menziarah pusara. Semua harus kita 'korbankan' untuk kali ini.

Chik Teq dan Chik Net
Meskipun begitu, untuk saya ruang PKPB bukan penghalang saya dan keluarga untuk menyambut kedatangan Aidilfitri Hari Kemenangan ini dalam suasana sederhana tapi meriah dengan kasih sayang.

Tahun ini saya dan keluarga tidak berbaju baru. Menempah pun tidak, membeli pun tidak juga. Suami dan Akif memakai baju Melayu tahun lepas (baju raya tahun lepas 2019). Kakak memilih jubah biru yang dia ada. Untuk disenadakan dengan warna baju daddy dan Akif. Si bongsu yang  tertinggal baju Melayu biru gelap ini di asrama, memakai baju Melayu kuning (tema 3 tahun lepas). Masih muat? Sebab ini baju si abang. Baju sahaja muat elok tapi seluar sudah singkat (atas sejenkal dari buku lali). Maka saya harus senada dengan warna kuning sibongsu. Barulah nampak 'cantik'.

Menyambut Hari Kemenangan

Uncle Shukri dan keluarga
Hari Kemenangan semalam, saya dan keluarga sibuk juga. Ada dua tetamu istimewa. Adik dan adik ipar. Meriah. Bersembang-sembang sambil makan lemang cicah rendang dan mengunyah kuih raya.

Si kakak dan Pega sedang melayani sepupu (anak Chik Teq)
Anak sulung Chik Teq sudah kenyang dan sedang menonton.
Akitvi raya pertama tidak sudah di situ. Petangnya pula kami sekeluarga ke rumah adik -Chik Teq anak-anak. Ada bbq keluarga di sebelah petang. Bakar-bakar daging sambil lepak dan menyambung cerita yang berhenti ketika di rumah saya pagi tadi.

Bbq keluarga di rumah Chik Net dan Chik Teq

Sedapnya kambing dan ayam bakar
Aidilfitri pertama sudah tamat. Syawal kedua dan seterusnya tidak dibenarkan lagi resam ziarah menziarahi. Alhamdulillah semua ini kenangan yang indah untuk Aidilfitri 2020. Semoga ia juga meninggalkan memori yang indah buat anda juga.

Anak-anak panda bears/gummie bears/ ducklings saya.



SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI. 
MAAF ZAHIR DAN BATIN 

Wassalam.

Wednesday, 13 May 2020

Ramadan Wawasan 2020



Assalamualaikum

Salam Ramadan 10 Terakhir,

Tahun 2020 yang 'dimenterai' dalam impian negara sebagai WAWASAN 2020 ketika Perdana Menteri merangka Rancangan Malaysia Keenam pada tahun 1991, sudah hampir lima bulan kita masuk dan hidup. Tahun 'keramat' yang diwawasankan sebagai tahun Malaysia sudah menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya. 

Namun,Ya Rabba Maha Perancang dan Maha Mengetahui, 2020 hadir seperti yang dirancang tetapi hadirnya bersama musibah dunia dengan izin Dia. Pasti ada hikmat yang hanya Dia saja Yang Mengetahui.

Justeru tahun ini Ramadan disambut dalam ruang yang di luar kebiasaan rutin saya dan keluarga. Mengikut resam, sebelum menjelang maghrib saya, suami dan anak-anak pasti sudah berada di surau kariah pada hari-hari biasa. Duduk bersimpuh - bersila di laman masjid Putrajaya dan kadang kala masjid Besi menunggu waktu berbuka, pada Sabtu dan Ahad. Kemudian bersolat jemaah maghrib sehingga terawih. Mungkin sekali atau dua saja  kami berbuka di rumah. 

Menu: Masakan Ayam Korea dari suami

Sungguhpun begitu, Ramadan kali ini melukis kenangan untuk saya dan keluarga. Saya, suami dan anak-anak berganti gilir memasak menu berbuka. Si Akif yang selama ini tidak pernah memasak sudah pandai membuat beberapa jenis  lauk  yang dia suka. Kakak pula, kepakaran memasak sudah saya tahu lama. Cuma si bongsu saja yang teragak-agak untuk mencuba dan mencabar diri.



