Nuffnang

Tuesday 26 January 2010

Dr. Anuar Nor Arai Dan Saya

Kredit: aidirahimi.blogspot.com
Al-Fatihah untuk arwah


Melangkah ke ruang Jabatan Penulisan yang kemudiannya ditukar nama kepada Jabatan Pengajian Media `mempertemukan’ saya dengan bidang pengajian perfileman. Tahun 1991 saya diperkenalkan oleh Dr. Anuar Nor Arai tentang Apa Itu Filem? Melalui kelas Directing dan Art Directing saya dan rakan-rakan perlahan-lahan kenal, hadam dan faham bahasa filem : neologism. Lantaran itu saya jatuh kasih pada ilmu teori semotik yang diangkat oleh Christian Metz, Peter Wollen dan Roland Barth. Cabang teori ini terus sebati dengan jiwa sehingga kini. Melalui cabang ranting ini sebagai asas, kita boleh merungkai dan faham bahasa neologism filem yang `ditutur’ dalam pelbagai bidang. Antaranya seperti bidang Genre, Sejarah, Psychology, Social Psychology, Sociology, Architecture, Archaeology, Anthropology, Theology mahupun Post-Colonialism dan apa saja bidang. Bertitik tolak dari sini, dari kelas Dr. Anuar Nor Arai, ilmu filem ini dikembangkan sehingga menjadi bidang `kepakaran’ akademik saya hari ini.

Sebagai pensyarah Dr. Anuar Nor Arai yang saya kenali orangnya tegas sekali. Di dalam kelas saya dan rakan-rakan sentiasa saja gementar dan kadang kala takut. Bimbang kalau persediaan dan kefahaman kami tentang konsep semalam tidak kukuh. Mungkin jawapan yang bakal kami berikan nanti tidak mememuaskan hatinya sebagai pensyarah. Tetapi rasa takut dan gementar itu hilang bila saja dia mula memberi kuliah. Pastinya kami akan terpegun dengan setiap topik yang diajar dari seminggu ke seminggu. Semuanya itu ilmu baru bagi saya. Memang teori semiotik sukar untuk dihadam. Apatah lagi untuk faham. Melalui kelas –kelas filem beliau, kami dilatih agar tajam akal dalam mengupas lapisan demi lapisan subtext sebuah filem yang bertutur dalam bahasa neologism itu.

Kredit Gambar: Lily Haslina Nasir
Bersama rakan dan Senior di Jabatan Media Studies

Sebagai seorang pensyarah Dr. Anuar Nor Arai kenal `siapa’ anak didiknya. Kenal dalam erti kata `kepakaran’, minat dan kecendurangan anak-anak didiknya yang kami sendiri tidak sedar. Seperti saya setiap tugasan dari filem yang dipilih oleh beliau antaranya seperti Godfather, Hujan Panas dan Roro Mendut pasti akan diberi tajuk-tajuk yang lebih cendurung kepada aspek artistik pengarahan seni.

Ketika di tahun 2 kami diharuskan menjalani praktikal singkat. Scene-scene yang dipilih dari skrip Johnny Bikin Filem diberi kepada beberapa kumpulan yang sudah diatur oleh beliau. Itulah pertama kalinya kami merasai pengalaman di belakang tabir. Pengalaman itu sungguh berharga kepada saya sebagai `orang filem’.
Kredit Gambar: Cecilia Lim
Praktikal Singkat Johnny Bikin Filem: Dalam Gudang di Stesen Keretapi Brickfields .




Hasil dari keyakinan pada kemampuan ketika praktikal singkat itu, ketika cuti pertengahan semester selama dua minggu saya beranikan diri untuk terlibat dalam pembikinan filem Cinta Kita arahan Kamal Ishak. Saya diberi kebebasan untuk memilih department mana yang berkenan di hati. Makanya saya dengan berani memilih `jawatan’ penolong kepada penolong jurukamera. Tugasan yang memang asing dan tidak pernah saya buat sebelum ini. Memandangkan ia bukan Beta tape tetapi roll filem.

Hati ini kembang bila pengarah, jurukamera: abang Jamal Maarif serta krew dan juga Rosyam Noor yang bertindak sebagai executive producer di kala itu menilai hasil kerja dan komitmen saya dengan pujian yang menjadikan diri melayang-layang tinggi. Pengalaman selama dua minggu itu mengukuhkan lagi keyakinan diri terhadap minat dan kasih pada bidang ini. Ternyata Dr. Anuar terkejut bila saja khabaran tentang saya yang menjadi penolong kepada penolong jurukamera ini sampai ke telinganya. Sering saya diusik bila saja semester disambung semula. Saya terima usikan beliau sebagai cabaran seorang pensyarah untuk anak didiknya.
Kredit Gambar: Zack Idris
Praktikal Singkat: Saya sebagai Pengarah Seni [Art Director]

Sebagai rakan, Dr. Anuar Nor Arai adalah seorang rakan yang baik. Namun saya tidak terdaya merasai hubungan itu kerana batasan saya adalah pelajar perempuan. Tetapi melihat dari hubungan yang terjalin antara sahabat baik saya: Ezani dan juga antara senior –senior seperti seperti Zack Idris, Abang Yan, Abang Ghaffur dan Abang Nyamuk, mereka begitu rapat sekali dengan Dr. Anuar. Sehinggakan ketika pembikinan Johnny Bikin Filem berlangsung senior –senior ini dipanggil untuk turut serta. Ketika itu saya dari tahun 3 ke tahun 4 dan mereka sudah tamat kuliah hanya menanti hari konvokesyen sahaja. Pembikinan Johnny Bikin Filem adalah praktikal untuk kami `batch’ tahun 3.

