Salam Ramadan,
Sudah empat hari kita berpuasa. Kini tinggal 25 atau 26 hari
saja lagi. Cepatnya masa berlalu. Hari pertama Ramadan saya sekeluarga sambut
dengan berbuka di Masjid Besi, di Putrajaya. Pengalaman ‘indah’ berbuka di
masjid tahun lepas, menjadikan anak-anak membuat permintaan untuk berbuka di
masjid –masjid ini lagi Ramadan kali ini. Sudah mereka atur jadual berbuka pada
hari minggu: bergilir antara masjid Besi dan masjid Putrajaya. Saya dan daddy
mengikut saja.
Hari
pertama berbuka dan malam berterawih yang kedua, berlangsung di masjid besi
yang sangat indah itu. Namun ‘kenikmatan’ bersolat terawih di sana tidak
panjang kerana ada anak-anak berlalu lalang di lorong sujud. Berlari ke sana ke
mari dan ada kalanya duduk bermain di situ. Ada pula anak-anak yang duduk diam
di sebelah ibu mereka tetapi tangan mereka ‘merayap’ pada jemaah di depan atau
di sebelah. Menepuk-nepuk buntut jemaah di depan yang sedang bersujud dan cuba
menarik-narik kain telekung jemaah di sebelah.
‘Budaya’ ini tidak hanya berlaku di
situ, malah ‘bersambungan’ di surau kawassan perumahan saya, semalam: ada
anak-anak berlari di lorong sujud dan menjadikan jemaah tidak khusyuk,
khususnya bila anak-anak itu duduk terus di tempat itu. Di mana kami hendak
sujud? Bila selesai, ada beberapa jemaah sebelah saya menjeling dan mencari
siapa ibu kepada anak-anak ini dan ada yang marah lembut pada anak-anak ini.
Tetapi si ibu buat bodoh saja. Seperti orang tidak bersalah.
Elok dan bagus mengajar anak
‘menyintai’ rumah Allah, saya pun suka. Tetapi kalaulah kesannya mengganggu
jemaah lain dari khusyuk bersolat, adakah si ibu itu juga khusyuk solatnya?
Pernah Ramadan tahun lepas,
ketika berjemaah terawih di masjid
Putrajaya, si ibu datang dengan membawa bayi yang hanya boleh meniarap dan si
kakak berusia tiga atau empat tahun. Saya yang duduk berhampiran sudah mulai
risau dan kemudian mengajak Yasmin dan bibik untuk berpindah ke saf yang agak
jauh. Tidak lama ketika sedang bersolat, si adik menangis dan si kakak
berlari-lari-lari di lorong sujud itu. Beberapa jemaah yang ada di situ hanya
geleng dan melihat.
Kenapa si ibu sanggup bersusah payah mengheret anak kecil yang belum
pun tahu apa-apa, ke rumah Allah ini kerana hanya untuk menunaikan solat sunat
berjemaah? Adakah mereka ini datang berjemaah hanya untuk menghilangkan rasa
bersalah di hati jika tidak solat berjemaah?
Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak dari saya dan keluarga.