Nuffnang

Showing posts with label Cinta? Boleh Blah Beb!. Show all posts
Showing posts with label Cinta? Boleh Blah Beb!. Show all posts

Tuesday, 15 October 2013

Ada Sesuatu Yang Indah Berlaku di Kampung Peta



Kampung Peta, Endau Rompin.


Ain duduk diam di hujung ruang balai sewang di Kampung Peta. Memerhati persiapan acara sewang yang bakal diadakan sekejap lagi. Melayang-layang suasana ini dulu. Ketika dia dan rakan sekampus datang ke sini. Meriah dia dan rakan-rakan menolong orang kampung untuk persiapan majlis sewang untuk mereka. Pandangan Ain menjala di segenap ruang balai yang terang benderang dan cantik dihias ini. Tidak tahu dia bagaimana posisi dan gerak kamera yang Ari inginkan. Cuma yang dia tahu, dalam acara sewang ini, untuk kedua kalinya Raden Galoh akan muncul dalam lagak dan gaya orang kampung sini. Dalam babak ini Zul yang sedang menyaksikan acara sewang, disapa Raden dan kemudian Raden memujuk Zul untuk dia bawa Zul ke alamnya.
   “Hai…” Sapa Joe yang tiba-tiba saja muncul. Terkejut Ain dan Joe tersenyum melihat gelagat terkejut tadi.
   “Joe…muncul macam hantu…nasib baik aku…”
   “EHeemmm…aku? Siapa aku?” Joe memintas cakap Ain dan Ain termalu. Aduhh…macam-macam lah si Joe ni. Tahu tak orang malu?  Ain memandang Joe yang menunggu jawapan dari dia sambil menyoal dia dengan isyarat kepala.

[Working title: Cinta? Boleh Belah]


Keramahan penduduk Kampung Peta, Endau Rompin, ketika saya berkunjung ke sana sekitar 2006, melayang jelas setiap kali saya ‘berada di dalam dunia’ Ain. Masyarakat Orang Asli Jakun di situ melayan saya dan geng Kembara Libur dengan mesra dan ada-ada saja oleh-oleh untuk kami untuk dibawa pulang. Pelbagai ilmu memburu dan tips-tips kembara hutan yang saya pelajari dan adalah antara kenangan indah yang saya zahirkan di dalam kisah Ain ini.

Selamat Menyambut Aidiladha. Maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga. 

Saturday, 3 August 2013

Cinta? Boleh Belah, Beb!


Proses menulis novel yang satu ini sangat lambat dan lembab. Kalau dulu waktu-waktu begini sudah hampir siap. Tetapi yang satu ini...masih berada di status merangka konflik. Belum pun sampai ke puncak, sudah Ogos.  Masih ada 4 bulan sahaja untuk pastikan semuanya selesai. Sempatkah?

Kisah cinta Ain kali ini lain emosi dan rencahnya dari pengalaman cinta gila-gila Ain di dalam 26 Episod Gosip, dulu.  Kini dunia Ain yang ini ada 'emosi' seram dan aksi. 


Kak Farah dan Abang Rafik ada rancangan besar ya:

“Ain dengan Ari, okay?” Soal Kak Farah dalam senyum. Tangan yang menyenduk kari kepala ikan di depan berhenti di atas angin. Kepala ikan sebelah yang dikaut Ain, terjatuh semula di dalam mangkuk kari. Mungkin ia pun terkejut juga. Mata Ain jatuh pada wajah Joe yang tiba-tiba saja terdesak nasi. Ari? Aku dengan Ari? Kenapa Joe pula yang tersedak. Bukankah aku yang harus tersedak nasi sebab terkejut? Tangan yang berhenti tadi menyambung bergerak ke pinggan Ain. Senduk kecil yang hanya penuh dengan kuah kari tanpa isi, dituang ke pinggan.
“Ain dengan Ari? Okay…kenapa Kak Farah tanya?” Soal Ain yang ingin tahu maksud tersirat dan tersurat soalan Kak Farah tadi. Ain ingin tahu konsep maksud OKAY Kak Farah tadi. OKAY dalam konteks mana? Konteks hubungan aku dan Ari itu baik-baik saja kah? Atau konteks hubungan aku dengan Ari itu bukan sekadar kawan tetapi sebagai pasangan kekasih, itu baik-baik saja?
“Sekarang ni Ain dengan Ari lah ya? Akhirnya…” Kak Farah menjawab soalan Ain dalam bentuk soalan. Terasa nasi yang dia baharu sahaja telan, terlekat ditekak. Cepat-cepat air putih di sebelah dia teguk habis satu gelas. Joe yang memandang, pelik. Ain menghulur senyum pada dia. Apa pandang-pandang? Pelik sangatkah aku meneguk air tadi?
“Tak…Ain dengan Ari berkawan saja. Jangan salah sangka.” Ain menjelaskan keadaan. Kak Farah mengerling ke arah Joe di sebelah dia.
“ Ain single lah ni.” Abang Rafik mencelah. Haiii…macam ada apa-apa saja ni. Teka hati Ain.
“Macam tu lah Abang Rafik. Sekarang ni Ain nak tumpu kepada kerjaya dan macam Abang Rafik dan Kak Farah tahu, Ain nak buat Master tahun depan atau tahun yang lagi satu, Insya-Allah.” Ain memperjelaskan keadaan status dia. Kenapa tiba-tiba ruang makan ini terasa tidak selesa lagi. Seperti akan ada lagi soalan-soalan cepumas dari Kak Farah. Mahu saja dia meminta diri untuk balik.
“Akak masih ingat. Baguslah. Tapi Akak nasihatkan kahwin dulu. Baru tak sunyi di luar negara nanti.”
Sekali lagi Joe tersedak. Ain memandang Joe. Apa hal dengan Joe ni? Diserang musim batuk ke? Ain menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bagaimana harus dia memperjelaskan dengan lebih jelas lagi kepada Kak Farah bahawa dia ketika ini sudah bernekad untuk tidak mahu bercinta lagi. SERIK! Dulu Hadif tinggalkan dia sebab Rifa yang sungguh anggun itu, dan kini Jeffri, tunang dia juga telah meninggalkan dia….tanpa sebab.Tanpa Alasan!! Kali ini parah itu lebih dalam kerana mereka sudah pun diikat dengan rasminya oleh keluarga. Cuma tunggu masa sahaja untuk disatukan. Cukup! Dia sudah SERIK!!
“Ain, kalau Akak nak kenalkan Ain dengan saudara Akak, boleh ya?” Soalan Kak Farah menjadikan pasangan mata Ain besar. Siapa? Joe di depan sudah selesai makan dan sedang mencuci tangan. Abang Rafik yang duduk di kepala meja menguntum senyum.
“Akak, saya nak ke laman belakang sekejap. Nak ambil angin.”
Kak Farah angguk. Joe bangun dan meninggalkan mereka.
“Ain berkenal-kenallah dulu. Kalau tak serasi Akak tak kisah. Boleh ya Ain?” Pujuk Kak Farah.
“Siapa saudara Akak tu?” Soal Ain yang juga sudah selesai makan. Tiba-tiba saja perutnya terasa penuh dan padat walaupun nasi yang ditelan tidak sampai pun separuh pinggan. Ada senyum yang sangat manis muncul pada wajah Kak Farah. Dia menjeling ke wajah suaminya di sebelah.
“Adam Nazrin.” Beritahu Kak Farah. Adam Nazrin? Macam pernah dengar saja nama tu. Haahhh?! Adam Nazrin tu bukan Joe Adam ka? JOE ADAM?! Kak Farah nak aku berkenal-kenal dengan JOE ADAM? Kak Farah sedang ‘match-making’ aku dengan JOE ADAM?! Biar betul. Patutlah tadi Joe terbatuk-batuk lah…tersedak-sedaklah… rupanya makan tengahari ini ada agenda ‘besar’.

