XI'AN
Khamis 26hb Oktober 2023, pertama kali saya dan suami jejaki Tanah China. Daerah Xi'an di wilayah Shaanxi. Ruang awal musim luruh. Suhu 14 darjah celcius, 9.00 malam. Xi'an atau Hsi-an atau Sian adalah ibu negeri wilayah Shaanxi. Justeru, kehadiran kami di bumi ini adalah kembara ilmu. Saya adalah salah seorang pembentangkan kertas kerja di seminar antarabangsa dan suami adalah peserta.
Berlegar-legar dalam ruang lapangan terbang antarabangsa Xi'an mencari pintu keluar yang diminta oleh pemandu shuttle hotel, terasa asing. Seperti melangkah ke dimensi lain. Benar, saya dan suami melangkah ke alam landskap China yang selama ini hanya dirasai oleh pandangan mata melalui drama tv, filem ataupun Youtube. Sungguh, kami ketika itu buta dan pekak bahasa. Kami tahu itu tonasi dan butir bahasa Mandarin. Tetapi semuanya terbang ke telinga seperti bunyian dalam irama yang tiada makna.
Malam pertama saya dan suami di sini, kami menempah hotel yang berdekatan dengan kawasan airport - Holiday Inn Tuwo (Xi'an Xianyang International Airport), melalui Trip.com. RM72.94. Terasa rugi kalau tempah hotel di 'bandar Xian'. Atas alasan sudahlah sampai malam dan hanya satu malam saja. Hotel yang menyediakan shuttle dari airport ke hotel. Menunggu agak lama (lebih kurang sejam) walaupun dimaklumkan hanya 10 minit dari airport ke hotel.
Shuttle yang ditunggu tiba. Kereta sedan hitam. Pemandunya perempuan berambut pendek dan berkaca mata. Berbaju biasa dan bukan pakaian seragam hotel. Dalam lingkungan usia lewat 30an (mungkin). Cantik. Maka bermulalah komunikasi suami dan pemandu menggunakan google translator. (Terlupa saya nak snap gambar). Seperti yang dinyatakan, jarak antara airport dan hotel tidak jauh.
Sebaik saja sampai, saya terkejut dan tergamam kerana hotel yang berada di depan mata dan gambar di Trip.com, tidak sama. Lain sama sekali. Hotel di depan mata ini, ruangnya seperti hotel lama dan seperti motel pun ya juga. Rupanya pemandu perempuan tadi adalah pemilik hotel ini. Urusan daftar masuk diuruskan dia. Mudah kerana pembayaran sudah kami lakukan melalui Trip.com. Hal ini menjadikan saya keliru. Adakah saya dan suami kena scam?
Dengan Bismillah saya dan suami melangkah masuk ke bilik. Tergamam lagi saya tatkala melangkah masuk ke dalam bilik. Terasa seperti berada dalam ruang dan waktu, atau dalam bahasa filem mise-en-scene lewat 60an. Maka ketika ini saya yakin kami kena tipu atau kena scam.
Saya mohon rakan tolong terjemahkan nama hotel dan ternyata benarlah hotel ini bukan hotel yang ditempah melalui Trip.com - Holiday Inn Tuwo (Xi'an Xianyang International Airport). Tetapi Xianyang Mingxuan Express Hotel.
**Bukan Bianfang Village tetapi Leijia Village.
Saya berhenti di sini, akan sambung bercerita dalam episod akan datang.
Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment