Monday, 26 April 2010

Aku Ada Kamu: Cemburu dan Dendam Wanita



Aku Ada Kamu: Cemburu dan Dendam Wanita

Aku Ada Kamu [ADK] membawa kita merasai pengalaman Sofi Aidura. Pelajar tahun akhir di sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Tinggal di rumah sewa bersama dua orang rakan baiknya Suraya dan Nora. ADK seperti novel-novel yang sering dibaca, menyelongkar kisah dan pengalaman wanita. Kisah cinta, derita dan dendam wanita. Sehubungan itu ADK hasil karya Lily Haslina Nasir bermain dengan cemburu dan dendam antara wanita pada wanita; Sheila pada Sofi Aidura. Dendam dan cemburu Sheila pada Sofi Aidura. Cerita ADK secara keseluruhan terbahagi kepada dua bahagian. Sebelum dan selepas Sofi Aidura menjadi isteri kepada Hisyam.

Dalam bahagian pertama, melalui ADK, masyarakat di salah sebuah Pangsapuri di Seksyen 16, Petaling Jaya direpresentasikan oleh penulis sebagai golongan masyarakat yang gemar membuat spekulasi buruk dan negatif kepada pelajar institusi pengajian tinggi. Juga mereka ini digambarkan sebagai sering membuat andaian dengan hanya dari apa yang dilihat oleh mata mereka. Menuduh dan bertindak tanpa usul periksa. Pencirian-pencirian ini membentuk satu tanggapan yang `typical and tradition’ kepada masyarakat Melayu di sebuah penempatan Melayu. Penulis `menghukum’ masyarakat ini dengan memberi malu kepada golongan yang dikatakan serba tahu. Seperti perumpamaan sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Namun begitu tanggapan yang `typical dan tradition’ ini secara jelas bertindak sebagai pemangkin untuk Sofi Aidura memilih Hisyam.


Pada bahagian kedua, penulis mengangkat Sofi Aidura sebagai seorang isteri yang menjurus kepada pencirian seorang isteri `mithali’. Namun untuk menjadi seorang isteri `mithali’, adalah tidak mudah. Sofi Aidura diuji hebat dengan sihir dan santau oleh Sheila. Penderitaan dan nasib malang Sofia Aidura yang disulam dengan kesucian dan kekuatan cinta Hisyam pada beliau mampu mencetus dan menggamit rasa simpati pembaca kepada Sofi Aidura.

Unsur seram dalam ADK yang diangkat oleh penulis melalui representasi unsur saka dan santau membentuk isu dramatik yang kuat dalam bahagian ini dan sekaligus mengangkat isu dramatik cerita Aku Ada Kamu secara keseluruhannya. Melalui plot dan cerita yang bergerak dalam ruang `seram’ ini ADK mengarah kepada satu penyelesai yang trajik.

Secara keseluruhannya ADK pada pendapat saya sebagai pembaca, bercerita tentang kemampuan wanita yang sebenarnya sanggup melakukan apa saja untuk kepuasan diri. Baik Sofi Aidura mahupun Sheila, masing-masing punyai kemampuan tersendiri. Sungguhpun begitu Sheila yang dihukum dengan trajik pada pengakhiran cerita jauh lebih berani berbanding Sofi Aidura yang sudah kembali insaf dan `redeem herself’ dengan menjadi seorang isteri `mithali’ kepada Hisyam.

No comments:

Post a Comment

Followers

Cerita Semalam

Semuanya Bermula dari HATI