Nuffnang

Tuesday, 8 January 2013

Bila Ika Bercerita: Pengalaman Awal Di Tanah Ratu



Cerita Ika Tentang Pengalaman Awal dia ketika di Tanah Ratu:



“MasyaAllah, hari ini hari raya….”
Mengalir air mata di pipi licin aku. Rindu pada kampung halaman tiba-tiba saja menjerut kuat semua rasa di dalam. Rupanya hati di dalam tidak sekuat yang aku sangka. Melayang-layang wajah Mak, Mama dan Ayah di ruang bilik kecil ini. Sungguh ketika ini aku ingin saja terbang balik ke Tanjung Dawai untuk meraikan Aidilfitri di sana. Bersama-sama keluarga aku di Kampung Nelayan sana.
“Ya Allah, bagaimana aku boleh terlupa dengan hari kemenangan ini?”
Air mata yang mengalir laju di pipi aku sapu dengan telepak tangan. Sungguh ketika ini tidak ada pun secubit rasa suasana menyambut hari kemenangan ini melingkar di dalam diri kerana gahnya tidak ada langsung. Tidak seperti di Tanjung Dawai sana. Di sini tidak ada malam tujuh likur. Tidak ada anak-anak bermain bunga api. Cuma yang ada hanyalah takbir raya yang berlangsung di rumah Abang Saiful dan Kak Ida saja semalam. Itulah kali pertama aku berkenal-kenal dengan masyarakat Melayu di York ini. Tidaklah seramai yang aku sangka. Kata Kak Nai, masyarakat Melayu di sini tidak sebanyak di Manchester atau di Leeds. Pada pemerhatian aku, penduduk Kampung Nelayan jalan hulu : kawasan rumah aku, pun banyak lagi. Malah penduduk perumahan kos rendah di barisan rumah Kak Ngah di Bukit Tembaga, Kuala Nerang sana pun ramai lagi, kalau nak dibandingkan dengan masyarakat yang ada di York ini. 

No comments:

Post a Comment