[Cinta? Boleh Belah, Beb]
 

Sunday, 30 June 2013

Pengalaman Seram Sejuk.

Pengalaman Seram Sejuk.



Sudah akhir Jun, kisah Ain Nurlisa ini masih di tahap 'suam-suam' kuku lagi. Perjalananan ceritanya masih bertatih-tatih saja untuk sampai ke konflik. Kisah Ain kali ini bukan romantik komedi seperti 26 Episod Gosip. Mengutip pengalaman seram sejuk dan romantik Ain setakat ini menjadikan ada kalanya bulu roma saya meremang dan ada ketikanya saya terawang-awang saja. Suatu pengalaman yang baharu ketika menulis kisah seram Ain. Mungkinkah penulis-penulis kisah seram juga melalui pengalaman begini? Sentiasa saja bulu roma mereka meremang dan ada rasa seram sejuk pada tengkok. Tidak boleh saya bayangkan...bagaimana pengalaman menulis sebuah cerita seram, bila saya yang baharu cuba-cuba: sana sikit...sini sikit...dan bukan cerita seram sepenuhnya, pun sudah seram sejuk saya sentiasa.


“Kau okay ka?” Soal Ain yang duduk di sebelah Ari di hadapan monitor. Dia menghulurkan cawan polistrin yang berisi teh.
            “Okay…terima kasih kerana bertanya.” Jawab sambil menyambut cawan teh yang dihulur. Ada rasa terkilan di hujung nada suara Ari ini. Dia sangat-sangat berkecil hati dengan sikap Ain yang diam membisu sejak dia pulang ke Johor Bahru. Ain seperti tidak peduli saja dengan apa yang sedang berlaku pada dirinya di Johor Bahru sana. Tiada panggil menyuruh dia bersabar atau kata-kata semangat untuk menbuang sedih yang penuh di dalam pembuluh darah dia ketika itu. Dia sangat-sangat mengharap dan menunggu panggilan dari Ain. Kalau ikutkan hati mahu saja dia memanggil Ain setiap detik untuk mengadu rasa. Tetapi dia sangat bimbang kalau-kalau panggilannya ini akan menjadikan Ain marah dan benci pada dia seperti dulu. Biar saja dia yang menunggu panggilan dari Ain….yang tidak pernah berdering. Benarlah Ain sudah buang rasa mereka yang pernah kembang di dalam hatinya dulu.
            “Semoga arwah diampunkan semua dosa di dunia dan dirahmati di alam sana.” Doa Ain dalam nada lembut. Pandangan Ari merenung bebola mata Ain. Pandangan yang melata di situ cuba mencari satu rasa. Mana tahu ada titik-titik yang sedang bercambah di dalam hati Ain.
            “Aku dengar ada kejadian tragik yang berlaku kat kilang lama tu.” Sambi meneguk teh dan kemudian dia letak di atas meja di sebelah. Bukan soalan itu yang sebenarnya tersangkut di dalam hati. Sebenarnya dia ingin sangat-sangat bertanya:
            “Kenapa kau tidak menelefon aku, Ain. Tidak rindukah kau pada aku?”
Tetapi hatinya masih belum kuat untuk meluahkan soalan yang diiringi rasa rindu. Bimbang dan takut bersarang kuat di dalam. Dia tida mahu hanya kerana soalan ini Ain akan lari dari dia sekali lagi.

[Cinta? Boleh Blah Beb.]