Butter Milk Chicken dari kakak -Yasmin
Paprik Ayam dari abang - Akif

10 Terakhir Ramadan

Alhamdulillah, hari ini 20 Ramadan. Ertinya ketika ini kita berada dalam ruang fasa terakhir Ramadan yang akan pulang ke langit tidak lama lagi. Semoga kita semua dengan izinNya dipertemukan Dia dengan Lailatul Qadar yang mulia. InsyaAllah. Alhamdulillah.

AMIIN

Wednesday, 8 January 2020

A WONDERFUL BLESSED 2020




Assalamualaikum 

Selamat Tahun 2020

Sudah 8 hari kita berada dalam dimensi 2020. Fasa dekad baru untuk semua.

Apa khabar dan bagaimana perjalanan hidup kalian selama 8 hari ini? Masih sama seperti 8 hari lepas dalam ruang 2019? Atau sudah ada sedikit perubahan dan pembaharuan? InsyaAllah Ar Rahman Ya Rahim, apa pun perubahan dan pembaharuan yang diniatkan pada hati sekiranya berpaksikan Al Khaliq, akan diizinkan Yang Maha Memahami. Alhamdulillah.


Selamat berada dalam dimensi 2020.

Saturday, 26 January 2019

Selamat Tahun Baru 2019






Alhamdulillah Hadza Min Fadli Rabbi.

Sudah hampir sebulan kita berada di dalam ruang 2019 dirahmati Allah.

Bagaimana dan apa azam tahun baru kali ini? Bagaimana pula azam tahun lepas? Sudah dicapai? Atau dibawa pula ke tahun baru ini?

Cerita saya...tahun lepas tiada novel untuk saya. Menyimpan hajat untuk terbitkan sebuah novel setahun tapi untuk tahun 2018, hajat yang satu ini tidak diizinkan Yang Maha Merancang lagi Maha Mengetahui. Begitu juga hajat untuk 'istiqomah' penulisan blog ini pun bergagah-gagah sejak akhir 2018. 

InsyaAllah...Demi Rindu Itu akan diterbitkan juga nanti. Tetapi kemudian ya. Sekarang ini saya sedang dalam draft terakhir cerita Ulysses-Cinta Rama-Rama.

Selamat Tahun Baru 

Saturday, 25 August 2018

Saturday, 30 June 2018

Aidilfitri dan Iklan TV





Assalamualaikum,

Salam Syawal,

Bagaimana sambutan Aidilfitri anda? Meriah? Untuk saya dan keluarga Alhamdulillah.

Aidilfitri pada saya hari meraikan kemenangan nafsu ‘manusia’ yang berjaya kita tundukkan. Bukan meraikan kepulangan Ramadan ke langit. Aidilfitri juga adalah hari untuk kita bergembira dalam suasana gembira dalam suasana kasih sayang dan kemaafan.  Justeru, Aidilfitri perlu diraikan bersama keluarga terdekat. 

Dengan kata lain, ia perlu disambut dengan ibu dan ayah. Maka dengan itu takbir raya sangat memberi kesan kepada masyarakat di perantauan. Maka dengan hal ini juga, ayah dan ibu akan terasa sedih, terkilan dan kecewa apabila  anak-anak tidak pulang raya. 

Oleh kerana itu juga iklan-iklan raya sering mengangkat isu rasa dan emosi ibu dan ayah ini dengan latar di kampung  kerana Aidilfitri adalah sinonim dengan konsep BALIK KAMPUNG.
Sungguhpun begitu, tahun ini-kali ini, saya memilih iklan raya DBKL. Konsep idea Aidilfitri –diraikan dengan orang-orang tersayang, berbeza dengan yang lain walaupun mengangkat emosi orang tua  (ibu) yang sama.



