Salam Ramadhan,
Ramadhan Al-Mubarak tahun ini saya dan keluarga sambut
dengan suasana dan latar yang berbeza. Setelah empat kali ramadhan disambut di
Tanah Ratu, kali ini kami sekeluarga menyambutnya di tanahair semula. Tiada
rasa berbeza tetapi perasaan teruja dan gembira. Sungguhpun begitu pengalaman
‘meraikan’ Ramadhan Al-Kareem di tanah asing adalah pengalaman yang sungguh
mahal. Menjadi sebahagian kisah hidup saya sekeluarga yang tidak boleh dikikis
keluar. Peluang diberi Allah kepada saya dan keluarga untuk menjalani ibadah
puasa di tanah asing.
Empat kali ‘meraikan’ Ramadhan di sana, juadah untuk berbuka
dimasak sendiri. Cuma satu atau dua lauk saja dan sejenis kuih. Ketika tinggal
di Spring Lane, saya dan jiran –jiran setiap petang akan bertukar-tukar lauk
atau kuih. Itu menambahkan lagi hidangan di meja. Rindu saya pada masakan
Fatimah, jiran dari Kuwait dan juga masakan CT, jiran senegara yang cantik
molek itu. Di hujung minggu pula akan sentiasa penuh dengan jemputan berbuka
puasa, baik dari York sendiri mahupun dari rakan-rakan dari luar York. Meriah .
Suasana inilah antara kenangan yang saya rindu ketika ini. Ketika menyambut
Ramadhan di tanahair ini.
Kebiasaan ini-memasak juadah untuk berbuka-saya tidak ‘boleh
buang’, walaupun sudah diangan-angankan sebelum ini saya ingin sangat
berjalan-jalan di dalam ruang pasar Ramadhan seperti dahulu kala untuk membeli
kuih atau lauk ‘tunjuk’. Namun sehingga ke hari ini, pasar Ramadhan saya masih
belum singgah. Hanya ada tiga kali mungkin suami berkunjung untuk membeli
murtabak dan air tebu. Kerana murtabak dan air tebu saya atau suami tak pandai
buat.
Sungguhpun begitu Ramadhan kali ini meriahnya ada seri yang
berbeza. Meraikan bersama keluarga yang sudah lama kami tinggalkan. Pada saya
khususnya, menyambut Ramadhan kali ini ada sayu dan kehilangan di hujung jiwa.
Inilah Ramadhan pertama saya sambut bersama adik-adik tanpa emak yang sudah
kembali kepadaNya pada Mei 2007. Tidak akan seperti dulu. Saya tidak akan
merasa lagi suasana balik ke kampung saya untuk berbuka bersama emak. Rumah itu
kini dihuni oleh adik bongsu. Ya saya masih ada kampung tetapi hanya rumah
kampung itu saja yang menunggu kepulangan saya. Rumah yang padat dengan
kenangan seorang Haswida Abu Bakar.
Rasa sayu dan kehilangan juga bergayut semakin lebat bila
tahun ini Ramadhan disambut tanpa ayah mertua yang juga telah kembali kepadaNya
pada Mei 2011 baru-baru ini. Tiada lagi akan terdengar alunan suara dia membaca
Al-Quran pada setiap pagi dalam bulan Ramadhan, sebaik saja arwah pulang dari
solat Subuh dari masjid.
Al Fatihah buat arwah ayah –Hj. Abu Bakar bin Hj.Hussein,
ibu-Hajah Hasnah bt Hj.Abdul Rahman dan ayah mertua- Hj.Mohd Saad bin Hj Ahmad.
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dari saya sekeluarga.
lepas ni rindu beraya di york pulak.. =)
ReplyDelete