Sindrom 'Writer's Block'
‘Macam mana nak atasi writer's block?’
‘Pohon lah petunjuk dari Yang Maha Luas Ilmu kemudian usaha. InsyaAllah adalah tu nanti. Kalau tak ada jangan paksa kerana Dia belum mengizinkan. Berhati-hati bila melakar cerita. Biar cerita itu dari petunjukNya bukan dari bimbingan musuhNya.’ Jawab rakan editor ini panjang lebar.
Nasihat dia tentang hal ‘biar cerita itu dari petunjukNya bukan dari bimbingan musuhNya’, sama saja seperti kuliah ustaz di masjid baru-baru ini:
‘Sebagai penulis baik di media sosial atau buku, kita perlu berhati-hati. Jangan terlalu mengikut emosi dan rasa. Menulislah dengan bimbingan petunjukNya Yang Maha Bijaksana kerana setiap penulisan itu adalah pemberat kita di alam kubur dan diakhirat.’
Fahamlah saya tentang konsep Petunjuk dari Allah yang mempunyai ‘magis’ yang dahsyat. Maka petunjuk dari Allah Yang Maha Kaya Ilmu lagi Bijaksana adalah satu-satunya ‘kuasa’ bagi saya sebagai penulis mengatasi masalah writer block.
Sememangnya writer's block yang saya sedang alami ketika itu adalah dari Kun Faya KunNya dengan hikmah dan rahsia yang hanya Dia Maha Mengetahui. Buatlah apa saja kaedah pun sepeti research dengan membaca, menonton cerita-cerita di tv atau melakukan observation sekeliling kita, kalau Dia tidak mengizinkan ‘writer's block’ itu hilang, saya yang dihalang Yang Maha Berkuasa untuk mendapat petunjuk ketika itu, tiada daya upaya saya menolak ketentuan ini.
‘Dan sesiapa yang Allah halangi maka dia tidak akan mampu melakukannya’ (Yunus:96).
Mengertilah saya tentang mahalnya petunjuk dari Dia. Maka di sinilah kita harus berhati-hati.
Pada yang terdesak untuk meneruskan penulisan, mungkin dateline sudah kian hampir ‘penyakit atau sindrom’ writer's block adalah halangan dan ujian besar pada kita. Betulkan? Pasti editor akan ‘menghantui’ kita selama karya yang kita ‘janjikan’ tidak sampai ke mejanya. Akan ada yang sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Setuju?
Ketika terdesak beginilah akan ada idea-idea yang hati mungkin teruja dan kagum, muncul khususnya ilham dari bilik tandas. Idea ini mungkin menjadi dominan pula di dalam cerita kita. Persoalan saya, idea siapa sebenarnya yang dikutip dari bilik tandas a.k.a bilik termenung tadi? Siapa penghuni alam ruang di situ?
Mengertilah saya, dalam melakar cerita kita perlu mengambil sikap berhati-hati kerana sememangnya sebagai penulis biarlah idea dan ilham dari bimbingan petunjukNya dan bukan dari momokkan golongan yang dilaknat Al Khaliq.
‘Allah menahan petunjuk ke atas seseorang kerana sikapnya sendiri yang menyebabkan dia tidak berhak mendapatkannya. Allah yang melihat ke dalam hati para hamba, siapakah yang layak mendapat petunjuk lalu Allah berikan kepadanya.’ (Muhammad Rafa:2012)
InsyaAllah semoga apa yang kita tulis, baik di media sosial atau melalui novel atau apa saja yang namanya konsep penulisan, sentiasa dalam rahmat dan redhNya.
No comments:
Post a Comment