Tentang ibu yang faham keadaan anak dan demi Aidilfitri, si ibu berjaya kalahkan ‘ego’ seorang ibu dengan menziarah anaknya di Kuala Lumpur. Maka konsep Balik Kampung dalam iklan-drama ini sudah hilang.

 Bagaimana dengan anda? Apa iklan-drama raya 2018 yang anda suka?

Saturday, 31 March 2018

Waris Seni Keluarga






Darah Seni Yan

Assalamualaikum


Hanya mungkin pada si kakak dialirkan Al Khaliq bakat seni yang DIA berikan sedikit kepada saya dan dan bukan pada adik-adik. Sungguhpun begitu darah seni yang mengalir dalam jasad anak sulung saya ini berbeza sangat dengan seni yang Al Khaliq pinjamkan kepada saya. Waris seni yang hadir pada anak perempuan saya ini adalah  molekul darah seni dari arwah Yan (Wan-ayah saya- Abu Bakar Hussein) yang dipanggil Yasmin dan adik-adik. Saya sebenarnya tidak mahir melukis seperti si kakak walaupun arwah ayah sudah penat melatih tangan ini dahulu melalui seni lukisan air (watercolor) yang dia mahir. 



Bakat Yasmin ini saya dan suami kesan ketika sekolah rendah dulu. Gemar melukis dan mampu imitasi pohon-pohon dan rumput-rumput laman rumah dengan detail ke kertas lukisan menjadikan saya kagum dengan kebolehan ini. Maka dia, kami hantar ke kelas seni setiap hujung minggu dan hasilnya ketika ini dia mendalami ilmu Allah ini diperingkat diploma Seni Halus (Fine Art) di institusi pengajian tinggi. Alhamdulillah.

Pameran Lukisan Titik Lenyap.



Baru-baru ini lukisan –Ko Lipe Island, si kakak dipamerkan di galeri fakultinya melalui projek pameran –Titik Lenyap (12-23 Mac 2018) dan dirasmikan oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan. Pameran yang memberi ruang kepada pelajar untuk mempersembah dan ‘exhibit’ karya mereka kepada publik.


Karya yang diimitasi dari gambar yang dia ambil ketika percutian kami di Koh Lipe Oktober tahun lepas. Karya Ko Lipe Island ini adalah antara yang menangkap pandangan DYTM Raja Muda ketika hari perasmian itu. Sebagai ibu dan juga ayah kepada pelukis muda ini, senyum kagum dengan bakat dan kemahiran yang Allah berikan kepada dia, melebar. Hadza Fadli Min Rabbi. Alhamdulillah.

Medium Seni Yang Berbeza dari Yan

Meneliti karya ini ketika kunjungan saya sekeluarga ke situ pada petang hari terakhir pameran, hati saya kembang berlapis-lapis, sudah kian mahir gaya brush stroke dan sudah peka dan mahir permainan warna. Daddy pun kagum juga dengan kebolehan puterinya. Apatah lagi adik-adik yang tidak mahir langsung dengan seni dan kemahiran mereka adalah bidang bolasepak, terpegun juga dengan karya si kakak ini. Terima kasih saya dan suami kepada para pensyarah yang membimbing puteri kami melalui ilmu seni yang dia minati ini.





            ‘Oil Painting’

Cerita Yasmin ketika saya membelek jalinan warna pada ombak dan kapal yang sudah ‘elok’ kerana ketika proses menghasilkan karya ini saya sering mengkritik setiap kali pendapat saya diminta;

‘tidak hidup kakak. Perbaikki  lagi sebab flat’

Ada ketikanya komen saya ini menjadikan dia ‘malas dengar’ dan memberi alasan-alasan yang menjadikan saya mengukir senyum saja.

Ya seni oil painting ini bukan seni arwah ayah –Wan Yasmin. Walaupun seni Wan dan cucu ini berbeza medium, memang jelas pada saya dan suami, Yasmin adalah satu-satunya cucu arwah ayah (yang saya tahu) mewarisi bakat seni lukisan dia. 

