Nuffnang

Monday 15 August 2011

Ramadhan: Suasana Baharu Yang Lama


Salam Ramadhan,

Ramadhan Al-Mubarak tahun ini saya dan keluarga sambut dengan suasana dan latar yang berbeza. Setelah empat kali ramadhan disambut di Tanah Ratu, kali ini kami sekeluarga menyambutnya di tanahair semula. Tiada rasa berbeza tetapi perasaan teruja dan gembira. Sungguhpun begitu pengalaman ‘meraikan’ Ramadhan Al-Kareem di tanah asing adalah pengalaman yang sungguh mahal. Menjadi sebahagian kisah hidup saya sekeluarga yang tidak boleh dikikis keluar. Peluang diberi Allah kepada saya dan keluarga untuk menjalani ibadah puasa di tanah asing.

Empat kali ‘meraikan’ Ramadhan di sana, juadah untuk berbuka dimasak sendiri. Cuma satu atau dua lauk saja dan sejenis kuih. Ketika tinggal di Spring Lane, saya dan jiran –jiran setiap petang akan bertukar-tukar lauk atau kuih. Itu menambahkan lagi hidangan di meja. Rindu saya pada masakan Fatimah, jiran dari Kuwait dan juga masakan CT, jiran senegara yang cantik molek itu. Di hujung minggu pula akan sentiasa penuh dengan jemputan berbuka puasa, baik dari York sendiri mahupun dari rakan-rakan dari luar York. Meriah . Suasana inilah antara kenangan yang saya rindu ketika ini. Ketika menyambut Ramadhan di tanahair ini.

Kebiasaan ini-memasak juadah untuk berbuka-saya tidak ‘boleh buang’, walaupun sudah diangan-angankan sebelum ini saya ingin sangat berjalan-jalan di dalam ruang pasar Ramadhan seperti dahulu kala untuk membeli kuih atau lauk ‘tunjuk’. Namun sehingga ke hari ini, pasar Ramadhan saya masih belum singgah. Hanya ada tiga kali mungkin suami berkunjung untuk membeli murtabak dan air tebu. Kerana murtabak dan air tebu saya atau suami tak pandai buat.

Sungguhpun begitu Ramadhan kali ini meriahnya ada seri yang berbeza. Meraikan bersama keluarga yang sudah lama kami tinggalkan. Pada saya khususnya, menyambut Ramadhan kali ini ada sayu dan kehilangan di hujung jiwa. Inilah Ramadhan pertama saya sambut bersama adik-adik tanpa emak yang sudah kembali kepadaNya pada Mei 2007. Tidak akan seperti dulu. Saya tidak akan merasa lagi suasana balik ke kampung saya untuk berbuka bersama emak. Rumah itu kini dihuni oleh adik bongsu. Ya saya masih ada kampung tetapi hanya rumah kampung itu saja yang menunggu kepulangan saya. Rumah yang padat dengan kenangan seorang Haswida Abu Bakar.

Rasa sayu dan kehilangan juga bergayut semakin lebat bila tahun ini Ramadhan disambut tanpa ayah mertua yang juga telah kembali kepadaNya pada Mei 2011 baru-baru ini. Tiada lagi akan terdengar alunan suara dia membaca Al-Quran pada setiap pagi dalam bulan Ramadhan, sebaik saja arwah pulang dari solat Subuh dari masjid.

Al Fatihah buat arwah ayah –Hj. Abu Bakar bin Hj.Hussein, ibu-Hajah Hasnah bt Hj.Abdul Rahman dan ayah mertua- Hj.Mohd Saad bin Hj Ahmad.

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dari saya sekeluarga.

1 comment: