Nuffnang
Friday 25 January 2013
Wednesday 23 January 2013
THE COVER
‘Skandalous’ Ika; Cinta Berani Mati – THE COVER
Terpegun. Itu reaksi sebaik saja pandangan saya jatuh pada
skrin laptop. Kulit buku untuk novel ke - enam saya ini sungguh unik sekali.
Di
sebalik langsir putih jarang yang tidak jernih, ada sebuah rak almari buku.
Langsir putih itu tidak ditutup penuh. Dicelah-celah buku-buku itu ada terselit
barang-barang berjenama mahal hak milik Ika. Langsung, cerita Ika sudah boleh dibaca
‘sekali imbas’ dari lakaran yang unik ini.
Terima kasih kepada pelukis grafik untuk novel kedua saya
bersama JS Adiwarna ini. Cantik dan unik sekali.
Tuesday 8 January 2013
Bila Ika Bercerita: Pengalaman Awal Di Tanah Ratu
Cerita Ika Tentang Pengalaman Awal dia ketika di Tanah Ratu:
“MasyaAllah, hari
ini hari raya….”
Mengalir air mata
di pipi licin aku. Rindu pada kampung halaman tiba-tiba saja menjerut kuat
semua rasa di dalam. Rupanya hati di dalam tidak sekuat yang aku sangka.
Melayang-layang wajah Mak, Mama dan Ayah di ruang bilik kecil ini. Sungguh
ketika ini aku ingin saja terbang balik ke Tanjung Dawai untuk meraikan
Aidilfitri di sana. Bersama-sama keluarga aku di Kampung Nelayan sana.
“Ya Allah,
bagaimana aku boleh terlupa dengan hari kemenangan ini?”
Air mata yang mengalir laju di pipi
aku sapu dengan telepak tangan. Sungguh ketika ini tidak ada pun secubit rasa
suasana menyambut hari kemenangan ini melingkar di dalam diri kerana gahnya
tidak ada langsung. Tidak seperti di Tanjung Dawai sana. Di sini tidak ada
malam tujuh likur. Tidak ada anak-anak bermain bunga api. Cuma yang ada
hanyalah takbir raya yang berlangsung di rumah Abang Saiful dan Kak Ida saja
semalam. Itulah kali pertama aku berkenal-kenal dengan masyarakat Melayu di
York ini. Tidaklah seramai yang aku sangka. Kata Kak Nai, masyarakat Melayu di
sini tidak sebanyak di Manchester atau di Leeds. Pada pemerhatian aku, penduduk
Kampung Nelayan jalan hulu : kawasan rumah aku, pun banyak lagi. Malah penduduk
perumahan kos rendah di barisan rumah Kak Ngah di Bukit Tembaga, Kuala Nerang
sana pun ramai lagi, kalau nak dibandingkan dengan masyarakat yang ada di York
ini.
Saturday 5 January 2013
Snippet dari Skandalous Ika: Cinta Berani Mati.
Suatu Petang Di Hujung Ramadhan:
Kenapa tiba-tiba
saja dia boleh menghantar kad raya kepada aku pulak? Anak Tok Imam Kota Sarang
Semut itu menghantar kad raya yang besar ini kepada aku?!
“Ika…Ika…pasai apa lari macam nampak hantu tadi?” Soal Mak di
sebalik pintu.
“Tak ada apa-apa
Mak…”
“Sapa hantaq
kad raya yang besaq tu?” Soal Mak lagi.
Aduh, macam mana harus aku jawab soalan Mak yang ini. Mahunya Mak berceramah
panjang bila aku menyebut nama Khaleef Idil. Pasti Ayah akan berkhutbah pula
bila berita kad ini sampai ke telinga dia.
“Kawan kolej Mak.”
Itu saja yang mampu aku jawab dengan harapan Mak tidak bertanya banyak lagi.
“Kawan baik-baik.
Pilih yang elok-elok. Bawa tunjuk dekat Ayah dengan Mak nanti.” Kata Mak dalam
nada sungguh lembut. Kata-kata Mak tadi menjadikan debaran yang laju tadi
berhenti . Apa maksud Mak bila berkata begitu tadi? Adakah Mak ingat aku dan
Khaleef sudah lama berkawan, bercinta dengan lebih tepat lagi?
“Kawan saja Mak.”
Balas aku.
“Ya lah…lepas
habis baca kad tu..turun bawah…goreng kuih Che Mek Molek yang Tok Besah kau
bagi untuk buka puasa.”
“Baik Mak.” Jawab
aku dalam senyum. Ada –ada saja Mak ni. Lain yang disangka lain pula yang jadi.
Dengan hati yang sudah mula berdebar semula, kad tadi aku buka sekali lagi.
Melihat dan membaca setiap baris ayat yang tertulis di situ:
Assalammualaikum Zulaikha Mat Ayob,
Selamat
Menyambut Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin
Semoga
perkenalan ini kekal dan dirahmati DIA dunia akhirat
Salam
Aidilfitri dari
Khaleef Idil bin Haji Ismail
Aku memasang senyum dan membaca
barisan ayat yang ditulis itu berkali-kali. Walaupun kata-katanya sungguh
ringkas dan biasa tetapi ia menyusup masuk seperti pelangi terang di langit hati.
Melekat kukuh dan mencengkam dalam pada dinding hati aku. Menjadikan ruang hati
indah berwarna warni. Sejak kehadiran kad itu di dalam hidup aku, hati aku
sudah punyai tuan dan sangkar emasnya yang tersendiri. Sangkar emas di dalam sangkar
hati Khaleef Idil.
Tuesday 1 January 2013
Selamat Tahun Baharu 2013
Sudah 2013 hari ini. Cepatkan masa berlalu?
Azam saya untuk 2012, alhamdullilah sudah tercapai.
Manuskrip kisah Zulaikha Mat Ayob yang dipanggil: Skandalous Ika: Cinta
Berani Mati, sudah
ada ditangan editor. Sekarang ini tunggu saja apa kata editor JS Adiwarna.
Terima saja komen-komen dari bahagian editorial ini. Memang ketika ini resah
dan gementar yang bercampur dengan rasa tidak sabar, penghuni tetap ruang di
dalam diri.
Apa azam saya tahun 2013? Banyak…sungguh banyak. Listnya
penuh satu kertas kajang. Insya-Allah saya ingin mencapainya…semua. Antaranya,
untuk JS Adiwarna, saya ingin cuba berubah ‘dunia’. Berubah angin, kata orang
kita. Dari dunia novel umum saya
ingin mencabar diri untuk masuk ke alam novel kreatif. Bukan senang untuk
‘berhijrah’ walaupun sebentar ke alam lain, kalau tidak bersedia tanpa seberang
persiapan. Hanya mereka yang pakar saja mampu berada dalam dua alam atau tiga
alam pada suatu masa. Yang pasti, ‘angin’ alam kreatif ini berbeza, baik dari
segi cerita mahupun dari segi bahasa.
Tips dan panduan sudah diberi oleh sifu-sifu saya dengan
jelas. Insya-Allah Kisah Alia Kaisara yang mula dikutip hari ini akan lancar sehingga
pengakhiran cerita dan bertemu dengan titik tamatnya nanti.
Apa azam anda? Bagaimana pula azam anda tahun 2012, adakah
sudah tercapai semuanya? Atau separuh saja atau pun tiada langsung kerana anda
tiada usaha ke arah azam itu? Ceritalah kepada saya kalau sudi.
Selamat berada di dalam ruang 2013 dari saya dan keluarga.
Jangan lupa ya, Skandalous Ika: Cinta Berani Mati, Insya-Allah...awal tahun 2013.
Subscribe to:
Posts (Atom)