Al Fatihah buat arwah ayah- Abu Bakar Hussein. Semoga ayah ketika ini ayah sedang berbahagia bersama  mak-Hasnah Abdul Rahman di alam sana dalam kasih dan rahmatNya dan berada di kalangan hambaNya yang suci dari segala dosa. Amin


Kepada sesiapa yang berminat untuk memiliki lukisan ini, bolehlah berhubung dengan saya diblog ini. Harga yang diletak adalah RM 600.



Assalamualaikum

Saturday, 24 March 2018

Anak-Anak Bola dan Penunggu Padang


Air Asia KL Junior League 2018


http://www.kljuniorleague.my/

Assalamualaikum,

AirAsia KL Junior League 2018 dianjurkan oleh Little League Soccer Malaysia dan tujuan utama adalah untuk pembangunan sukan bolasepak dan memperkembangkan bakat-bakat pelapis pemain bolasepak di kalangan kanak-kanak sehingga remaja. League ini merupakan salah satu ‘tournament’ perlawanan bolasepak yang penting selain IMCC di dalam arena bolasepak peringkat bawah 8 sehingga 16. Maka, sejak Januari 2018 saya dan suami menjadi penyokong setia VIFC (Victoria Institution FC), kelab bolasepak anak-anak bujang kami, di padang bola di New Camp, Damansara.

Anak-Anak Bola Saya

Si abang, Harith Akif, memakai jersi no. 7-Striker untuk pasukan Under 16. Ya di bawah 16 tahun walaupun dia berusia 17 tahun. Dia dan seorang lagi rakan sekolah ‘dijemput’ untuk bermain untuk kelab ini  atas tiket syarat penyertaan: setiap pasukan hanya dibenarkan mengambil 3 orang sahaja pemain berusia 17 tahun (jika berkeperluan).


Manakala si adik, Ikmal Alif, memakai jersi no.1-Striker untuk pasukan Under 14. Ya jersi no.1. Sebenarnya jersi yang diminta adalah no.18. Tetapi  jersi itu tidak ada (tidak sempat dibuat), maka terpaksalah si bongsu saya ini sinonim dengan jersi no.1. Sungguhpun begitu pada saya no. 1 ini sememangnya sesuai dan serasi dengan Striker VIFC Under 14 ini. Sesuai dengan nama yang saya dan suami beri Alif- huruf pertama dan penting dalam Al-Quran.



Kebarangkalian keberadaan saya dan suami di padang bolasepak setiap hujung minggu adalah tinggi dalam setahun sudah lama. Sejak 2008 lagi. Kalau si abang tidak ada perlawanan, mungkin si adik yang harus kami sokong dan sebaliknya. Atau mungkin hujung minggu itu kedua-dua mereka ada perlawanan seperti sekarang-Airasia KL Junior League ini. Menjadi penyokong setia anak-anak bujang ini pernah membawa kami sekeluarga sehingga ke Pasir Gudang dan Kuantan. Sungguhpun begitu, baru-baru ini si Abang dijemput untuk menyertai kelab Royal Kelab Selangor untuk bermain di Bangkok International Youth Football Festival 7’s 2018 di Bangkok pada 3-4 Mac yang lalu, kami tidak turut serta. Memandangkan si adik juga ada tournament di sini: Kuala Lumpur Cup 2018 pada tarikh yang sama dan di padang New Camp, Damansara (maka AirAsia KL Junior League berehat sebentar.)

Penunggu Padang

Justeru, bolasepak dan padang bola sepak sudah menjadi sebahagian dalam kehidupan saya sekeluarga. Melihat anak-anak bujang kami membesar di padang bola melalui aksi dan pengalaman yang mereka lalui, adalah suatu kenangan yang akan selamanya sebati pada tanah padang bola yang mereka jejak dan beraksi. Tumbuh bersama rumput yang ditanam dan disemai subur yang memenuhi segenap ruang padang itu.



