RIDE SANTAI KE CAMERON HIGHLANDS
Keadaan dan ruang PKP menjadikan aktiviti ride santai kami suami isteri 'cuti'. Justeru apabila aktiviti motor/berkonvoi dibenarkan maka 11 Julai 2020, saya dan suami ride ke Cameron Highlands, Pahang. Balik hari. Mengisi minyak di RnR Tapah RM 5.01 dan ride ke Cameron Highlands bermula sekitar 11.30 pagi.
Tapah ke Ringlet
Cuaca dan suasana pagi nyaman. Tidak panas dan tidaklah sejuk sangat. Sepanjang jalan saya suka dan tenang melihat suasana hijau di kaki gunung ini. Keadaan jalan raya naik ke Cameron Highlands sibuk juga. Baik dari hala naik, mahupun menghala turun.
Setibanya di Ringlet keadaan menjadi kian sesak dengan kereta dan bertukar menjadi jam pada jalan menuju ke Tanah Rata. Kereta yang ada ketikanya bergerak dan kemudian diam lama. Tidak lama bergerak perlahan semula. Tidak dapat saya meneka bila agaknya mereka akan sampai ke destinasi yang hendak dituju. Pada saya, kura-kura pun bergerak lebih laju dari kereta yang terperangkap dalam keadaan ini.
Sungguhpun begitu, kami tidak berhenti di Ringlet. Sudah ada temujanji dibuat dengan rakan sekolah menengah saya yang sudah lama tidak bertemu. Berpisah ketika selepas SPM dahulu. Sudah hampir 30 tahun lebih. Lama kan?
Bertemu Sahabat Lama
Pertemuan berlangsung di restoran Nasi Kukus My Prima di Tanah Rata di mana tempat dia dan suaminya bekerja sebagai tukang masak. Semua lauk pauk yang dihidangkan (buffet) di depan ruang kedai, adalah masakan dia dan suami. Sedap. Harga pun tidaklah mahal mana. Sembang-sembang saya dan rakan menjadikan kami alpa tentang masa.
Brinchang
Sebaik saja sampai ke Brinchang, awan menjadi gelap dan tidak lama hujan lebat membasahi bumi Brinchang. Hajat untuk berjalan-jalan ke pekan Brinchang harus kami batalkan saja. Maka dengan ini kami mengambil keputusan untuk turun dan menghala pulang. Kerana hajat untuk ride sampai ke Brinchang sudah dimakbulkan DIA. Alhamdulillah.
*Kisah singgah lepak serta pengalaman kami dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands akan saya ceritakan dalam cebisan akan datang.
No comments:
Post a Comment