Nuffnang

Saturday, 7 July 2018

Tulisan dan Fitnah



Menulis Cerita Benar

Pernah seketika dulu ketika saya sedang dalam proses menulis sebuah kisah benar. Kisah yang dilalui seorang rakan baik . Seorang rakan penulis menasihatkan agar yang ‘benar’ itu ditokok tambah khususnya pada pencirian sosiologi watak. Justeru ketika itu saya sangat tidak setuju kerana pada saya kenapa harus diubah sedikit sememangnya ia kisah benar.

‘Adakah itu sebenarnya? Ini hanya dari pandangan anda. Khususnya pada watak yang diangkat melalui watak sebenar. Benarkah dia begitu? Kalau salah dan tersilap maka akan menjadi fitnah. Fitnah yang ini tidak akan berhenti selagi ada yang membaca. Maka tanggunglah ‘sahamnya’ di alam kubur dan di akhirat nanti.’

Marah yang ditatang ego seorang penulis tadi ketika ini kecut dan luruh semua dan berkecai di lantai bumi. Tergamam dan terasa seram sejuk seluruh badan.

Kebarangkalian Timbulnya Fitnah, Mudah.

Sesungguhnya di dalam proses menulis kebarangkalian untuk menjadi fitnah sangat mudah. Khususnya pada cerita yang diangkat dari kisah benar. Kita sebagai penulis harus merencana dan menapis terlebih dahulu kisah seperti ini. Tidak boleh kita terus menulis naratif cerita khususnya watak yang sememang wujud tanpa memberi unsur fiksi kepadanya. Kerana kita hanya mendengar sebelah pihak dan pihak itu adalah orang yang kita sayang dan suka. Tetapi Allah Maha Mengetahui hal sebenar. Bagaimana kalau watak ‘jahat’ atau anatogonis itu sebenarnya tidak begitu? Bagaiamana jika apa yang kita dengar dan mungkin nampak ‘tidak benar’ semua? Maka tanggunglah dosa fitnah dibahu selagi ada yang membaca novel atau cerpen kita walaupun ketika itu kita sudah berada di alam kubur. Nauzubillah.

Maka sejak itu saya menjadi berhati-hati dalam mengukir watak-watak saya yang berdasarkan dari sebuah kisah benar. Jalan ceritanya saya tidak akan ubah tetapi pencirian watak dari aspek sosiologi dan psikologi atau mungkin fizikalogi sahaja yang saya akan ubah agar tidak sama dengan watak sebenar.

Niat Tidak Menghalalkan Cara

Kenapa kita tertarik dan ingin menulis cerita benar ini? Pasti masing-masing ada alasan tertentu. Maka ‘alasan tertentu’ itu sebenarnya adalah NIAT. Jangan kerana niat yang elok dan ‘mulia’ menjadi sia-sia apabila ditelan semua rahmatNya oleh fitnah yang satu ini. Semua penulisan dan tulisan, baik di media sosial mahupun karya: seperti novel, cerpen, puisi dan skrip, bermula dengan niat. Niat sebenarnya mempengaruhi dan menentukan cara bagaimana sudut pandang cerita yang kita angkat. Bukan mudah untuk mengawal cerita yang kita tulis apabila niat sudah mengawal rasa dan akal. Maka saya akan sentiasa beringat dan berhati-hati dalam cara dan gaya penceritaan. Agar InsyaAllah penulisan dan tulisan saya mampu mencari rahmatNya. Alhmadulilah.





No comments:

Post a Comment