Bukan mudah menjadi ibubapa khususnya bapa kepada anak-anak bujang seperti kami. Pengorbanan masa adalah sangat penting dan utama. Setiap minggu sejak anak didaftar ke dalam kelab bolasepak, maka sejak itu juga hujung minggu kami adalah dan hanyalah di padang bola. Baik untuk memberi sokongan kepada perlawanan mereka atau sekadar melihat mereka training setiap Sabtu dan Ahad. Komitmen dan menguruskan ‘anak-anak bola’ tidak mudah, saya pun tidak selalunya berada di tepi padang bola seperti daddy mereka yang sangat setia menemani anak-anak bujang kami. Ada ketikanya khususnya training saya banyak tiada dari ada. Boleh kira dengan jari saja berapa kali saya akan hadirkan diri di situ. Kalau perlawanan persahabatan atau perlawan sekitar berdekatan pun saya tidak akan ikut.

Selain dari komitmen ini, perbelanjaan membeli 'aksesori' anak-anak bola saya ada ketikanya harus tidak berkira. Khususnya but bola yang mencecah sehingga RM 200 sepasang suatu ketika dulu dan kini semakin mahal harga sepasang but kerana saiz kaki anak-anak pun semakin besar. Baru-baru ini anak bujang saya berkeinganan membeli sepasang but bola baru berharga RM700. Maka hal ini saya harus berkira juga.


Sungguhpun begitu, pengalaman yang lalui sejak anak-anak bola saya mula masuk padang adalah sangat berharga dan bermakna pada saya dan suami. Bukan semua ibubapa seperti kami. Ada yang pernah mencuba kerana mungkin teruja dan suka melihat gambar dan pengalaman kami tetapi terpaksa mengalah hanya dalam masa tiga ke lima bulan kerana tidak boleh memberi komitmen. Ya komitmen yang satu itu (berada di padang, mungkin hampir setiap minggu) menjadikan kita ‘hilang’ masa untuk aktiviti yang lain khususnya untuk diri sendiri.

Kepada ibubapa dan keluarga seperti kami, pengalaman menjadi ‘penunggu padang’ dan penyokong anak-anak bola mencipta ukhwah baru di kalangan ‘orang luar padang’. Juga pengalaman menjadi penunggu padang mengajar kita bagaimana panasnya terik matahari dan erti bersyukur sekiranya Allah izinkan angin atau bayu berlalu di situ.

Selamat bercuti buat anak-anak sekolah.

Assalamualaikum.




Saturday, 24 February 2018

Happy Birthday My Youngest





Assalamualaikum,

Celebrating birthday for a loves one is a favourite part of my life. As a mom, consciously realised that my three used to be cheeky ducklings now two of them are teenagers and my eldest has blossom beautifully to a young woman. Having said that, end of January the circle starts again. As always it begins with my youngest.

Muhammad Ikmal Alif is now 13 and officially a teenagers. Happy birthday love. Interestingly, two years in a row we celebrated his birthday in Johor Bahru without any plan. Both celebrations were a last minute decision : to travel to the city.




Looking at his teenager smile as the beautiful and friendly restaurant’s staff sang a birthday song with a candle lighted on a slice of  delicious cake while walking towards us, it was (and still) a precious memory. Thus, it is now hangs firmly on the wall of memory and hold dearly the moment of togetherness.

Happy Birthday My Son. And you are a teenager now.


Sunday, 31 December 2017

Adakah Malaysia Akan Dihujani Salji?






Assalamuailakum

November lepas saya ke sebuah 'Shopping Mall'. Terkejut dan hairan apabila mata menangkap ruang sebuah kedai baju rangkaian antarbangsa, penuh dengan koleksi baju  musim sejuk- winter cloth

"Sekejap…adakah aku ketika itu sedang berada di UK atau negara Eropah yang sedang tenggelam dalam ruang musim sejuk atau berada di salah sebuah daerah di Amerika atau pun mungkin di mana-mana daerah di  ‘Benua China’: China, Korea, Jepun atau negara berdekatan mereka? Atau mungkin ramalan pakar meteorologi bahawa Malaysia mengalami musim sejuk dan bakal dihujani salji tidak lama lagi?"

Pelik dan hairan saya bercampur lucu dan anak-anak pun ketawa kecil juga. 

