Garden By The Bay
"Kita ke Garden By The Bay"
Garden By The Bay seluas 101 hektar dibina 'atas laut' melalui proses penambakkan tanah. Taman ini dibahagikan kepada 3 ruang: Bay South Garden (adalah paling luas), Bay Garden dan Bay Central Garden. Taman ini berjiran dengan Reservoir Marina.
Taman Berkonsepkan Alam Semulajadi
Dari pembacaan, taman yang luas ini merupakan salah satu strategi Singapura untuk mengubah ruang negara ini dari Garden City yang bersifat taman konkrit kepada City in A Garden yang menyumbang kepada ruang yang bersifat taman alam semulajadi.
Look and form konsep Bandar Dalam Taman ini jelas pada pandangan saya, walaupun saya ketika itu berada di tanah Singapura yang wajahnya dilukis melalui puluhan pepohon konkrit pencakar langit dan dasarnya bersimpang siur dengan jalan raya besar yang sesak dan padat. Justeru ruang Garden By The Bay ini terasa seperti terpisah rupa dan emosinya dengan realiti tadi. Di dalam ruang ini, hanya yang dirasa adalah aura dan pesona warna alam. Pohon-pohon besar dan rimbunan renek membuai pandangan dan menyerap ketenangan kepada jiwa.
Supertree Grove Yang Unik
Sungguh ketika itu saya dan keluarga teruja dengan senibina dan 'interior design' ruang taman ini. Paling menjadi tumpuan adalah pohon-pohon gergasi buatan manusia yang diberi nama Supertree Grove. 'Tumbuhnya' menjulang tinggi (berukuran antara 25-50 meter) dan besar.
Dari pembacaan, lebih 162,900 tumbuhan yang terdiri daripada lebih kurang 200 spesies bromeliad, orkid, pakis dan pohon bunga menjalar tropika ditanam pada batang Supertree Grove ini.
Juga di antara pokok-pokok gergasi ini dibina OCBC Skyway pada ketinggian 22 meter. Bertujuan memberi peluang kepada pengunjung untuk menjamu mata dan meninjau kawasan taman yang indah dan unik ini dari 'atas angin'.
Sungguhpun begitu kami tidak sempat berjalan-jalan di Skyway itu kerana faktor masa. InsyaAllah kami akan ke sana lagi kerana anak-anak merungut tidak puas mereka menjelajah ruang taman yang unik ini.
No comments:
Post a Comment