Bercerita tentang praktikal, masih tidak boleh saya lupa pada `ugutan’ Dr. Anuar Nor Arai tentang cubaan saya ingin mengubah arah. Masih jelas dan terang bagaimana saya `dipaksa’ untuk ikut serta dalam produksi Johnny Bikin Filem. Sememangnya hasrat dihati adalah untuk menjalani sesi praktikal di stesyen television: TV3 bersama rakan-rakan media yang lain. Seperti Ila, Dila dan ramai lagi (sudah saya lupa nama-nama mereka. Maaf). Permohonan yang dibuat sudahpun diluluskan. Gembira bukan kepalang ketika itu. Tetapi gembira itu tidak lama.
Kredit Gambar: Zack Idris 
Johnny Bikin Filem


Pada pada suatu petang ketika minggu pertama cuti semester yang panjang. Cuti semester yang harus diisi dengan kerja praktikal wajib. Ketika saya tidak sabar menunggu hari untuk melangkah ke ruang stesyen TV3 bersama rakan media yang lain, pintu rumah sewa saya di Pantai Dalam diketuk. Muncul Ezani antara pelajar lelaki yang paling rapat dengan saya. Munculnya disitu dengan wajah yang tersenyum-senyum. “Dr. tanya kau? Aku jawab kau prakatikal kat TV3. Dia pesan kalau kau tak join Johnny Bikin Filem, dia tak bagi kau ambil paper filem next year. Final year nanti” cerita Ezani sambil menyandar di pintu, diluar rumah. Hadirnya dia adalah kerana untuk menyampai pesan untuk saya daripada Dr. Anuar Nor Arai. Setelah melihat saya tidak hadir untuk pre-production meeting pertama Johnny Bikin Filem.Terkejut sungguh saya ketika itu. Sampai begitu sekali `marah’ Dr. Anuar pada saya.

 
Kredit Gambar: Zack Idris
Johnny Bikin Filem




Kerana kasih saya pada filem, esoknya saya menghadirkan diri untuk pre-production meeting dengan hati sungguh berdebar. Maka dengan hadirnya saya di bilik Audio Jabatan Media itu bererti dengan hati yang amat berat terpaksa saya tolak dan lupakan hajat hati untuk praktikal di TV3.

Selama hampir setahun saya dan yang lain menjalani pembikinan filem saya panggil ia sebagai filem noir: Post-Modernism. Hampir setahun juga kami belajar mengaplikasikan teori filem ke dalam praktikal. Antaranya seperti The Philosophy of Cinematography: Angles, Shots and Lighting Design. The Philosophy of Art Directing: Mise-en-scene, seperti Theory of Colours, Theory of Lines, Space and Times dan The Theory of Shapes, dan Characterisation and Positioning. Juga kami `diajar’ untuk mengenal peralatan filem- dengan cara menjadi krew produksi. Belajar dari jurukamera dan head of lighting man yang professional. Seperti memasang lampu 1K, 2K dan kadang kala nya HMI. Kami juga diajar cara bagaimana mendirikan set melalui mood mise-en-scene yang bernaung dibawah tema filem yang ber Genre  kan Noir. Dengan cara menolong senior yang dilantik sebagai art director yang baru saja tamat kuliah.

Pengalaman pembikinan filem ini amat berharga buat saya. Mana mungkin saya akan berjumpa seorang pengarah yang menghasilkan satu scene selama 3-4 jam. Menghasilkan satu shot dalam 30-sejam ? Dr. Anuar adalah seorang pengarah yang teliti. Semua shot and angles perlu ada emosi dan harus `hidup’. Perlu ada lenggok bicara neologism nya. Pada Dr. Anuar dialog adalah secondary. Visual adalah primary. Mana mungkin ada pengarah yang menyuruh para pelakon bertanya serta mendapat persetujuan dari saya, pelajar yang sedang menjalani praktikal merangkam costume designer tentang warna yang sesuai untuk sesebuah scene tertentu.
Kredit Gambar: Zack Idris
Johnny Bikin Filem