Adakah akan ada yang membeli pakaian musim sejuk ini yang sememangnya tidak sesuai dengan cuaca Malaysia? Ya musim sejuk akan melanda Malaysia kerana pada waktu-waktu begini dikatakan musim tengkujuh. Tapi sejuknya tidaklah mencecah bawah  10 atau 0 darjah Celsius, yang menjadikan masyarakat kita harus dan wajib membeli pakaian musim sejuk –beku seperti di negara empat musim.

Benar rangkaian ‘butik’ ini bertompok serata negara di dunia dan berpusat di negara empat musim. Tetapi haruslah seseorang  yang dilantik sebagai ‘pakar’ perancang atau publisiti dan pemasaran atau pun PR, faham dan teliti tentang produk yang akan dijual. Produk itu harus selari dengan permintaan dan keperluan pengguna masyarakat setempat. Sehubungan dengan ini, adakah koleksi pakaian sejuk sebegini selari dengan permintaan dan keperluan kami di Malaysia?

***

Sedar atau tidak hari ini adalah hari terakhir kita berada di ruang dan alam 2017. Esok akan hilang tahun 2017 dalam kalendar Georgian  dunia. Ia akan menjadi sejarah dalam kenangan dunia. Apa azam anda kali 2018?

Selamat Berada di Ruang 2018. Semoga kita sentiasa dalam rahmatNya.

Assalamuailaikum

Wednesday, 8 November 2017

Duhai Pulau Pinang...


Assalamualaikum,





Luruh rasa hati dalam pandangan redup apabila meneliti ruang Pulau Pinang yang disimbah air dari langit melalui gambar-gambar di skrin telefon. Sayu melihat wajah-wajah yang  harus berdepan dengan musibah ini. Semoga mereka semua dipermudahkan segala apa jua urusan dan tujuan serta keadaan. Amin.

Selama hidup, inilah pertama kali Pulau Pinang saya lihat dengan mudahnya hampir ditelan air. Tidak cukup dengan itu simbahan air dari langit yang hanya 15 jam saja tanpa henti (menurut laporan) ditemani dengan angin ribut yang sangat kuat. Dikhabarkan ada kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan mewah yang sedang dibina. Justeru, menjadikan Pulau Pinang lumpuh. Allahuakhbar, sungguhlah Dia Maha Berkuasa. Semuanya di dalam genggamanNya.

Dulu, Kelantan pernah mengalami musibah yang sama. Banjir 'luar biasa' pada saya. Nyaris-nyaris ditelah air dari langit juga. Hampir 'musnah' beberapa daerah di situ. Pada saya, kesannya masyarakat Kelantan menjadi lebih kuat melalui erti kesabaran yang dalam. Semoga masyarakat Pulau Pinang juga akan menjadi lebih kuat di dalam kesabaran yang ketat. InsyaAllah.

Di mana silapnya? Adakah sistem tali air yang menjadi punca? Saya tidak pandai meneka kerana saya bukan pakar dalam bidang ini. Biarlah yang pakar membuat kajian serta analisa dan kita yang tidak tahu apa-apa ini dengar saja penjelasan dari mereka.

Ada juga suara-suara berkata ini musibah Allah kerana engkar dan sombong terhadap DIA. Berdabik dada dan tetap menganjurkan Pesta Arak. Mungkin ya, mungkin tidak. Allahualam. Hanya Dia Maha Mengetahui. Siapa kita untuk menuduh dan mengandaikan begitu. Kalau benar biarlah hanya kita yang tahu. Kalau salah bagaimana? Nauzubillah.

Apa pun pada saya, kita harus ambil iktibar dan pengajaran dari musibah ini. Benar kata seorang pendita, pada kita mungkin musibah pada Dia Yang Maha Mengetahui, datangnya 'musibah' ini adalah sebahagian dari rahmatNya.

Semoga keluarga,  sahabat...Siti Adila dan keluarga dan penduduk Pulau Mutiara ini dalam peliharaanNya. 

