Musim Baju Raya Datang Lagi
"Bila nak hantar kain untuk baju raya. Na tutup order hujung bulan tiga"
Terdiam saya sebentar apabila dengar soalan dari tukang jahit baju yang sudah berpuluh tahun saya kenal. Hanya ketika itu barulah saya sedar ketika itu musim baju raya sudah lama bermula. Mungkin sudah berada di pertengahan.
Pada pengamatan sayalah, musim baju raya ini diraikan oleh golongan wanita khususnya. Ini adalah kerana pada pengamatan saya, kompleks jualan kain pasang penuh dengan kaum hawa walaupun bertingkat-tingkat tingginya. Kaum Adam hanya menjadi chauffeur atau 'tukang bayar' sahaja (mungkin).
Suka saya melihat suasana suatu bahagian (lorong) pada satu tingkat di sebuah bangunan jualan kain pasang, dikerumuni dan penuh sesak dengan kaum wanita sebaik saja pengumuman 'happy hour' pada bahagian tersebut. Ketika ini harga kain pasang lebih murah berbanding dua minit sebelum itu. Mungkin setengah jam atau dua puluh minit kemudian suasana 'happy hour' sudah tamat. Maka harganya kembali sama seperti sebelum happy hour tadi. Lucunya di sini masa yang diperuntukkan tidak sama dengan konsep yang dilaungkan: HAPPY HOUR kerana masa yang diperuntukkan tidak sampai pun sejam. Kasihan pada para kaum Hawa yang masih belum selesai dan berpuas hati membelek. Pada saya seharusnya dikonsepkan HAPPY MINUTES. Suka pula saya apabila tidak lama kemudian, dilaung lagi konsep yang sama pada lorong yang tadi. Maka lorong itu penuh sesak semula.
Tahun Biru
Tema warna raya kali ini adalah pilihan kakak. Justeru pilihannya adalah warna biru dan adik-adik harus setuju saja. Saya sebagai ibu membuat giliran ahli keluarga memilih warna tema baju raya. Dulu si kakak memilih pink, adik-adik tarik muka tidak suka. Maka saya 'adjust' sedikit supaya tidak terang tema pink itu tetapi menjadi pink kemerahan lembut. Tahun selepas itu si abang pula dengan pilihan tema hijau dan diikuti dengan si adik dengan tema merah bunga raya (cili), diikuti dengan daddy -kelabu dan tahun lepas tema kami Kuning mengikut pilihan warna saya. Justeru tahun ini, pusingan ini berbalik kepada sikakak. Maka berlangsunglah acara membeli-belah kain berwarna dan bercorak biru.
Maka di sini bolehlah saya katakan, konsep tema warna pakaian untuk hari raya terletak di tangan ibu atau isteri.Betulkan? Kita yang memikirkan tema baju raya setiap tahun dan suami serta anak-anak mengikut saja. Setujukah anda?
Sungguhpun begitu, ada juga ibu atau isteri buat tidak kisah saja sebenarnya. Biarlah suami dan anak-anak nak memilih baju warna yang mereka suka. Yang pasti baju raya si ibu harus cantik dari tahun lepas. Betulkah pendapat saya ini?
Apa tema warna baju raya anda dan keluarga kali ini? Biru juga?
No comments:
Post a Comment