Nuffnang

Saturday, 24 March 2018

Anak-Anak Bola dan Penunggu Padang


Air Asia KL Junior League 2018


http://www.kljuniorleague.my/

Assalamualaikum,

AirAsia KL Junior League 2018 dianjurkan oleh Little League Soccer Malaysia dan tujuan utama adalah untuk pembangunan sukan bolasepak dan memperkembangkan bakat-bakat pelapis pemain bolasepak di kalangan kanak-kanak sehingga remaja. League ini merupakan salah satu ‘tournament’ perlawanan bolasepak yang penting selain IMCC di dalam arena bolasepak peringkat bawah 8 sehingga 16. Maka, sejak Januari 2018 saya dan suami menjadi penyokong setia VIFC (Victoria Institution FC), kelab bolasepak anak-anak bujang kami, di padang bola di New Camp, Damansara.

Anak-Anak Bola Saya

Si abang, Harith Akif, memakai jersi no. 7-Striker untuk pasukan Under 16. Ya di bawah 16 tahun walaupun dia berusia 17 tahun. Dia dan seorang lagi rakan sekolah ‘dijemput’ untuk bermain untuk kelab ini  atas tiket syarat penyertaan: setiap pasukan hanya dibenarkan mengambil 3 orang sahaja pemain berusia 17 tahun (jika berkeperluan).


Manakala si adik, Ikmal Alif, memakai jersi no.1-Striker untuk pasukan Under 14. Ya jersi no.1. Sebenarnya jersi yang diminta adalah no.18. Tetapi  jersi itu tidak ada (tidak sempat dibuat), maka terpaksalah si bongsu saya ini sinonim dengan jersi no.1. Sungguhpun begitu pada saya no. 1 ini sememangnya sesuai dan serasi dengan Striker VIFC Under 14 ini. Sesuai dengan nama yang saya dan suami beri Alif- huruf pertama dan penting dalam Al-Quran.



Kebarangkalian keberadaan saya dan suami di padang bolasepak setiap hujung minggu adalah tinggi dalam setahun sudah lama. Sejak 2008 lagi. Kalau si abang tidak ada perlawanan, mungkin si adik yang harus kami sokong dan sebaliknya. Atau mungkin hujung minggu itu kedua-dua mereka ada perlawanan seperti sekarang-Airasia KL Junior League ini. Menjadi penyokong setia anak-anak bujang ini pernah membawa kami sekeluarga sehingga ke Pasir Gudang dan Kuantan. Sungguhpun begitu, baru-baru ini si Abang dijemput untuk menyertai kelab Royal Kelab Selangor untuk bermain di Bangkok International Youth Football Festival 7’s 2018 di Bangkok pada 3-4 Mac yang lalu, kami tidak turut serta. Memandangkan si adik juga ada tournament di sini: Kuala Lumpur Cup 2018 pada tarikh yang sama dan di padang New Camp, Damansara (maka AirAsia KL Junior League berehat sebentar.)

Penunggu Padang

Justeru, bolasepak dan padang bola sepak sudah menjadi sebahagian dalam kehidupan saya sekeluarga. Melihat anak-anak bujang kami membesar di padang bola melalui aksi dan pengalaman yang mereka lalui, adalah suatu kenangan yang akan selamanya sebati pada tanah padang bola yang mereka jejak dan beraksi. Tumbuh bersama rumput yang ditanam dan disemai subur yang memenuhi segenap ruang padang itu.



Bukan mudah menjadi ibubapa khususnya bapa kepada anak-anak bujang seperti kami. Pengorbanan masa adalah sangat penting dan utama. Setiap minggu sejak anak didaftar ke dalam kelab bolasepak, maka sejak itu juga hujung minggu kami adalah dan hanyalah di padang bola. Baik untuk memberi sokongan kepada perlawanan mereka atau sekadar melihat mereka training setiap Sabtu dan Ahad. Komitmen dan menguruskan ‘anak-anak bola’ tidak mudah, saya pun tidak selalunya berada di tepi padang bola seperti daddy mereka yang sangat setia menemani anak-anak bujang kami. Ada ketikanya khususnya training saya banyak tiada dari ada. Boleh kira dengan jari saja berapa kali saya akan hadirkan diri di situ. Kalau perlawanan persahabatan atau perlawan sekitar berdekatan pun saya tidak akan ikut.

Selain dari komitmen ini, perbelanjaan membeli 'aksesori' anak-anak bola saya ada ketikanya harus tidak berkira. Khususnya but bola yang mencecah sehingga RM 200 sepasang suatu ketika dulu dan kini semakin mahal harga sepasang but kerana saiz kaki anak-anak pun semakin besar. Baru-baru ini anak bujang saya berkeinganan membeli sepasang but bola baru berharga RM700. Maka hal ini saya harus berkira juga.


Sungguhpun begitu, pengalaman yang lalui sejak anak-anak bola saya mula masuk padang adalah sangat berharga dan bermakna pada saya dan suami. Bukan semua ibubapa seperti kami. Ada yang pernah mencuba kerana mungkin teruja dan suka melihat gambar dan pengalaman kami tetapi terpaksa mengalah hanya dalam masa tiga ke lima bulan kerana tidak boleh memberi komitmen. Ya komitmen yang satu itu (berada di padang, mungkin hampir setiap minggu) menjadikan kita ‘hilang’ masa untuk aktiviti yang lain khususnya untuk diri sendiri.

Kepada ibubapa dan keluarga seperti kami, pengalaman menjadi ‘penunggu padang’ dan penyokong anak-anak bola mencipta ukhwah baru di kalangan ‘orang luar padang’. Juga pengalaman menjadi penunggu padang mengajar kita bagaimana panasnya terik matahari dan erti bersyukur sekiranya Allah izinkan angin atau bayu berlalu di situ.

Selamat bercuti buat anak-anak sekolah.

Assalamualaikum.




No comments:

Post a Comment