Sunday, 29 October 2017

Celaru Terma-Titian Cinta






Assalamualaikum,


Baru-baru ini isu satu babak dari drama rantaian Titian Cinta menjadi viral yang panas juga. Seorang doktor tiba-tiba naik berang bila babak berkenan seperti tangkap muat menggunakan terma-terma perubatan sehingga menjadikan 'kewibaan' watak doktor seperti 'tangkap muat' saja. Khususnya imej penulis skrip drama ini juga turut terjejas. Rententan dari hal 'berang' doktor itu pihak produksi tampil memberi penjelasan. Pada saya penjelasan itu  jelas. Saya faham apa yang diperjelaskan oleh pihak produksi, khususnya tentang berkaitan penulis skrip dan pengarah. 

Tetapi apa yang saya tidak mengerti bagaimana isu ini boleh terlepas pandang oleh pihak yang dipertanggunjawabkan. Saya merujuk kepada editor drama episod ini. Seorang editor tugasnya sangat penting. Dia bertindak sebagai 'pengarah kedua' pada setiap karya yang disunting. Melalui hasil kerja seorang editorlah sebuah cerita akan dihasilkan. Setiap frame shot dicantum mengikut konsep editing yang dikehendaki agar mengangkat look sesebuah karya, sepertimana yang dikehendaki oleh pengarah. Justeru berpuluh-puluh frame shot yang 'disambung' ini akan membentuk sebuah cerita yang 'sempurna.'  Hasil dari proses inilah ditayangkan baik di kaca tv dan juga  di pawagam. Tanpa editor yang bagus, sebuah karya itu akan kelihatan 'hudoh'  dan cacat, walaupun hasil kerja visual pengarah cantik dan skripnya hebat. 

Proses penyuntingan  harus mengikut konsep cerita dan elemen dramatik babak, baik dari aspek dialog atau  aksi pelakon dikala itu. Seorang editor harus faham isi dan isu cerita besar dan kemudian perlu tahu isi dan isu cerita setiap babak.  Tiada alasan babak itu dipotong mungkin berdasarkan kerana untuk memendekkan masa atau babak itu mungkin bosan. Mungkin itu lah yang berlaku kepada babak yang satu itu dalam drama Titian Cinta. 

Mungkin ramai berkata:


 'Masalah kecil saja tu kenapa nak bising-bising. Orang tak perasan pun kalau doktor tu tak ungkit.' 

Mungkin pada mereka-mereka ini, hal 'kecil ini' tidak penting kerana pada mereka yang penting adalah jalan cerita.  Sungguhpun begitu, babak yang mempunyai kesalahan 'kecil' inilah sebenarnya mempunyai impak yang besar pada watak -watak utama dan antara penggerak utama plot cerita. Penerangan watak doktor kepada Haris itu adalah antara babak penting di dalam cerita Titian Cinta. Ia menyumbang kepada logik kenapa Aisy, bersikap dingin dan benci kepada Haris sebelum ini. Kenapa Aisy mungkin tidak boleh mengandung lagi. Isu tidak boleh mengandung inilah menjadikan elemen dramatik kuat selepas tu.

Pada saya, seorang penyunting/editor yang bagus terletak pada hasilnya. Sekirannya seseorang editor itu  tidak faham terma-terma asing yang digunakan di dalam dialog, lebih elok  bertanya pada penulis skrip atau pengarah atau penolong pengarah. Janganlah kerana mungkin ingin mengejar masa TX (tarikh siaran) atau mungkin dengan menggunakan rasa hati sendiri kononnya babak ini terlalu panjang dan bosan, maka dipotong mana yang difikir perlu. Ataupun mungkin si editor itu mempunyai dua atau tiga projek yang mempunyai TX nya berdekatan maka cantas saja yang difikir perlu.

Yang pasti editor itu bukan THE CUTTER...kerana antara EDITOR dan THE CUTTER sangat berbeza. The cutter adalah pemotong yang tiada rasa. The editor adalah seorang pemikir dan mempunyai rasa.


Walaikusalam...