Bajet Hotel Di Pekan Jitra
C Hotel saya tempah sehari sebelum menginap atas alasan baru diputuskan saya dan suami untuk bermalam di kawasan berhampiran Changlun sebelum memulakan percutian keluarga ke Selatan Thailand. Pemilihan bajet hotel ini dipilih atas kriteria utama seperti selalu: harus muat satu keluarga -5 orang.
Oleh kerana saya tiba di situ sekitar jam 11 malam dan letak duduk hotel ini agak jauh di hujung jalan yang agak gelap (tiada berlampu jalan), maka misi mencari hotel ini agak sukar juga. Sungguhpun begitu, penat dan letih saya melurut ke kaki apabila disambut dan dilayan oleh staf perempuan yang kecil molek dan begitu ramah. Tersenyum saya melihat keletah dia.
Penat dan letih yang melurut ke kaki tadi bertempiaran lari apabila sekumpulan lelaki tiba-tiba saja keluar dari pintu sebelah. Semuanya berpeluh -peluh sambil menyandang raket badminton di belakang. Riuh sekali menyapa staf perempuan tadi. Ketawa-ketawa saja mereka seperti sudah kenal lama.
OOo...rupanya di sebalik pintu itu adalah dewan badminton. Anak-anak dan suami mengintai ke dalam dan teruja. Ruang dewannya luas. Maka inilah kali pertama kami menginap di sebuah bajet hotel yang berkongsi ruang dengan dewan badminton. Unik!
Sebaik saja pintu bilik dibuka, hilang kata-kata. Dua buah katil king size dicantum dan muat untuk kami 5 beranak. SELESA! Alhamdulillah. Biliknya walaupun tidak berapa luas tetapi lengkap semua. Paling saya suka, bilik air yang bersih dan lengkap. Ruang hitam putih bilik air yang cantik itu menjadikan hasil gambar saya dalam konsep hitam putih. MENARIK!
Saya berikan markah penuh ***** dalam kategori bajet hotel.
Kenapa harus berdekatan dengan Changlun?
Seorang rakan menasihat dan memberi cadangan agar segala urusan insurans dan keperluan penting lain sebelum ke Selatan Thailand, elok dibuat di situ. Ejen yang kami singgah, pejabatnya di kongsi dengan sebuah restoran. Sementera menunggu urusan siap, saya dan keluarga berjamu selera sarapan pagi yang enak di situ. Maka masa menunggu langsung tidak terasa.
No comments:
Post a Comment