Hasil dari ilmu teori philospophy of colours beliau yang saya aplikasikan ke dalam filem ini, saya tersenarai dalam pencalonan akhir untuk kategori Pereka Fesyen (Costume Designer) Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 2008 untuk filem Johnny Bikin Filem. Ketika Mastura, rakan saya di tanahair khabarkan melalui telefon, reaksi saya ketika itu terdiam kerana terkejut.Terkejut kerana hasil kerja praktikal ketika usia masih awal dua puluhan itu mampu diangkat dan diiktiraf oleh para Juri FFM 2008 sebagai antara 5 yang terbaik. “Bergaung nama U di ruang PWTC bila diumunkan untuk filem Johnny Bikin Filem” cerita Norman pada saya. Syurkur alhamdullilah. Terima kasih Dr. Anuar Nor Arai kalau tidak kerana `ugutan’ dan `paksaan’ itu dulu tentunya ini semua tidak ada. Kalau disemak profile diri dalam Sinema Malaysia saya tersenyum lebar kerana tertulis di situ Ayu Haswida, Kerjaya: Pereka Fesyen. Tersenyum lebar kerana kemahiran menjahit saya adalah setahap menjahit kain atau pakaian yang koyak saja.

Kini giliran saya pula menyampaikan dan `memperturunkan’ ilmu beliau kepada generasi muda mengikut cara saya. Cara saya dan cara Dr. Anuar ketika di UM dulu sama saja. Cuma mungkin saya pensyarah perempuan maka nya tegas saya ditafsir sebagai garang dan cerewet. Renteten dari `kegarangan’ dan cerewet saya ini di kampus, dengar kata saya `diaugerahkan' dengan nama `the scariest lecturer in the department’. Berkat anugerah itu, anak-anak didik saya akan sentiasa bersedia dan fokus bila berada di dalam kelas Teori Filem dan Appresiasi dan juga kelas Sinema Malaysia. Juga hikmah dari anugerah nama ini, anak-anak didik saya terpaksa mengasah minda mereka untuk hadam dan faham supaya akal akan tajam bila mengupas sesebuah filem yang diberikan sebagai tugsan.

Jangan terkejut jika ada di antara rakan yang `cemburu’ dengan anugerah nama yang diberi oleh anak-anak didik saya. Kata mereka `untuk subjek Puan Ayu, automatically student akan punctual, discipline and well prepared. Kalau subjek kami, sepuluh kali cakap baru sekali dengar’. Jawab saya senang saja `maka nya jadilah macam saya the scariest lecturer in the department. Akan settle masalah

Sejak khabaran dari Kamal, seorang rakan di ASWARA pada pagi Selasa 19 Januari (waktu UK), tentang kritikalnya keadaan Dr Anuar ketika itu, saya terkejut dan diragut sedih. Tak lama khabaran tentang pemergian Dr. Anuar Nor Arai yang diterima pada pagi Rabu 20 Januari, menjadikan jiwa saya terus sebak. Sebak dan sedih bila terkenangkan kerana dialah yang bertanggungjawab menitik minat pada filem dalam diri saya. Kemudian dia dengan cara tersendiri telah menjadikan titik itu kembang sehingga menjadi sebati dalam diri. Kini kerana minat yang teleh dititik itulah saya berada di sini. Mendalami ilmu teori ini. Mencari dan mendalami bahasa neologism filem agar saya berjaya dan boleh bersentuh dengan dasar asasnya yang dalam itu. Harapan saya agar suatu hari nanti akal dan hati boleh menjadi setajam dia. Emosi dan jiwa boleh sekritis sepertinya. Seperti kata sahabat baik di Kuantan, Gee antara dialog di dalam skrip Johhny Bikin Filem yang paling digemari “Masa yang singkat tetapi amat lama” “Begitu dalam dan panjang maknanya” sambung Gee kemudian.


Perginya Dr. Anuar Nor Arai mengadap yang Maha Esa, saya iringi dengan doa agar dia diampunkan dari semua dosa. Biar dari sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Dosa yang beliau disedari dan yang tidak. Dosa yang beliau sengajakan dan tidak. Dosa yang nampak dan tidak. Agar roh dan jasadnya suci bersih dan bersinar dengan AnnurNya.
.
Perginya beliau saya iringi dengan bersedakah Al-Fatihah agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan umat dan hambaNya yang soleh. Al- Fatihah. AMIN

4 comments:

  1. Ayu, betul tak aku cakap? Batch kita hanya kau aje yg mengikut Dr Anuar Nor Arai. Teruskan perjuangan filemnya melalui gaya dan cara kau yg tersendiri ok. Gd luck

    ReplyDelete
  2. Al Fatihah,

    harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, guru mati meninggalkan seribu ilmu... InsyaAllah.... menjadi penolong dialam sana.

    ReplyDelete
  3. Ila: Betul... so far antara batch kita dan batch Zack Idris, aku sorang aje kot yang ikut jejak arwah. Manakala Zack Idris ikut jejak arwah sebagai pembikin.

    Ati: Betul...and agreed

    ReplyDelete
  4. so beautifully written. i hope that my dad will always be in your prayers.

    Al-Fatihah

    ReplyDelete