Pengalaman tinggal di luar negara selama tiga tahun setengah menjadikan saya sentiasa mencari ilmu penawar 'alam' atau altenative. Di sana konsep 'perubatan' agak berbeza. Antibiotik tidak digalakkan dan ada kempen berkaitan ini sering dilihat pada mana-mana klinik GP. Berada di negara empat musim sering kali menjadikan saya begitu senang disinggah virus batuk. Ada ketikanya berminggu-minggu dan sesungguhnya keadaan ini sangat tidak selesa. Setujukan?
Ketika di sana apabila ubat batuk 'sukar' diperolehi, saya mencari penawar altenatif alam. Selama tiga tahun setengah itu saya tidak pernah menjamah ubat batuk. Kalau ada pun mungkin 'ubat batuk gula-gula' yang ada dipasaran. Ada pelbagai petua dan tips yang disarankan oleh rakan-rakan di sana. Antara yang serasi dengan saya adalah tips lemon yang dicampur madu.
Cara saya amalkan
Sebiji lemon atau kadang kala tiga biji lemon diperah dan campur dengan satu sudu kecil madu. Saya gaul sambil berselawat tiga atau tujuh kali kemudian barulah air panas menggelegak dituang ke dalam cawan atau mug. Dengan perlahan saya teguk minuman itu sedikit demi sedikit sehingga habis. Kalau inginkan kelainan boleh saja ditambah bunga lawang dan kulit kayu manis. Rasanya akan bertambah enak dan segar. Cara ini saya amalkan setiap pagi, tengahari dan malam. Alhamdulillah virus itu hilang dalam masa lebih kurang tiga atau lima hari.
Tips yang lain.
Tips ini diberikan kepada saya oleh seorang bakal pakar doktor bius. Mungkin kasihan melihat saya batuk agak teruk ketika berkunjung ke rumah dia di Hull, dia menasihatkan saya minum air panas menggelegak.Teguk perlahan-lahan. InsyaAllah katanya ini akan mencairkan kahak di dada. Batuk akan hilang dalam ketika mengamalkan meneguk air panas mendidih ini. Selepas habis secawan atau sa tu mug, dalam lebih kurang sepuluh atau limabelas minit kemudian batuk akan muncul lagi. Sungguhpun begitu, tips ini pun berkesan tetapi prosesnya agak lambat berbanding yang pertama.
Dalam keadaan lain, menurut seorang rakan, ada ketikanya apabila badan dan minda terlalu penat dan letih, kita akan disinggah penyakit batuk-batuk. Maka apa yang perlu kita buat adalah rehat secukupnya. InsyaAllah batuk-batuk itu akan hilang. Dan saya akui akan kebenaran ini. Pernah saya disinggah batuk yang agak teruk sepanjang minggu. Ini adalah kerana pada minggu sebelumnya amanah dan tanggugjawab kerja di pejabat memerlukan saya pulang lewat malam dan awal pagi esoknya harus ke sana pula. Rutin ini menyebabkan saya kekurangan tidur dan rehat. Maka pada hujung minggu berkenaan saya 'rehat sepenuhnya.' Sepanjang Sabtu dan Ahad itu sofa di ruang tv di rumah menjadi tempat 'lepak-baring' saya. Ketika itu mata sangat mudah terlelap. 'Pejabat hujung minggu' saya tutup pada minggu itu. Tidak menulis novel atau apa-apa berkaitan kerja-kerja kreatif yang saya suka. Kecuali masak untuk keluarga. Alhamdulillah batuk yang teruk kian reda dan tidak lama hilang tanpa saya sedar. Maka sekarang saya faham kenapa majoriti ubat batuk yang diberi doktor itu akan menjadikan kita mengantuk. Tujuannya adalah untuk rehat. Khususnya untuk minda yang penat dan letih.
Namun begitu sekiranya batuk-batuk anda menyebabkan sakit tekak yang pedih, eloklah berjumpa doktor. Sekirannya dibiarkan lama, keadaan bertambah buruk.
Bagaimana dan apa tips penawar batuk anda?
No comments:
Post a Comment