Nuffnang

Showing posts with label Scandalous Ika. Show all posts
Showing posts with label Scandalous Ika. Show all posts

Saturday, 2 March 2013

ADA APA DI PBAKL 2013




Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur




Melihat Ika ‘berdiri’ sebaris bersama kalangan nama-nama besar  penulis Adiwarna, menjadikan senyum yang melirik tidak mahu hilang. Alhamdullilah, akhirnya dengan izin DIA, Ika ‘lahir’ dari ilham yang tenggelam timbul dalam lautan pengalaman ketika menjadi anak rantau dulu. Ika ‘lahir’ di tengah-tengah masyarakat ‘urban kampung Melayu’. Itu adalah gelaran yang saya rasa sesuai untuk masyarakat anak rantau yang berkampung di negara orang.

InsyaAllah walaupun nama penuh Ika yang saya beri: Skandalous Ika: Cinta Berani Mati, nama itu sangat sesuai dengan roh dan semangat yang diangkat oleh novel berkulit lukisan almari buku, yang ditabir langsir putih jarang. Skandalous Ika….ya sememangnya sifatnya adalah skandalous. Cinta Berani Mati…ya benar….semangatnya memang berani mati demi cinta yang terlarang itu. Tetapi…jangan lupa…ada tabir PUTIH jarang yang memisahkan kita dengan roh dan semangat cinta berani mati Ika itu.

Terima kasih warga Adiwarna.

Jumpa kita di PBAKL Mei nanti.

Wednesday, 23 January 2013

THE COVER




‘Skandalous’ Ika; Cinta Berani Mati – THE COVER






Terpegun. Itu reaksi sebaik saja pandangan saya jatuh pada skrin laptop. Kulit buku untuk novel ke - enam saya ini sungguh unik sekali. 

Di sebalik langsir putih jarang yang tidak jernih, ada sebuah rak almari buku. Langsir putih itu tidak ditutup penuh. Dicelah-celah buku-buku itu ada terselit barang-barang berjenama mahal hak milik Ika. Langsung, cerita Ika sudah boleh dibaca ‘sekali imbas’ dari lakaran yang unik ini.

Terima kasih kepada pelukis grafik untuk novel kedua saya bersama JS Adiwarna ini. Cantik dan unik sekali.

Tuesday, 8 January 2013

Bila Ika Bercerita: Pengalaman Awal Di Tanah Ratu



Cerita Ika Tentang Pengalaman Awal dia ketika di Tanah Ratu:



“MasyaAllah, hari ini hari raya….”
Mengalir air mata di pipi licin aku. Rindu pada kampung halaman tiba-tiba saja menjerut kuat semua rasa di dalam. Rupanya hati di dalam tidak sekuat yang aku sangka. Melayang-layang wajah Mak, Mama dan Ayah di ruang bilik kecil ini. Sungguh ketika ini aku ingin saja terbang balik ke Tanjung Dawai untuk meraikan Aidilfitri di sana. Bersama-sama keluarga aku di Kampung Nelayan sana.
“Ya Allah, bagaimana aku boleh terlupa dengan hari kemenangan ini?”
Air mata yang mengalir laju di pipi aku sapu dengan telepak tangan. Sungguh ketika ini tidak ada pun secubit rasa suasana menyambut hari kemenangan ini melingkar di dalam diri kerana gahnya tidak ada langsung. Tidak seperti di Tanjung Dawai sana. Di sini tidak ada malam tujuh likur. Tidak ada anak-anak bermain bunga api. Cuma yang ada hanyalah takbir raya yang berlangsung di rumah Abang Saiful dan Kak Ida saja semalam. Itulah kali pertama aku berkenal-kenal dengan masyarakat Melayu di York ini. Tidaklah seramai yang aku sangka. Kata Kak Nai, masyarakat Melayu di sini tidak sebanyak di Manchester atau di Leeds. Pada pemerhatian aku, penduduk Kampung Nelayan jalan hulu : kawasan rumah aku, pun banyak lagi. Malah penduduk perumahan kos rendah di barisan rumah Kak Ngah di Bukit Tembaga, Kuala Nerang sana pun ramai lagi, kalau nak dibandingkan dengan masyarakat yang ada di York ini. 

Saturday, 5 January 2013

Snippet dari Skandalous Ika: Cinta Berani Mati.


Suatu Petang Di Hujung Ramadhan:


Kenapa tiba-tiba saja dia boleh menghantar kad raya kepada aku pulak? Anak Tok Imam Kota Sarang Semut itu menghantar kad raya yang besar ini kepada aku?!
“Ika…Ika…pasai apa lari macam nampak hantu tadi?” Soal Mak di sebalik pintu.
“Tak ada apa-apa Mak…”
Sapa hantaq kad raya yang besaq tu?” Soal Mak lagi. Aduh, macam mana harus aku jawab soalan Mak yang ini. Mahunya Mak berceramah panjang bila aku menyebut nama Khaleef Idil. Pasti Ayah akan berkhutbah pula bila berita kad ini sampai ke telinga dia.
“Kawan kolej Mak.” Itu saja yang mampu aku jawab dengan harapan Mak tidak bertanya banyak lagi.
“Kawan baik-baik. Pilih yang elok-elok. Bawa tunjuk dekat Ayah dengan Mak nanti.” Kata Mak dalam nada sungguh lembut. Kata-kata Mak tadi menjadikan debaran yang laju tadi berhenti . Apa maksud Mak bila berkata begitu tadi? Adakah Mak ingat aku dan Khaleef sudah lama berkawan, bercinta dengan lebih tepat lagi?
“Kawan saja Mak.” Balas aku.
“Ya lah…lepas habis baca kad tu..turun bawah…goreng kuih Che Mek Molek yang Tok Besah kau bagi untuk buka puasa.”
“Baik Mak.” Jawab aku dalam senyum. Ada –ada saja Mak ni. Lain yang disangka lain pula yang jadi. Dengan hati yang sudah mula berdebar semula, kad tadi aku buka sekali lagi. Melihat dan membaca setiap baris ayat yang tertulis di situ:

Assalammualaikum Zulaikha Mat Ayob,
Selamat Menyambut Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin
Semoga perkenalan ini kekal dan dirahmati DIA dunia akhirat
Salam Aidilfitri dari
Khaleef Idil bin  Haji Ismail

Aku memasang senyum dan membaca barisan ayat yang ditulis itu berkali-kali. Walaupun kata-katanya sungguh ringkas dan biasa tetapi ia menyusup masuk seperti pelangi terang di langit hati. Melekat kukuh dan mencengkam dalam pada dinding hati aku. Menjadikan ruang hati indah berwarna warni. Sejak kehadiran kad itu di dalam hidup aku, hati aku sudah punyai tuan dan sangkar emasnya yang tersendiri. Sangkar emas di dalam sangkar hati Khaleef Idil.

Saturday, 11 August 2012

Zulaikha Mat Ayob



Sudah lama saya mengutip pengalaman Zulaikha Mat Ayob. Hampir lapan bulan kalau tak silap saya. Ingatkan Ika yang 'hidup' dalam ruang Kelab Jarum & Co ini punyai perkaitan yang sangat rapat dengan isu dan cerita Kelab ini. Ternyata tidak secara 'direct'. Dia bukan mangsa atau ' a cup of coffee' perbincangan dan gula-gula pemanis mulut kelab ini. Malah dia mereka tidak 'endah'. Apa yang ada pada dia tidak sedap dibuat fitnah atau pemanis mulut untuk dicanang ke sana sini.  Rupanya Zulaikha Mat Ayob ini mampu ' membawa' kisah dunia sendiri tanpa terikat rapat dan melibatkan Kelab ini. Mungkin ada tapi tidak terang. 'Indirect' kata orang putih.

Dari kisah cinta berani mati Zulaikha yang sudah pun separuh saya tahu, menjadikan perspektif saya pada Zulaikha berubah. Kini bagi saya Zulaikha seorang Scandalous Ika:



“Waalaikummussalam, Idil…” salam Idil aku jawab.
“Baru balik dari kelas…”
“Tak jadi datang? Ooo..” suara aku mengendur bila Idil memberitahu rancangannya untuk turun ke York terpaksa dibatalkan…LAGI. Ini sudah masuk kali ketiga Idil membatalkan perancangan ini. Kenapa? Tidak rindukah Idil kepada aku di sini? Adakah Idil sudah ada yang lain. Sejak akhir-akhir ini Idil seperti ingin menjauhkan dirinya dari aku saja. Menelefon aku pun tidak sekerap dulu lagi. Hantar SMS kepada Idil pun kadang kala tidak berbalas. Pelik aku dengan sikap Idil sejak akhir-akhir ini? Sudah ada perempuan lainkah di dalam hati Idil sekarang ini, di Glasgow sana?
“Tak apa..Ika tahu…jauh.” Lirih aku. Hati di dalam sudah menangis. Tapi siapa aku untuk memaksa Idil ke sini? Isterinya?
“Cuti Krismas ni? Tak kot…tak ada duit. Baru-baru ni hantar duit kat kampung.” Jelas aku bila dia bertanyakan tentang perancangan cuti aku di musim cuti perayaan hari Natal nanti.
“Tak…tak…Ayah tak minta pun tapi kesian kat Ayah…Idil pi mana?” Soal aku. Kalau ikutkan hati ini, aku ingin sangat mengikut Maisarah dan yang lain turun ke London. Tapi aku bukan anak orang senang seperti mereka. Duit lebih yang ada harus aku simpan atau diberikan saja kepada Ayah walaupun Ayah tidak pernah meminta. Aku ingin membantu Ayah.

[Scandalous Ika: ms 26]